Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu mendengar bahawa Islam berkembang dan disebarkan dengan mata pedang. Adakah dakwaan ini benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan dua ayat al-Quran al-karim. 

Firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ 

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Surah al-Baqarah (256)

Al-Tabari dalam tafsir ayat ini menyebut: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsir yang benar. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/414).

Ibn Kathir menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/682)

Firman Allah SWT:

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “(Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Surah Yunus (99)

Dalam menjawab persoalan ini, saya nukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi:

Adapun peristiwa sejarah menyatakan bahawa ketika orang Is- lam membuka sesebuah negara, mereka sama sekali tidak mencampuri urusan agamanya dan tidak pernah memaksa seseorang untuk mengubah akidahnya. Sejarah tidak mendapati walau satu peristiwa pun yang menceritakan tentang paksaan yang dilakukan ke atas individu, keluarga, negara atau rakyat bukan Islam supaya memeluk agama Islam. (Lihat Fiqh al-Jihad, 1/479-480)

Pedang Tidak Dapat Membuka Hati 

Sesungguhnya golongan mubaligh dan orientalis menjadikan isu pembukaan negara oleh golongan Islam sebagai hujah untuk menyatakan bahawa Islam tersebar dengan kekuatan dan kecepatan sebegini, hasil daripada paksaan ke atas manusia dengan pedang. Lalu, mereka masuk dalam agama Islam melalui kuasanya dalam keadaan tunduk dan patuh.

Maka, kita katakan kepada golongan yang mendakwa penyebaran Islam dengan pedang, “Sesungguhnya pedang mampu membuka sesebuah kawasan dan menawan negara, tetapi tidak mampu membuka hati. Proses pembukaan hati dan menghilangkan penguncinya memerlukan kepada pekerjaan lain.

iaitu memuaskan akal, melembutkan perasaan dan me kesan kepada jiwa manusia.” Bahkan, saya mampu bahawa pedang yang terhunus di leher seseorang menjadi penghalang antaranya dengan penerimaan da daripada pemilik pedang tersebut. Seorang manusia ter secara semula jadi untuk menjauhkan diri daripada on memaksa dan menghinanya.5

Pembohongan yang Disangkal Oleh Golongan Orientalis yang Adil

Adapun golongan orientalis yang adil dalam kalangan sejara memadailah bagi kita seorang tokoh yang diiktiraf oleh sema orang terhadap kehebatan ilmunya, ketelitian dalam kajian serta usahanya mendapatkan pengesahan-pengesahan daripada pelbagai sumber rujukan, tempat dan bahasa. Dia adalah pengkaji yang berkebolehan, Thomas Arnold sepertimana perkara tersebut jelas dalam bukunya, Dakwah dalam Islam yang menjelaskan satu kenyataan yang tidak diragui lagi di dalamnya. Sesungguhnya Islam tidak tersebar di muka bumi melalui ketajaman pedang, sebaliknya tersebar dengan dakwah, hujah, pembentukan manusia dan akhlak umat Islam. Tidak pernah sabit dalam sejarah bahawa suatu bangsa, kabilah atau keluarga dipaksa meningk agama mereka atau dipaksa masuk dalam agama Islam.

Perkara ini turut diiktiraf oleh sejarawan dan ahli falsafah psikologi sosial berbangsa Perancis, Gustave Le Bon dalam bukunya, Tamadun Arab serta orientalis berbangsa British yang dikenali sebagai Montgomery Watt dalam bukunya, Islam dan Masihi dalam Dunia Semasa. (Lihat Ringkasan Fiqh Jihad Keamanan Bukan Peperangan, hlm.117-118)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan, Islam bukanlah disebarkan dengan mata pedang dan yang turut menyangkal dakwaan ini adalah seorang orientalis sendiri. Orientalis British ini berkhidmat di Univerisity of Bristol United Kingdom bernama De Lacy O’Leary. Beliau berkata di dalam bukunya yang bertajuk Islam at The Cross Roads, “Sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa lagenda umat Islam fanatik yang bergerak ke serata dunia dan memaksa kaum yang ditawan untuk memeluk Islam dengan cara kekerasan, adalah sebenarnya salah satu mitos karut terhebat yang pernah diulangi oleh sejarawan.

Antara hujah yang menolak dakwaan ini adalah:

  • Pada zaman Kerajaan Umayyah memerintah wilayah Sepanyol hampir 800 tahun lamanya, orang-orang di Sepanyol tidak sekalipun memaksa mereka yang bukan beragama Islam untuk menukar agama mereka kepada Islam. Apatah lagi menggunakan kekerasan seperti melalui peperangan. Sebaliknya, sejarah membuktikan sewaktu pihak Tentera Salib Kristian menawan Sepanyol daripada pemerintahan Islam, ramai orang Islam dipaksa menukarkan agama mereka malah ramai juga yang dibunuh kerana keislaman mereka. Laungan azan juga dilarang sama sekali pada ketika itu.
  • Tidak semua orang Arab beragama Islam, malah ada sejumlah 14 juta orang Arab sebenarnya beragama Kristian Koptik sejak daripada dahulu lagi. Islam telah memerintah tanah Arab selama 1400 tahun, namun sehingga hari ini, penganut Kristian Koptik masih lagi ada dengan jumlah mereka yang boleh dikatakan agak ramai.
  • Wilayah India pernah dikuasai dan diperintah oleh dinasti-dinasti yang beragama Islam. Antaranya ialah Kesultanan Delhi, Kesultanan Bengal, Empayar Mughal, dan pelbagai lagi kerajaan kecil Islam yang lain. Namun, mereka tidak pernah memaksa orang bukan Islam pada ketika itu untuk memeluk Islam. Jika tidak, pasti seluruh wilayah India pada hari ini sudah diduduki oleh majoriti penduduk Muslim. Sebagai fakta, 80% penduduk Negara India pada hari ini bukanlah beragama Islam walaupun Islam pernah memerintah India selama lebih kurang 1000 tahun.
  • Pada hari ini, Indonesia diiktiraf sebagai sebuah negara yang memiliki jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia. Sebanyak 87.2% penduduk Indonesia adalah Muslim yang mewakili sekitar 225 juta orang (data pada tahun 2010). Di Malaysia pula, majoriti penduduknya adalah Muslim iaitu sekitar 61.3% yang mewakili 19.5 juta orang. Namun, pernahkah kita mendengar sebarang pasukan tentera Islam yang datang menakluk Malaysia dan Indonesia untuk memaksa penduduknya memeluk Islam satu ketika dahulu? Tidak bukan. Islam di Nusantara tersebar melalui perdagangan dan juga dakwah secara hikmah.

Sekali lagi kami katakan Islam datang dengan membawa keamanan yang penuh kasih sayang serta penggunaan hujah sama ada naqli mahu pun aqli . Hal ini boleh dilihat dalam nas-nas sama ada kitabullah atau pun sunnah Rasulullah SAW. begitu juga, bagaiman ulama menyampaikan risalah dakwah dengan penuh hikmah dan mau’izah hasanah.

Kalau terpaksa berdebat pun, nescaya ia berdebat dengan penuh kebaikan. Benarlah firman Allah:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

Surah al-Nahl (125)

Al-Maraghi menjelaskan: Yakni, gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply