Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Salah tak saya membuat zakat 2.5% daripada pelaburan tanpa melalui saluran pejabat zakat? Saya yang uruskan sendiri dengan niat saya sendiri kepada yang memerlukan dengan 2.5% itu. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, zakat hendaklah diberikan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya seperti firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:

 إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Hukum menunaikan zakat bagi orang Islam yang mencukupi syaratnya adalah wajib secara nas dan ijma’ sepertimana yang termaktub dalam surat yang ditulis oleh Abu Bakar R.A:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى المُسْلِمِينَ

Maksudnya:Kefarduan sedekah (yakni zakat) ini ialah seperti mana yang difardukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin.”

Riwayat al-Bukhari (1454)

Seterusnya, zakat hendaklah diberikan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui ayat 60 daripada Surah al-Taubah yang telah disebutkan di atas. Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat. (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265).

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya dalam konteks negara kita dan dari segi pengamalan, seseorang itu hendaklah membayar zakat ke pihak pemerintah melalui amil yang telah dilantik. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat, serta pemerintah hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun. Ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. (Lihat Fiqh al-Zakah oleh al-Qaradhawi, 2/208).

Justeru, pemerintah wajib untuk melantik amil bagi memungut zakat. Rasulullah SAW dan para khalifah selepas Baginda telah menghantar wakil-wakil untuk memungut zakat. Ini kerana dalam kalangan masyarakat ada yang tidak mengetahui kewajipan untuk mengeluarkan zakat atau bakhil, maka wajib atas pemimpin untuk melantik wakil bagi memungutnya. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/168).

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas tersebut dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walau bagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.

Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Hal ini kerana pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang dilihat lebih penting. Apatah lagi pusat-pusat zakat negeri biasanya lebih mengetahui dan mempunyai maklumat berkenaan bilangan asnaf dan keperluan mereka serta yang berkaitan dengannya kerana mereka mempunyai database berkenaan perkara tersebut. Justeru, pengagihan melalui mereka akan lebih efisien. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Kemudian, kalau ada sejumlah wang yang diberikan kepada kita oleh pihak berkuasa zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf melalui skim khas berupa wakalah agihan kepada para pembayar zakat untuk membayar sendiri kepada asnaf, maka bayarlah dan agihkanlah sendiri kepada asnaf-asnaf yang layak. Walau bagaimanapun, maklumat lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk atau menghubungi pihak Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply