Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Islam mengharamkan kita menganggur?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Takrif menganggur
Mengikut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat menganggur bermaksud perihal (keadaan) menganggur iaitu keadaan (ramai) orang tidak mempunyai pekerjaan.
Statistik pengangguran di Malaysia
Kadar pengangguran di Malaysia pada Februari 2023 ialah pada paras 3.5 peratus, dengan 591.9 ribu orang penganggur, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bagi suku pertama 2023.
Dalam menjawab persoalan di atas, Islam menentang pengangguran dan tidak suka umatnya menganggur. Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:
“Setiap Muslim tidak boleh bersikap malas dalam mencari rezeki, sekalipun dengan alasan untuk beribadat kepada Allah SWT ataupun bertawakal kerana sesungguhnya langit itu tidak pernah menghujani emas atau perak.
Begitu juga tidak seharusnya bergantung kepada sedekah yang diberikan kepadanya sedangkan dia memiliki tenaga dan kekuatan untuk berusaha mencari rezeki sendiri yang dapat memenuhi keperluan keluarganya dan sesiapa yang ditanggungnya.” (Lihat Halal dan Haram Dalam Islam, hlm. 218)
Antara cara mengatasi masalah menganggur adalah dengan mempelajari ilmu, mencari bidang kerja yang diminati dan yang boleh dilakukan seperti direct selling, mengambil upah sesuatu pekerjaan, menceburkan diri dalam bidang pertanian, penternakan, pertukangan, perikanan dan pelbagai jenis lagi. Sesungguhnya, rezeki Allah SWT tidak datang bergolek tetapi perlu kepada usaha, doa dan tawakkal, insyaAllah akan direzekikan oleh Allah SWT.
Tambahan pula, apabila sentiasa bertaqwa dan beramal soleh. Benarlah firman Allah SWT:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Surah al-Talaq (2-3)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang bertakwa dengan sebenar-benarnya, maka akan dibalas oleh Allah SWT dengan dua perkara:
Pertama: “Allah SWT mengadakan jalan keluar baginya.” Ertinya, Allah SWT akan menyelamatkannya – sepertimana disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma – daripada setiap kesusahan dunia mahupun akhirat. Menurut al-Rabi’ bin Khuthaim pula, maksudnya, “Allah SWT akan memberi jalan keluar daripada setiap apa yang menyesakkan manusia.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/159; Zad al-Masir, 8/291; Ma’alim al-Tanzil, 4/357 dan Tafsir al-Khazin, 7/108)
Kedua: “Allah akan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” Ertinya, Allah SWT akan memberikan rezeki yang dia tidak pernah harapkan dan angankan. (Lihat Zad al-Masir, 8/291)
Ibn Kathir menyebut: “Maknanya, sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya, nescaya Allah akan memberinya jalan keluar serta rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, yakni dari arah yang tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/400)
Menurut al-Husain bin al-Fadhl makna ayat di atas ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dengan menunaikan segala kewajipan fardhu, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar daripada segala balasan seksa. Begitu juga ‘diberikan rezeki kepadanya’ yakni balasan pahala daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dalam erti kata lain, Allah SWT memberkati setiap apa yang diberikan dan dikurniakan kepadanya. Bahkan Sufyan bin ‘Uyaynah ketika mentafsirkan ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” menyatakan bahawa maknanya:
هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ
Maksudnya: “Ia ialah keberkatan dalam rezeki.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/159-160)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
(Surah al-A‘raf: 96)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam mentafsirkan firman-Nya, ‘لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ (Tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi), beliau berkata: “Nescaya, Kami lapangkan kebaikan (kekayaan) untuk mereka dan Kami mudahkan bagi mereka untuk mendapatkannya dari segala arah.” (Lihat Tafsir Abi al-Su’ud, 3/253)
Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertaqwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan. Manakala ayat: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) pula bermaksud hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/420)
Al-Baidhawi berkata: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) bermaksud Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya juga ialah hujan dan tanam-tanaman. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294)
Al-Zamakhsyari pula berkata: ‘لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ bermaksud Allah SWT akan datangkan kepada mereka kebaikan dalam pelbagai bentuk. Selain itu, dikatakan juga maksudnya ialah hujan dan tanam-tanaman. (Lihat al-Kassyaf, 2/260)
Manakala al-Suyuti berkata: ‘لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ bermaksud langit akan memberikan kepada mereka berkatnya, manakala bumi dengan tanam-tanamannya. (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/274)
Janji Allah SWT yang terdapat dalam ayat yang mulia tersebut terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa mengandungi beberapa perkara, antaranya janji Allah SWT untuk membuka ‘بَرَكَاتٍ’ (keberkatan) bagi mereka. Perkataan ‘البركات’ adalah bentuk jama’ daripada ‘البركة’. Imam al-Baghawi berkata: “Ia bermaksud melakukan sesuatu secara terus-menerus. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/183) Al-Khazin pula berkata: “Yakni, tetapnya suatu kebaikan Tuhan atas sesuatu.” (Lihat Tafsir al-Khazin, 2/266)
Menurut al-Razi, maksudnya adalah keberkatan langit dengan turunnya hujan, keberkatan bumi dengan tumbuhnya pelbagai tanaman dan buah-buahan, banyaknya haiwan ternakan dan gembalaan, serta diperolehnya keamanan dan keselamatan. Hal ini kerana langit adalah laksana bapa, dan bumi laksana ibu. Daripada kedua diperoleh semua bentuk manfaat dan kebaikan berdasarkan penciptaan dan pengurusan Allah SWT. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/185. Lihat juga Tafsir al-Khazin, 2/266 dan al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/22)
Hal yang sama juga dijelaskan oleh Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri, katanya: ‘بركات من السماء والأرض’ Iaitu jamak kepada “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486)
Justeru, maksud daripada perkataan ‘البركات’ (keberkatan-keberkatan) adalah bahawa apa yang diberikan Allah disebabkan oleh keimanan dan ketakwaan mereka adalah kebaikan yang terus-menerus.
Buya Hamka ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertaqwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Hal ini kerana iman dan takwa itu menimbulkan hubungan silaturahim sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.
Berkat itu ada dua jenis, iaitu hakiki dan maknawi. Berkat yang hakiki ialah seperti hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi. Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain.
Manakala berkat yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk daripada Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas. (Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H