Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar kisah yang dikatakan terompah Imam Ahmad ditakuti oleh syaitan atau jin. Benarkah kisah tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ

Maksudnya: “Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya).

Surah al-Maidah (3)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab kami Biografi Imam 4 Mazhab bermula halaman 265-267:

Di dalam Tabaqat al-Hanabilah (1/233) oleh al-Qadhi Abi al-Husin bin Abi Ya’la al-Farra’ menceritakan: 

Suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal sedang berada dalam majlis pengajarannya di masjid. Kemudian datang seorang wakil daripada Khalifah al-Mutawakil dan memberitahunya bahawa seorang hamba perempuan milik Khalifah telah dirasuk oleh jin. Khalifah meminta agar Imam Ahmad mendoakannya supaya sihat.

Maka Imam Ahmad pun memberikan satu terompah yang diperbuat daripada kayu yang dipakainya untuk berwudhuk lalu diberikan kepada wakil khalifah tadi dan berkata, “Pergilah ke istana Amirul Mukminin dan duduklah di samping kepala hamba sahaya itu, lalu katakan kepada jin yang ada di dalam tubuhnya: “Ahmad berkata kepadamu: Mana yang kamu pilih, keluar dari tubuh hamba perempuan ini atau dipukul 70 kali dengan terompah ini?” 

Setelah itu lelaki tersebut pergi bertemunya dan menyebut kepadanya sepertimana yang dikatakan Imam Ahmad kepadanya. Lantas jin itu berkata kepadanya – melalui percakapan hamba perempuan itu – : “Saya akan dengar dan taat. Dan seandainya Imam Ahmad bin Hanbal menyuruh kami (bangsa jin) untuk tidak tinggal di Iraq pasti kami akan taatinya. Sesungguhnya beliau ialah orang yang taat kepada Allah. Sesiapa sahaja yang taat kepada Allah SWT pasti setiap sesuatu akan taat kepadanya.” 

Lalu jin tersebut pun keluar dari tubuh hamba sahaya itu. Hamba perempuan tersebut akhirnya sembuh dan dikurniakan anak yang ramai.

Namun setelah Imam Ahmad wafat, jin kembali merasuknya. Maka al-Mutawakkil mengadu hal tersebut kepada rakan Imam Ahmad iaitu Abu Bakar al-Marwazi. Dia menceritakan mengenai kejadian sebelumnya kepada beliau. Setelah itu al-Marwazi mengambil selipar (yang pernah diberikan Imam Ahmad) lalu pergi bertemu hamba sahaya perempuan tersebut. Namun begitu Jin Ifrit – melalui percakapan perempuan itu berkata, “Saya tidak akan keluar dari tubuh perempuan ini, saya tidak akan mematuhi dan saya tidak akan menerimamu. Ahmad bin Hanbal ialah orang yang sentiasa taat kepada Allah, dia menyuruh kami untuk mentaatinya.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/233. Lihat juga Akam al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh al-Syibli, hlm. 135-136; Luqth al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh al-Suyuti, hlm. 108-109)

Kisah ini menggambarkan bagaimana seorang yang dekat dengan Allah SWT akan dapat mampu menundukkan musuh-musuh yang mengganggu anak Adam.

Sesungguhnya apabila seseorang takutkan Allah SWT nescaya makhluk takutkannya. Disebut:

مَنِ اتَّقَى اللهَ اتَّقَاهُ كُلُّ شَيْءٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang takut dan bertakwa kepada Allah, maka akan takutlah kepadanya oleh segala yang lain.”

Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada Allah SWT:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al- Kubra (10178) dan Ahmad (446)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply