Soalan:

Assalamualaikum ustaz saya ingin bertanya apakah perbezaan antara nikah muta’h dan talak dengan niat untuk bercerai? Apakah sah perkahwinan tersebut ?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Larangan Nikah Mut’ah menurut Islam

Nikah muta’h adalah seorang lelaki mengahwini wanita dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan. Ia adalah haram disisi syara sehingga hari kiamat yang mana Rasulullah SAW telah mengharamkannya berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Sabrah Bin Ma’bad bahawa :

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ المُتْعَةِ، وَقالَ: أَلَا إنَّهَا حَرَامٌ مِن يَومِكُمْ هذا إلى يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن كانَ أَعْطَى شيئًا فلا يَأْخُذْهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang untuk kahwin mutaah. Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sejak hari ini kahwin mutaah itu hukumnya haram sampai kiamat nanti. Jadi, sesiapa yang pernah memberikan sesuatu, maka janganlah dia ambil kembali.

Riwayat Muslim(1406)

Begitu juga Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum pengharaman kahwin mutaah secara mutlak berdasarkan pendapat jumhur sahabat. ( lihat  Subul as-Salam Syarh Bulugh al-Maram Min Jam’i  Adillah  al-Ahkam, 2/ 184).

Kemudian, Qadhi Iyad juga berpendapat bahawa berlaku ijmak dalam kalangan ulama yang mengharamkan kahwin muta’h kecuali aliran Syiah Rafidah. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim li Fawa’id Muslim, 4/ 537)

Turut diambil perhatian bahawa al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Jaafar bin Muhammad al-Sodiq, seorang yang dianggap maksum dan imam keenam menurut dakwaan ajaran Syiah ketika ditanya mengenai kahwin mutaah, beliau menjawab: “Ia adalah zina”.( Lihat Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, 9/ 150)

Nikah mut’ah, adalah nikah yang telah dilarang oleh syara, ia  adalah perkahwinan dengan jangka waktu tertentu, baik jangka waktu yang pendek atau lama. Ini adalah ketika seorang lelaki berkata kepada seorang wanita, ‘Aku telah mengahwini engkau untuk sehari atau sepuluh hari atau sebulan, atau aku telah mengahwini engkau sehingga aku meninggalkan negara ini, atau seumpamanya. Perkara ini tidak dianggap sebagai perkahwinan kerana ia tidak bertujuan untuk kekal .(Lihat al-Umm, 5/75)

Nikah Dengan Niat Talak

Dalam isu ini ulama ada berbeza pendapat :

Pendapat pertama : Jumhur Ulama dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e berpandangan sah nikah seseorang yang berkahwin dengan niat talak.

Ulama mazhab Hanafi menyatakan: Jika seorang wanita menikah dengan niat untuk tinggal bersamanya untuk jangka waktu yang dia inginkan, maka perkahwinan itu adalah sah; kerana waktu yang ditetapkan bergantung pada kata-kata. (Lihat Fath al-Qadir/329)

Al-Dusuki menyatakan dalam kitabnya Syarh al-Kabir: Perkahwinan mut’ah ialah  perkahwinan dijalankan dengan menyebut jangka waktu kepada wanita atau wali nya. Tetapi jika perkara tersebut tidak disebut dalam perjanjian perkahwinan dan  suami tidak memberitahu wanita tentang hal itu, tetapi dia berniat dalam hatinya untuk menceraikannya maka ia dibolehkan. (Lihat Syarh al-Kabir, 2/239)

Pendapat kedua : Haram. Ini merupakan pendata al Awza’I  dan Imam Ahmad.

Ibn Qudamah menyatakan : Jika dia mengahwini wanita tersebut tanpa syarat, kecuali niat dalam hatinya untuk menceraikannya setelah sebulan, atau setelah keperluannya terpenuhi di negara ini, maka perkahwinan itu sah menurut pendapat umum ahli ilmu, kecuali al-Awza’i yang mengatakan bahawa ia adalah nikah mut’ah.. (Lihat al-Mughni, 10/49)

Imam Ahmad Juga menyatakan : sekiranya seorang menikahi seorang wanita dengan niat untuk menceraikannya maka yang demikian aku membecinya kerana ia merupakan muta’h.(Lihat al-Fatawa al-Kubra, 6/13)

Mereka berhujah dengan hadith yang diriwayatkan daripada Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنّما الأعمالُ بالنِّيّاتِ، وإنّما لكلِّ امرئٍ ما نوى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

Apa yang telah diniatkan itu seperti apa yang disyaratkan. Jika seorang lelaki mengahwini seorang wanita yang sebelumnya telah diceraikannya tiga kali, dengan niat untuk menghalalkannya kemudian menceraikannya, maka perkahwinan itu tidak sah  walaupun dilakukan tanpa syarat. Kerana niat memiliki kekuatan seperti syarat, maka jika niat untuk menceraikan wanita tersebut menyebabkan kesalahan dalam akad perkahwinan, maka begitu juga niat nikah mut’ah akan menyebabkan kecacatan dalam akad perkahwinan. Ini adalah pendapat Mazhab Hanbali. (Lihat Fiqh al-Muyassar, 11/47)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan meskipun kedua-dua pernikahan tersebut mempunyai persamaan iaitu bernikah dengan niat untuk talak. Namun terdapat perbezaan yang menyebabkan pernikahan tersebut  sah ataupun tidak iaitu menyatakan tempoh atau kontrak dalam akad.

Syeikh Muhammad Ramadan al-Buti menyatakan : Nikah mut’ah adalah ketika seorang lelaki mengikat hubungan perkahwinannya dengan seorang gadis atau wanita yang ingin dinikahi, untuk jangka masa yang ditentukan semasa akad nikah. Contohnya, dia berkata kepadanya, ‘Jadikan aku suamimu selama seminggu, sebulan, atau setahun. Jenis perkahwinan ini dianggap tidak sah menurut empat mazhab dan semua Ahli Sunnah wal Jamaah. Adapun berkahwin dengan niat talak beliau berkata :  perkahwinan di mana pernyataan lelaki dan wanita tidak terikat dengan jangka masa tertentu dianggap sah, tanpa mengambil kira niat tersembunyi dalam fikiran lelaki atau wanita.[1]

Justeru kami katakan di sini, nikah mut’ah merupakan nikah yang batil yang diamalkan oleh sebahagian kelompok syiah.  Ia telah diharamkan oleh syara’ kerana perkahwinan tersebut lebih membawa kepada mafsadah berbanding maslahah seperti kezaliman terhadap wanita dan berlakunya zuriat yang tidak jelas. Manakala berkahwin dengan niat untuk menceraikan adalah sah mengikut pandangan jumhur ulama kerana ia tidak mengikat apa-apa tempoh atau kontrak dalam akad. Sekiranya dinyatakan tempoh atau kontrak dalam akad maka ia merupakan muta’h yang diharamkan.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan sentiasa menunjukkan kita ke arah jalan yang diredhai-Nya serta kebenaran yang dapat kita ikutinya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

 

[1] https://naseemalsham.com/fatwas/view/29869

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply