Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Satu persoalan timbul, jika orang kaya yang bersungguh-sungguh beribadat kepada Allah SWT siang dan malam, adakah baik baginya? Atau ada lagi cara yang lebih baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa sifat tersebut adalah terpuji kerana diberi kepadanya dua perkara; satu kekayaan harta benda dan keduanya kuat beribadat siang dan malam. Walaupun begitu, kami tertarik dengan satu jawapan yang diberi oleh seorang ahli tasawwuf pada zaman dahulu bila dikatakan kepadanya, “Sesungguhnya, si fulan yang kaya itu sentiasa qiyamullail dan puasa di siang hari.” lantas, jawabnya, “Orang seperti ini telah meninggalkan keadaannya dan telah memasuki keadaan orang lain. Sebenarnya, halnya memberi makan kepada orang yang memerlukannya dan menolong orang-orang yang sukar serta membelanjakan harta fi sabilillah. Itulah yang sepatutnya.” 

Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ‎﴿٩﴾‏ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا ‎

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut.

Surah al-Insan (8-10)

Al-Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa mereka memberi makan kepada orang miskin, anak yatim serta orang tawanan dengan hanya mengharapkan keredhaan dari Allah SWT. Mereka tidak mengharapkan balasan serta ucapan terima kasih dari manusia. Bahkan perbuatan mereka itu tidak lain dan tidak bukan untuk mengharapkan rahmat dan kelembutan Allah di mana nanti pada hari kiamat hari di mana kesempitannya berpanjangan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/289)

Jawapan beliau mengingatkan saya kepada kenyataan Ibnu ‘Ataillah al-Sakandari dalam kitabnya al-Hikam kata beliau:

إِرَادَتُكَ التَّجْرِيدَ مَعَ إِقَامَةِ اللهِ إِيَّاكَ فِي الأَسْبَابِ مِنَ الشَّهْوَةِ الخَفِيَّةِ ، وَإِرَادَتُكَ الأَسْبَابَ مَعَ إِقَامَةِ اللهِ إِيَّاكَ فِي التَّجْرِيدِ انْحِطَاطٌ عَنِ الهِمَّةِ العَلِيَّةِ

Maksudnya: “Kehendakmu untuk tajrid (beribadat tanpa perlu berusaha dunia), padahal Allah masih menempatkanmu pada golongan orang yang harus berusaha (kasab) untuk mendapatkan keperluan sehari-hari, maka kehendak itu adalah daripada syahwat hawa nafsu yang tersembunyi. Sebaliknya, kehendakmu untuk berusaha (kasab), padahal Allah telah menempatkan dirimu pada golongan orang yang beribadah tanpa perlu kasab, maka kehendak yang demikian bererti menurun daripada cita-cita yang tinggi.”

Suatu persoalan, jika seorang lelaki yang kaya tidak melaksanakan tanggungjawab yang wajib:

  • Adakah cukup dengan bekerja sahaja?
  • Atau tidak perlu bekerja tetapi cukup dengan beramal sahaja?

Jika dia memilih cara berdiam diri sahaja dan bergantung dengan apa yang ada seperti orang malas, cara itu adalah kehidupan binatang, dan jika dia teruskan bekerja sambil membelanjakan sebahagian daripada hartanya fi sabilillah sudah tentu lebih baik baginya.

Saya pernah mendengar ungkapan tokoh perniagaan terkenal Malaysia, apabila ditanya kenapa masih mengusahakan lagi syarikat dan perniagaan yang besar? Beliau menjawab: “Saya mahu ramai orang dan pekerja saya dapat peluang bekerja seterusnya dapat menunaikan tanggungjawab kepada keluarga masing-masing dengan nafkah yang mencukupi.” (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/16)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْماً كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply