Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan berkenaan solat jenazah. Semasa kematian ibu saya, solat jenazah telah dilakukan sebanyak dua kali. Pertamanya, di rumah bersama keluarga selepas dikafankan dan selepas itu disolatkan sekali lagi di masjid selepas solat Jumaat. Mohon pencerahan daripada pihak ustaz, yang manakah lebih baik atau boleh sahaja dilakukan sedemikian? Ini kerana pihak kami telah ditegur oleh seseorang, katanya sepatutnya kami solat jenazah dengan orang ramai dahulu (iaitu di masjid) baru boleh dibuat di rumah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”
(Surah al-A‘raf: 34)
Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Kareem, hlm. 154).
Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)
Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20; 51).
Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).
Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).
Berkenaan tatacara pelaksanaan solat jenazah, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #550: Jumlah Jemaah untuk Solat Jenazah.[1]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya tidak ada masalah untuk melakukan solat jenazah sebanyak dua kali, selama mana jarak antara solat jenazah dan tempoh kebumiannya tidak mengambil masa yang terlalu lama. Hal ini kerana kita diperintahkan untuk menyegerakan dan menyelesaikan urusan pengurusan jenazah secepat mungkin.
Oleh itu, tidak menjadi kesalahan sama ada untuk melakukan solat jenazah terlebih dahulu di rumah, kemudian barulah di masjid mahupun sebaliknya. Apatah lagi dengan mendirikan solat jenazah di rumah, dalam sesetengah situasi ia dapat memberi peluang kepada ahli keluarga seperti isteri yang dalam ‘iddah kematian suami (jika suaminya meninggal dunia) untuk mendirikan solat jenazah ke atas suaminya tanpa perlu keluar rumah.
Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan mendirikan solat jenazah di masjid adalah lebih baik dan afdhal kerana jemaah lebih ramai. Hal ini kerana di sana terdapat kelebihan bagi jenazah yang disolatkan oleh ramai jemaah. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ
Maksudnya: “Tidak ada seorang lelaki Muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat daripada mereka buat dirinya (jenazah tersebut).”
Riwayat Muslim (948), Abu Daud (3170), Ahmad (2509) dan Ibn Hibban (3082)
Oleh itu, semakin ramai jumlah orang yang melakukan solat ke atas jenazah seseorang, maka itu adalah lebih baik. Alangkah beruntung dan bahagianya seseorang yang ketika meninggal dunia disolatkan oleh seramai 40 orang atau lebih, di mana mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, mengikhlaskan doa kepadanya dan dengan demikian semoga Allah memberi syafaat kepada jenazah itu dengan berkat Jemaah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/jumlah-jemaah-untuk-solat-jenazah/. Diakses pada 11 Julai 2023.
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H