Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa dan apa hikmah wanita harus memakai emas dan sutera sedangkan tidak bagi lelaki?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan sebuah hadith:
Diriwayatkan daripada Saidina Ali RA, katanya:
إِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي.
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah mengambil kain sutera dan dipegangnya di tangan kanannya dan mengambil emas dan dipegangnya pada tangan kirinya, kemudian Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya kedua-dua ini adalah haram bagi kaum lelaki dari umatku.”
Riwayat Abu Daud (4057), al-Nasa’ie (5144), Ibn Majah (3595) dan Ahmad (750). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini adalah Sahih li Ghairihi dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan dalil yang digunakan jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)
Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa lelaki tidak dibolehkan untuk memakai emas dan sutera. Ini bertujuan untuk mendidik mereka denagn satu moraliti yang tinggi lagi mulia. Di samping itu, Islam mementingkan perjuangan dan kekuatan. Ini wujud bagi lelaki. Dari sudut bentuk anggotanya tidak seperti wanita. Dia tidak boleh menyerupai wanita dengan menghiaskan diri berdasarkan barangan dan pakaian seperti emas dan sutera. Di samping itu, agar kita memerangi segala hidup bermewah-mewahan yang boleh membawa kepada kebinasaan.Begitu juga, kalau lelaki dibenarkan maka akan berlaku ketidakadilan sosial.
Berkenaan dengan hikmah keharusan bagi wanita memakai emas dan sutera, kami nukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi:
“Kerana adanya pengecualian hukum bagi kaum wanita, iaitu dibolehkan bagi kaum wanita memakai emas dan sutera untuk menjaga perasaan wanita dan tuntutan kewanitaannya dengan sifat atau fitrah semulajadi kaum wanita itu suka serta cenderung untuk menghias diri. Kecenderungan untuk bermewah atau menghias diri itu tidaklah bertujuan untuk menggoda kaum lelaki serta menaikkan semangat nafsu syahwatnya.” (Lihat Halal dan Haram Dalam Islam, hlm. 151)
Saya katakan, wanita berbeza dengan lelaki kerana sifatnya yang lembut dan ia menjadi suri kepada suaminya. Justeru, perhiasan menambahkan lagi keakraban hubungan antara pasangan tersebut kerana dilihat isterinya berhiasan untuknya yang menjadikan ketenangan bagi suami dan membawa kebahagiaan.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H