Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dapati, apabila seseorang berihram, terdapat banyak larangan-larangan yang mesti dijaga dan dipatuhi. Soalan saya, apakah hikmah di sebalik wujudnya larangan-larangan dalam ihram itu? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut:

Rahsia di sebalik adanya larangan-larangan dalam ihram adalah agar pelaksana ibadah haji mengingati bahawa dengan ziarah ke Baitullah, sesungguhnya dia pergi menuju Allah SWT, sehingga dia melepaskan diri daripada kebiasaan-kebiasaan dan kemewahan-kemewahannya, menanggalkan simbol-simbol kebanggaannya yang membezakannya daripada orang lain, sehingga orang kaya dan miskin sama, rakyat jelata serupa dengan pemerintah, dan semua manusia dari segala peringkat mengenakan pakaian seperti pakaian orang mati.

Demikian itu mengandungi pelajaran yang tidak ternilai harganya dalam menjernihkan jiwa dan menyedarkan hati tentang hakikat ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah, serta ukhuwwah (ikatan persaudaraan) kepada sesama manusia.

Dalam hadith sahih, dinyatakan:

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ 

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji kepada Allah tanpa mencampurnya dengan perkataan kotor dan perbuatan fasik, nescaya dia akan kembali dalam keadaan bersih daripada dosa-dosanya sepertimana ketika dia baru sahaja dilahirkan.”

Riwayat al-Bukhari (1521), Muslim (1350), al-Tirmizi (811) al-Nasa’ie (2627), Ibn Majah (2889) dan Ahmad (9311)

Hal ini kerana, dengan menghadap Allah SWT dalam keadaan demikian dan berjuang dalam manasik-manasik tersebut dengan cara yang disyariatkan, maka dapat menghapus bekas-bekas dosa dari dalam jiwa dan memasukkan jiwa ke kehidupan yang baru. Dan dalam kehidupan yang baru itu, setiap jiwa akan mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/432; Tafsir al-Manar, 2/183)

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita, dan menerima segala amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply