Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya Saya ada bagi pinjaman kepada kawan sebanyak 500k untuk dia buat pelaburan dalam perniagaan dalam tempoh setahun. Soalan saya, perlukah saya keluarkan zakat atas duit 500k itu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Taubah: 103)

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbab R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW ketika mengutusakan Mua’z Bin Jabal ke Yaman Baginda bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.” 

Riwayat al-Bukhari (1496)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, ulama Syafi’ie membahagikan zakat  hutang kepada 2 bahagian :

Pertama : Hutang segera iaitu hutang yang wajib dibayar secepat mungkin khususnya apabila dituntut.

Sekiranya pemiutang boleh mendapatkannya semula daripada penghutang yang mampu melunaskannya, dia wajib segera mengeluarkan zakatnya, sekalipun hutang itu belum diterimanya. Ini kerana hutang tersebut telah dikuasainya, samalah keadaannya dengan harta wadi’ah yang boleh diambil daripada penghutang dan menggunakannya pada bila-bila masa.

Sekiranya pemiutang tidak mampu mendapatkan hutangnya semula kerana kesusahan penghutang atau dia tidak mengakuinya, sedangkan pemiutang tiada bukti untuk mendakwanya, maka dia tidak wajib mengeluarkan zakatnya pada ketika itu. Ini kerana dia tidak mampu mengambil dan menggunakan hutang tersebut. Namun demikian menurut mazhab Syafie, zakatnya tetap disimpan selama hutang itu dalam tanggungan penghutang berkenaan, dan jumlah zakat yang tertunggak, hendaklah dikeluarkan apabila hutang tersebut diterimanya kerana zakat hutang itu wajib ke atas zimmah (tanggungjawab) pemiliknya pada setiap tahun. Keadaannya sama dengan harta yang hilang, wajib dikeluarkan zakatnya apabila harta itu didapati semula. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/68)

Kedua : Hutang Bertangguh iaitu hutang yang diberikan tempoh masa untuk melunaskannya.

Hutang bertangguh tidak wajib dikeluarkan zakat sehinggalah tempoh akhir masa yang dipersetujui bersama. Sekiranya tempoh yang diberikan sudah tamat dan pemberi hutang telah menerima hutangnya ataupun belum terima tetapi mampu mendapatkannya, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya bagi tahun-tahun yang lalu berdasarkan mazhab Syafie. Sekiranya hutang tersebut belum diterima dan tidak mampu mendapatkannya, dia hendaklah menunggu sehingga mampu diperoleh, kemudian barulah mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun yang lalu. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/69)

Justeru dalam isu ini kami katakan ia termasuk dalam hutang yang segera kerana ia mampu memperolehnya dalam tempoh setahun dan wajib mengeluarkan zakat   sekiranya cukup nisab dan haul .

Semoga penjelasan ini dapat membantu dalam menguruskan zakat dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah :201)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply