Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, situasinya seorang saudara saya bekerja dalam bidang oil & gas, dan perlu bertugas di offshore di negara bukan Islam selama berbulan-bulan, lebih kurang dua hingga tiga bulan. Situasi yang menjadi kerisauan adalah terpaksa berkongsi perkakas makan seperti pinggan dan sudu dengan staf bukan Islam dan makanan tidak halal seperti daging babi memang ada, walaupun diberitahu dan diasingkan. Namun pinggan yang digunakan adalah sama, tidak diasingkan antara staf Muslim dan non-Muslim. Peraturan atas kapal pula, semua staf kena guna pinggan yang disediakan, tidak boleh bawa pinggan sendiri. Pinggan memang dicuci dengan air panas namun seperti masih belum menepati cara cuci najis berat. Bagaimanakah pendapat ustaz bagi situasi ini dan apakah tindakan terbaik? Adakah benar dibenarkan menggunakan pinggan tersebut dengan keringanan daging babi yang terkena pinggan itu adalah daging yang sudah diproses masak bercampur bahan-bahan lain? Mohon pencerahan daripada pihak ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

(Surah al-An‘am: 145)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan tujuan yang terpenting — yakni untuk dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi berdasarkan ayat di atas. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Pada asasnya, kita tidak boleh menggunakan apa-apa bekas yang digunakan untuk memasak bahan-bahan bernajis di dalamnya — seperti daging yang tidak disembelih mengikut syarak, arak dan seumpamanya — melainkan setelah dibersihkan bekas itu terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Abu Tha‘labah al-Khusyani bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya:Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang engkau sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya engkau mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah engkau makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut.’

Riwayat al-Bukhari (5478) dan Muslim (1930)

Para ulama menyebutkan, hadith ini dapat difahami bahawa bekas-bekas itu telah digunakan untuk memasak dan meminum bahan-bahan bernajis sebagaimana hal tersebut telah dinyatakan secara jelas dalam riwayat Abu Tha‘labah yang lain, katanya:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya:Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’

Riwayat Abu Daud (3839)

Al-Khattabi menyebutkan, hukum asal dalam perkara ini adalah jika diketahui bahawa orang bukan Islam itu memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan gelas-gelas mereka, maka tidak boleh menggunakan perkakas-perkakas itu melainkan setelah dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/257).

Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kenyataan al-Syirazi yang berpendapat makruh menggunakan bekas-bekas orang kafir dan pakaian-pakaian mereka sama ada mereka dalam kalangan Ahli Kitab atau selainnya, begitu juga sama ada mereka menggunakan najis dalam pengamalan agamanya atau selainnya adalah bermaksud jika tidak yakin atau pasti akan kebersihan bekas-bekas dan pakaian-pakaian itu. Hal ini kerana jika yakin dan pasti akan kebersihan perkakas-perkakas atau pakaian-pakaian mereka, maka ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa hukumnya tidak lagi makruh ketika itu untuk menggunakannya, sama seperti pakaian seorang Muslim. Di antara ulama yang menjelaskan hal ini ialah al-Mahamili dalam al-Majmu‘, al-Bandaniji, al-Jurjani dalam al-Bulghah, al-Baghawi, dua pemilik kitab al-‘Uddah dan al-Bayan dan selain mereka, dan kami tidak ketahui adanya perbezaan pendapat dalam masalah ini. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/263-264).

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa harus menggunakan perkakas-perkakas orang bukan Islam dan pakaian-pakaian mereka berdasarkan hadith Abu Tha‘labah itu. Manakala perintah untuk membasuhnya pula adalah sunat kerana orang bukan Islam tidak menghindarkan diri mereka daripada bahan-bahan bernajis. Begitu juga diharuskan untuk berwuduk dengan menggunakan bejana-bejana mereka, jika mereka bukanlah daripada kalangan orang yang menggunakan najis dalam pengamalan agamanya. Akan tetapi jika mereka daripada kalangan orang yang menggunakan najis dalam pengamalan beragamanya seperti kelompok Majusi dan Brahmin yang mandi dengan air kencing lembu sebagai satu cara mendekatkan diri dengan tuhan, maka wuduk dengan menggunakan bekas mereka itu adalah sah tetapi makruh kerana hukum asalnya adalah suci. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/50-51).

Tambahan lagi, dalam al-Fiqh al-Manhaji ada menyebutkan bahawa perintah membasuh perkakas itu adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37).

Seterusnya berkenaan cara membersihkan kenajisan babi, kami pernah membahaskannya secara panjang lebar dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah. Secara umumnya para ulama berbeza pendapat kepada dua; adakah cara basuhannya sama seperti najis mutawassitah (sederhana) atau najis mughallazah (berat). Mengenai hal ini, al-Syirazi ada menukilkan daripada Ibn al-Qas bahawa Imam al-Syafi‘i berpendapat dalam pendapatnya yang qadim, jilatan babi hanya dibasuh dengan sekali basuhan sahaja. Sedangkan seluruh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, jilatan babi perlu kepada tujuh kali basuhan — sebagaimana jilatan anjing. Pendapat Imam Syafi‘i yang qadim itu bersifat mutlak kerana beliau hanya menyebutkan ‘dibasuh’ dan makna yang dikehendaki daripadanya adalah tujuh kali basuhan. Dalil yang menunjukan kepada perkara ini adalah kerana babi lebih buruk halnya berbanding anjing. Justeru, ia lebih utama dari segi hukum bilangan basuhan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 95).

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mengulas kenyataan al-Syirazi ini menyatakan, hasilnya berkenaan jilatan babi ini terdapat dua jalan. Aliran (tariqah) yang pertama ialah aliran Ibn al-Qas dan ia mengandungi dua pendapat. Pendapat pertama, cukup dengan hanya sekali basuhan tanpa tanah sebagaimana najis-najis yang lain — yakni najis mutawassitah. Pendapat kedua, wajib dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Manakala jalan kedua pula, wajib membasuh dengan tujuh kali basuhan secara qat‘i dan ini merupakan pendapat jumhur ulama dan mereka telah mentakwilkan perkataan Imam al-Syafi‘i dalam fatwanya yang qadim itu sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang al-Muhazzab — yakni al-Syirazi.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) dari sudut dalil ialah jilatan babi cukup dengan sekali basuhan tanpa tanah. Inilah pendapat majoriti ulama yang berpendapat dengan kenajisan babi. Inilah pendapat yang dipilih kerana hukum asalnya adalah tiada kewajipan — untuk membasuhnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah — sehinggalah datangnya dalil syar‘i yang menyebutkannya. Lebih-lebih lagi perkara ini dibina di atas dasar ta‘abbudi. Di antara ulama yang berpendapat wajib membasuh sebanyak tujuh kali juga ialah Imam Ahmad dan Malik dalam salah satu riwayat daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/586).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap hadith Sahih Muslim (sebagaimana riwayat yang dinyatakan di atas) juga ada menyebutkan, kebanyakan ulama berpendapat najis babi tidak perlu kepada basuhan sebanyak tujuh kali (sebagaimana anjing). Ini adalah pendapat Imam al-Syafi‘i dan merupakan pendapat yang kuat berdasarkan dalil. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185-186). Di samping itu, pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibn al-‘Uthaimin sebagaimana yang dinyatakan dalam kitabnya bahawa para fuqaha menyandarkan kenajisan babi kepada kenajisan anjing kerana babi itu adalah lebih buruk daripada anjing. Justeru, ia lebih aula (utama) dengan hukum tersebut – yakni basuhan sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah. Walau bagaimanapun, qiyas ini adalah dhaif (lemah) kerana babi disebutkan di dalam al-Quran dan wujud pada zaman Nabi SAW. Namun, tidak terdapat penyandarannya kepada anjing. Oleh itu, pendapat yang sahihnya, najisnya adalah sepertimana najis yang lain — yakni daripada jenis mutawassitah — dan ia dibersihkan sebagaimana dibersihkan najis-najis yang lain. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 1/418).

Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat apa-apa yang menjadi najis disebabkan oleh sentuhan sesuatu berupa air liur, kencing atau seluruh cecair, atau anggota-anggota yang kering jika bersentuhan dalam keadaan basah dan lembap, daripada anjing atau babi, dan haiwan yang lahir daripada keduanya atau salah satunya dengan haiwan yang suci, hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhannya itu dengan tanah yang suci berdasarkan hadith yang menyebutkan berkenaan cara mencuci jilatan anjing. Lalu diqiyaskan babi dengan anjing kerana ia lebih buruk halnya berbanding anjing kerana terdapat nas dalam syarak yang menyebutkan mengenai pengharaman babi dan tidak boleh memilikinya. Oleh itu, sabitlah hukum mengenainya berdasarkan jalan al-Tanbih. Adapun syarak tidak menyebutkan mengenai hukum itu kerana ia bukanlah suatu yang menjadi kebiasaan bagi mereka — yakni dengan babi berbanding anjing yang digunakan untuk memburu, menjaga tanaman dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/333-334).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #852 Khilaf Ulama Berkenaan Cara Membersihkan Jilatan Babi.[1]

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan perkakas makan seperti pinggan dan sudu sekalipun ia pernah digunakan oleh orang bukan Islam kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya. Sekalipun begitu, sebaik-baiknya bahkan disunatkan untuk membasuh perkakas makan seperti pinggan dan sudu yang hendak digunakan terlebih dahulu dengan air bersih sebelum digunakan kerana dikhuatiri orang bukan Islam telah menggunakannya untuk benda-benda bernajis, sekali gus mematuhi saranan Nabi SAW sebagaimana hadith di atas. Dalam hal ini terdapat satu kaedah menyebut:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya:Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324).

Begitu juga dengan mengambil kira situasi saudara yang bertanya di atas, kami berpendapat bahawa perkakas makan yang digunakan itu tidak wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali (sebagaimana cara basuhan najis mughallazah) sekalipun ia pernah digunakan untuk hidangan berasaskan babi, sebaliknya memadai dengan hanya membasuhnya sebagaimana cara basuhan najis mutawassitah dengan dihilangkan ain, rasa, bau dan warna najis, dengan bertaqlid kepada pendapat qadim dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi serta ulama yang berpendapat sedemikian. Ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Lebih-lebih lagi, ini bertepatan dengan konsep agama Islam itu sendiri yang meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/852-khilaf-ulama-berkenaan-cara-membersihkan-jilatan-babi/. Diakses pada 11 Julai 2023.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply