Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Amalan bacaan surah yasin 7 mubin iaitu setiap kali jumpa ayat mubin kita berhenti baca surah yasin dan ulang kembali membaca semula dari awal surah yasin sehingga habis bertemu ayat mubin sebanyak 7 kali dalam surah yasin, adakah boleh untuk di amalkan sekiranya kita diuji Allah dengan gangguan sihir atau hilang barang? Amalan ini adakah bertentangan dengan akidah ahli sunnah wal jamaah atau dibolehkan untuk kita mengamalkannya? Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran. Selain itu, hadith Nabi SAW juga menunjukkan bahawa  sesiapa yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang besar. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. 

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Terdapat sebuah hadith yang dinilai sahih oleh Ibn Hibban walaupun status menjadi perselisihan oleh para ahli hadith, namun Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Sahih Ibn Hibban sebagimana yang diriwayatkan daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”. 

Riwayat Ibn Hibban (2574). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (2574) menyatakan bahawa para perawinya thiqah tetapi al-Hasan melakukan tadlis dengan ‘an’anah.

Antara salah satu yang diriwayatkan oleh orang ramai yang menganggapnya adalah sebagai hadith berkenaan kelebihan surah yasin ialah:

سُورَةُ يَسٍ لِمَا قُرِئَتْ لَهُ

Maksudnya: “Yasin tergantung niat dibacanya”

Hal ini seolah-olah menunjukkan bahawa surah Yasin menjadikan pembacanya ditunaikan hajatnya dan dipermudahkan urusannya berdasarkan niat pembacanya. 

  • Imam al-Sakhawi mengkritik riwayat ini dengan berkata: “Tidak ada asal dengan lafaz ini.” (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 741)
  • Al-Qadhi Zakariya pula berkata berkenaan riwayat ini: “Hadith palsu” (Lihat Kasyf al-Khafa’, 2/2215)
  • Mulla ‘Ali al-Qari berkata: “Dikatakan bahawa hadith ini tidak ada asalnya atau asalnya palsu.”  (Lihat al-Asrar al-Marfu’ah, 377)

Membaca Surah Yasin dengan Kaedah 7 Mubin

Pertamanya, membaca Surah Yasin dengan kaedah ini membuatkan doa terkabul atau mengelakkan gangguan sihir atau untuk mencari hilang barang, maka daripada sudut syara’ ia tidak mempunyai sebarang sandaran. 

Selain itu, Ibnu Kathir juga pernah menukilkan dalam tafsir dari sebahagian ahli imu, “Antara kelebihan surah Yasin ini ialah ia tidak dibacakan ketika seseorang itu berada dalam masalah, melainkan Allah akan mudahkan baginya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/742)

Ini juga merupakan ijtihad daripada mereka dan bukannya sebagai dalil daripada al-Quran, al-Sunnah atau perkataan sahabat dan juga tabi’in. 

Namun begitu, kaedah ini diamalkan lebih kepada tajribah atau mujarrabah (pengalaman yang dilakukan) sebahagian ulama atau orang-orang soleh dan hasil yang didapati adalah tercapai cita-cita atau kehendak pembacanya. Tetapi ia bukanlah fatwa dan tidaklah semestinya berlaku kerana ia hanya sekadar pengalaman mereka yang mereka kongsikan. 

Tidak ada sesiapa boleh meletakkan kelebihan atau fadhilat sesuatu surah melainkan apa yang disebut dalam nas dan juga syara’. Bahkan sesiapa yang meletakkan tajribah dan pengalaman untuk menetapkan kaedah sesuatu surah itu dibaca disebabkan oleh hasil yang diterima oleh orang-orang soleh sebelum ini, maka bagaimana pula dengan pengalaman kebanyakan orang yang membaca surah yasin dengan kaedah ini untuk memenuhi hajatnya, tetapi Allah tidak memenuhinya?

ٍSyeikh Taqiyuddin Abu al-Abbas berkata: “Dari sini ramai orang yang keliru. Sesungguhnya telah sampai kepada mereka bahawa sebahagian orang soleh beribadah dengan suatu ibadah atau berdoa dengan suatu doa dan berhasil mendapatkan kesan daripada ibadah dan doa itu. Maka mereka menjadikan sebagai dalil kebaikan daripada ibadah dan doa itu dan menjadikan hal itu sebagai suatu sunnah, seakan-akan telah dilakukan oleh seorang Nabi. Hal ini merupakan suatu kekeliruan seperti yang telah kami sebutkan. Apalagi kesan daripada amalan itu adalah kerana keikhlasan hati pelakunya ketika melakukannya. Kemudian dilakukan oleh pengikutnya hanya sekadarnya dan bukan dengan keikhlasan sehingga mereka merosakkannya. Hal ini kerana amalan itu bukanlah amalan yang dianjurkan sehingga mereka mendapatkan pahala daripada orang yang mengikutinya dan juga tidak dilakukan dengan ikhlas oleh pelakunya, yang apabila dilakukan dengan permintaan yang ikhlas dan niat yang benar pelakunya dapat menghapuskan dosa pelakunya.” (Lihat Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim, 2/698-700)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin ini, para ulama’ menyatakan bahawa kebanyakan hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin adalah dhaif (lemah) atau palsu. Walaupun begitu, kita sangat digalakkan dan dituntut untuk sentiasa melazimi dan membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat, berdasarkan dalil umum yang terdapat di dalam al-Quran dan juga di dalam al-Sunnah al-Sahihah.

Selain itu, membaca Surah Yasin dengan kaedah seperti yang dinyatakan oleh saudara yang bertanya membuatkan doa terkabul atau mengelakkan gangguan sihir atau untuk mencari hilang barang, maka daripada sudut syara’ ia tidak mempunyai sebarang sandaran sama sekali sebagaimana perbahasan yang kami sebutkan di atas.

Namun begitu, kami katakan juga bahawa dari sudut amalan untuk kita baca dan lazimi mana-mana surah bukanlah satu kesalahan bahkan ia lebih kepada tajribah (pengalaman yang dilakukan) sebahagian ulama atau orang-orang soleh. Hasil yang didapati adalah tercapai cita-cita atau kehendak pembacanya. Maka, kami katakan ini kerana doa mereka dan juga kurniaan Allah SWT atas keikhlasan mereka dalam membaca ayat-ayat Allah SWT serta berdoa kepada-Nya. 

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan menjauhkan kita daripada terlibat dengan sebarang urusan kesyirikan.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply