Soalan:
Assalamualaikum Dato’, Saya ingin bertanya apakah hukum menggunakan mushaf al-Quran bukan hak milik kita tanpa izin dan pengetahuan pemiliknya ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
‘Ariyyah (عاريّة) menurut bahasa bermaksud sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang yang lain untuk digunakan dan kemudian dikembalikan semula kepadanya.
Menurut istilah syara’, pinjaman ‘ariyyah (عاريّة) ialah membenarkan penggunaan sesuatu yang halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/363)
Hukum asal bagi pinjaman adalah sunnat, Ini berdasarkan umum firman Allah SWT :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.
(Surah al-Maidah:2)
Al-Tabari menyatakan: Sesungguhnya wahai orang-orang yang beriman, hendaklah tolong-menolong satu sama lain dalam kebajikan. Kebajikan itu ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan,9/490)
Diriwayatkan daripada Safwan Bin Umaiyyah bahawa Rasulullah SAW pernah meminjam beberapa baju besi ketika perang Hunain lalu ia berkata : Adakah ini merupakan suatu pampasan ? Baginda menjawab :
بل عاريةً مضمونةً
Maksudnya : Itu adalah pinjaman yang ada jaminannya.
Riwayat Ahmad (14763)
Rukun Pinjaman ada Empat iaitu :
– Pemberi Pinjam
– Peminjam
– Barang Yang dipinjam
– Sighah ( Sesuatu yang menunjukkan pinjaman samada berbentuk lafaz atau isyarat atau perbuatan) (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,5/183)
Menjawab bagi persoalan di atas , dalam isu ni kami katakan sekiranya mushaf tersebut merupakan mushaf peribadi yang berharga maka ia tidak boleh menggunakannya tanpa keizinan . Ini kerana seseorang tidak dibolehkan untuk mengambil manfaat dari harta orang lain kecuali setelah mendapat keizinanya.
Mengikut uruf dan adat pula jika mushaf tersebut merupakan mushaf yang biasa digunakan oleh orang awam seperti mushaf-mushaf di masjid atau surau-surau yang tidak terlalu mahal harganya, dalam situasi ini sekiranya kita menyangka pemilik akan memberi kebenaran menggunakannya apabila diminta izin maka, ia diperbolehkan walaupun tanpa keizinan. Namun, sekiranya kita menyangka pemilik tidak memberi keizinan walau setelah meminta izin, yang demikian tidak lah ia diperbolehkan kerana mushaf merupakan harta yang boleh diwarisi. Oleh itu, ia bergantung kepada uruf kebiasaan sesuatu tempat.
Al-Sa’di menyatakan : Setiap perkara bergantung kepada izin pemiliknya. Jika diketahui izinnya melalui ucapan atau adat kebiasaan, maka diperbolehkan untuk melakukannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.575)
Justeru kami katakan, tidak dibolehkan menggunakan mushaf tanpa keizinan sekiranya mushaf tersebut merupakan mushaf yang berharga. Namun sekiranya mushaf yang digunakan itu adalah mushaf kebiasaan yang digunakan oleh orang ramai maka ia bergantung kepada uruf dan adat setempat. Sebaiknya sebagai seorang muslim hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan harta hak milik orang lain agar dapat menghindari dari perkara yang tidak diingini seperti kekecohan dan perbalahan.
Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H