Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya merupakan seorang perunding Harta Pusaka dan juga pemudahcara bagi urusan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka pelanggan saya
Saya ingin bertanya tentang status duit Ganti Cuti Rehat (GCR) yang dibayar oleh kerajaan kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia. Adakah duit tersebut berstatus harta pusaka ataupun tidak? Terima kasih atas kesudian Dato’ Seri menjawab kemusykilan saya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terlebih dahulu kami terangkan maksud duit ganti cuti rehat (GSR). Gantian Cuti rehat adalah Award wang tunai yang diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan Perkhidmatan.
Award Gantian Cuti Rehat hanya diberikan kepada Anggota Tetap (termasuk pegawai dalam tempoh percubaan) dan Anggota Sementara dalam Perkhidmatan Awam. Pemberian Award Wang tunai gantian cuti rehat adalah berdasarkan 1/30 daripada gaji akhir diterima, tertakluk maksimum 150 hari.
Gaji akhir diterima adalah meliputi gaji pokok hakiki dan Imbuhan Tetap mengikut gred dan kumpulan perkhidmatan pegawai tersebut. Pembayaran ‘award’ wang tunai akan dibuat:
- Pada hari pertama persaraan bagi pegawai yang bersara, dan
- Bagi pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, bayaran kepada tanggungan pegawai berkenaan akan dibuat dengan kadar segera.
Bagi pembahagian harta pusaka, dalam riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak (dari kalangan ahli waris), maka apa yang berbaki (setelah itu) diberikan kepada pewaris lelaki yang paling dekat (dari golongan asabah).”
Riwayat al-Bukhari (6735) dan Muslim (1615)
Hadith ini bermaksud, Nabi SAW memerintahkan umatnya untuk membahagikan harta pusaka dan membahagikannya kepada mereka yang berhak menerimanya dengan pembahagian yang adil yang selari dengan perintah dan hukum Allah SWT. Oleh itu, sabda Baginda SAW, “أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا” (Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak dari kalangan ahli waris) bermaksud memulakan pembahagian dengan ashab al-furudh yang mana bahagian mereka sudah ditentukan dalam al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma‘ umat. Berikanlah setiap seorang daripada mereka bahagiannya yang telah ditentukan secara syarak. Kemudian, apa-apa yang lebih daripada ashab al-furudh barulah diberikan kepada golongan ‘asabah. (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 5/321-322).
Menjawab persoalan di atas, melihat kepada maksud yang kedua, iaitu Pembayaran ‘award’ wang tunai akan dibuat:
- Bagi pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, bayaran kepada tanggungan pegawai berkenaan akan dibuat dengan kadar segera.
Ini jelas menunjukkan matlamat pemberian tersebut atau pembayaran Award tersebut khusus untuk tanggungan pegawai berkenaan. Justeru, kami berpendapat ia tidak termasuk dalam harta pusaka atau faraid kerana matlamatnya terhad dan khusus kepada anak-anak dan tanggungan si mati tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam beragama dan memahaminya dengan sebaik-baik mungkin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H