Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Antara mencukur dan menggunting sebahagian rambut, mana satu yang lebih baik dilakukan ketika bertahallul, bagi jemaah lelaki? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam bahasa Arab, mencukur rambut di kepala disebut dengan istilah al-tahliq (التَّحْلِيْق). Manakala, jika memendekkan dan memotong hanya sebahagian rambut di kepala, disebut dengan istilah al-taqsir (التَّقْصِير). Kedua-dua istilah tersebut dapat kita baca di dalam ayat al-Quran, firman Allah SWT:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ’, yakni dalam keadaan mencukur seluruh rambutnya, dan sebahagian yang lain sebahagian rambutnya. Al-Tahliq (mencukur seluruh rambut) dan al-taqsir (memotong sebahagian rambut) untuk kaum lelaki, kedua-duanya boleh. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/421)

Tahallul dalam ibadah haji dan umrah bermaksud perbuatan membebaskan diri daripada ihram dengan melakukan segala amalan yang dituntut di dalam rukunnya dengan mencukur atau memendekkan rambut. Bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/142)

Dalam menjawab persoalan di atas, antara cara tahallul yang terbaik dan mengikut sunnah ialah dengan bercukur rambut di kepala secara keseluruhannya ketika bertahallul haji atau umrah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ». وَقَالَ اللَّيْثُ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ: «رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ» مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ. قَالَ: وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ، وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ: «وَالْمُقَصِّرِينَ»

Maksudnya: “‘اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.”  Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).” Al-Laith berkata, Nafi‘ menyampaikan kepadaku, bahawa Baginda mengucapkan: “Semoga Allah merahmati orang-orang yang mencukur (rambut mereka).” Baginda mengucapkannya sebanyak dua atau tiga kali. Dia berkata: ‘Ubaidullah berkata: Nafi‘ menyampaikan kepadaku: Baginda berkata pada kali keempat: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).

Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)

 Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW mendoakan:

‏ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْمُقَصِّرِينَ، قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْمُقَصِّرِينَ، قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ‏.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْمُقَصِّرِينَ، قَالَ:‏ وَلِلْمُقَصِّرِينَ‏‏.‏

Maksudnya: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, ampunkanlah orang-orang yang mencukur rambut mereka!)” Para sahabat berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang menggunting (rambut mereka)?” Baginda berdoa: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, ampunkanlah orang-orang yang mencukur rambut mereka!).” Para sahabat berkata lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang menggunting (rambut mereka)?” Baginda berdoa lagi: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, ampunkanlah orang-orang yang mencukur rambut mereka!).” Para sahabat berkata lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang menggunting (rambut mereka)?” Baginda pun mengucapkan: “Dan juga orang-orang yang menggunting (rambut mereka).”

Riwayat al-Bukhari (1728), Muslim (1302), Ibn Majah (3043) dan Ahmad (7158)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Mencukur rambut lebih utama daripada sekadar memendekkannya. Hal ini kerana ia lebih sempurna dalam ibadah, lebih menunjukkan ketundukan dan kerendahan serta lebih membuktikan keikhlasan niat. Manakala bagi orang yang memendekkan rambut, maka masih ada rambut di kepalanya untuk menghias diri; berbeza dengan orang yang mencukur rambut, di mana ia menanggalkan semuanya demi Allah. Di sini, terdapat isyarat untuk melakukan tajarrud (menanggalkan semua bentuk kemewahan). Maka berdasarkan hal ini, sebahagian orang-orang yang soleh menyukai agar seseorang mencukur rambutnya ketika bertaubat. (Lihat Fath al-Bari, 9/391)

Kata beliau lagi: Memendekkan rambut dan tidak mencukurnya telah mencukupi. Hal ini telah disepakati kecuali riwayat yang dinukilkan oleh al-Hasan al-Basri, bahawa mencukur rambut menjadi kemestian pada haji yang pertama. Pendapat ini dinukilkan oleh Ibn al-Munzir daripadanya dengan menggunakan lafaz yang menunjukkan bahawa riwayat tersebut tidak tepat.

Sementara telah dinukilkan pendapat daripada al-Hasan, yang mana menunjukkan sebaliknya. Ibn Abi Syaibah, “Abd al-A’la menceritakan kepada kami, daripada Hisyam, daripada al-Hasan tentang seseorang yang belum pernah mengerjakan haji; apakah dia boleh memilih antara mencukur rambut atau memendekkannya?” Dia menjawab: “Boleh.”

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan juga daripada Ibrahim al-Nakha’i, katanya: “Apabila seseorang melakukan haji yang pertama, maka hendaklah dia mencukur rambutnya. Apabila dia menunaikan haji setelah itu, maka dia boleh memilih antara mencukur rambut atau memendekkannya.”

Kemudian Ibn Abi Syaibah meriwayatkan juga bahawa Ibrahim al-Nakha’i berkata: “Mereka menyukai agar seseorang mencukur rambut pada haji dan umrah yang pertama.”

Riwayat ini menunjukkan bahawa mencukur rambut itu hukumnya mustahab (disukai), dan bukan wajib. Hanya saja menurut ulama mazhab Maliki dan Hanbali, bahawa seseorang hendaklah mencukur rambutnya apabila dia tidak memintal, menggulung atau menyanggul rambutnya.

Ini juga merupakan pendapat al-Thauri dan Imam a-Syafi’i dalam mazhabnya yang qadim (lama), serta majoriti ulama yang lain. Adapun dalam mazhab barunya (qaul jadid), Imam al-Syafi’i berkata (sepertimana pendapat mazhab Hanafi): “Mencukur rambut dalam keadaan seperti itu bukan satu kewajiban. Kecuali jika seseorang telah bernazar atau rambutnya sangat tipis sehingga tidak mungkin dipendekkan; atau dia tidak memiliki rambut. Maka (dalam keadaan itu), pisau dilalukan di atas kepalanya sebagaimana layaknya mencukur rambut.”  (Lihat Fath al-Bari, 9/390)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW berkata kepada lelaki Ansar:

وأَمّا حِلاقُكَ رَأْسِكَ؛ فَلكَ بكلِّ شَعْرَةٍ حَلَقْتَها حسنةُ، وتُمْحى عَنْكَ بِها خَطِيئَةٌ

Maksudnya: “Mengenai cukur rambutmu (ketika tahallul), setiap helai rambut yang kamu cukur akan menjadi pahala untukmu, dan ia akan menghapuskan dosa-dosamu dengan setiap helai rambut yang ia cukur.” (Lihat al-Jami’ al-Sahih li al-Sunan wa al-Masanid, 7/303)

Semoga Allah SWT menerima amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply