Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh saya dapatkan sedikit penerangan daripada Dato’ Seri berkenaan dengan tujuan sebenar kita bekerja? Saya mohon sedikit panduan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).”
Surah al-Mulk (15)
لأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِ بِحَزْمَةِ حَطَبٍ عَلَى ظَهْرِهِ فَبَيْعَهَا فَيَكُفَّ الله بها وَجْهَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطُوهُ أَوْ مَنْعُوهُ
Maksudnya: “Bahawa seseorang kamu mangambil tali, kemudian dia mengangkat seikat kayu di belakangnya, lalu dijualnya dengan itu Allah SWT akan mengangkat air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang, sama ada diberikan orang apa yang dimintanya ataupun ditolaknya.”
Riwayat al-Bukhari (1470), Ibn Majah (1836), al-Nasaie (2589) dan Ahmad (1429)
Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Orang mukmin yang sebenar tidak beramal semata-mata untuk kejayaan dan kemenangan tetapi ia beramal dan bekerja kerana mengikut perintah Allah SWT dan melaksanakan hak ubudiyyah kepada-Nya di samping mencari keredhaan-Nya.” Jika telah tahqiq demikian itu, serta membawa kejayaan dalam usahanya, maka ia dianggap sebagai kebaikan, bonus dan keberkatan serta kurniaan nikmat daripada Allah SWT. Sebaliknya, jika tidak mencapai kejayaan selepas dia usaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh maka cukuplah bahawa ia telah menunaikan kewajipannya dan menyampaikan risalahnya.
Kami katakan kerja termasuk dalam sebuah kehidupan yang semestinay dibuat kerana Allah SWT dan mencari keredhaan Allah SWT. Natijahnya, dia akan memilih pekerjaannya yang halal serta yang diberkati Allah SWT. Maka, terbinalah sebuah kehidupan yang semua dan seluruh kehidupannya semata-mata dikeranakan kerana Allah SWT:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
Surah al-An’am (162)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H