Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semasa berdoa, kita perlulah berdoa dengan penuh keyakinan dan kesungguhan. Kita juga dilarang untuk menyelitkan ‘Jika Engkau (Allah) mahu’ ketika meminta sesuatu daripada Allah.

Bagaimana pula dengan menyelitkan ‘Jika itu yang terbaik’ ketika memohon sesuatu daripada Allah? Adakah dibolehkan atau ianya umpama kita tidak ada keyakinan semasa berdoa?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”

(Surah al-Ghafir: 60)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya bagi ayat di atas menukilkan kalam Imam Sufyan al-Thauri, katanya: “Hamba-hamba yang paling dicintai-Nya adalah mereka yang meminta kepada-Nya dan banyak permintaannya. Dan golongan yang dimurkai Allah dari kalangan hamba-Nya adalah mereka yang tidak meminta kepada-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-A ‘Azim, 7/156)

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, kami bawakan terlebih dahulu lafaz hadith yang melarang kita berdoa dengan menyebut: “Jika Engkau (Allah) mahu.”

Ini thabit seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلَا يَقُلْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، وَلَكِنْ لِيَعْزِمْ الْمَسْأَلَةَ وَلْيُعَظِّمَ الرَّغْبَةَ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu berdoa, janganlah dia berkata: ‘Wahai tuhanku ampunilah aku jika Engkau mahu’, akan tetapi jelaskanlah masalah tersebut dan besarkanlah pengharapan.”

Riwayat al-Bukhari (6339) dan Muslim (2679)

Pandangan yang tepat mengatakan bahawa larangan di dalam hadith di atas adalah larangan yang membawa maksud makruh. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Ibn ‘Abdil Bar, katanya bahawa perkataan ini dilarangan kerana ia merupakan perkataan yang mustahil dan (seakan) tiada tujuan padanya. Ini kerana Allah tidak melakukan sesuatu melainkan atas kehendak-Nya. Pada zahirnya (lafaz hadith) ia membawa maksud haram, dan Imam al-Nawawi mengatakan bahawa larangan ini berbentu tanzih (makruh), dan inilah pandangan yang lebih aula.

Kemudian Ibn Hajar menukilkan kalam Ibn Battal, bahawa orang yang berdoa perlulah bersungguh-sungguh ketika berdoa dengan penuh pengharapan agar doanya dikabulkan dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah. (Lihat Fath al-Bari, 11/140)

Bahkan syara‘ telah mengisyaratkan kepada kita beberapa adab ketika berdoa, antaranya adalah berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.

(Surah al-Anbiya’: 90)

Ini juga seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.

Riwayat al-Tirmizi (3479)

Berdoa dengan Mengatakan: “Jika Itu yang Terbaik”

Berkenaan dengan berdoa dengan mengatakan: “Jika Itu yang Terbaik”, ia sebenarnya telah diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada para sahabatnya. Hadith ini juga thabit berdasarkan riwayat Jabir bin Abdullah al-Sulami R.A bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabat Baginda doaa ketika beristikharah. Baginda SAW bersabda: “Kemudian katakanlah: 

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الأَمْرَ ثُمَّ تُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ خَيْرًا لِي فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، قَالَ: أَوْ فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّهُ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي، أَوْ قَالَ: فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini yang terbaik untukku sama ada perkara yang segera atau yang lambat Ataupun Nabi bersabda: (atau yang terbaik) untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku, maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini amat buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya.”

Riwayat al-Bukhari (7390)

Di dalam hadith di atas, Rasulullah SAW ajarkan sahabatnya berdoa dengan menyebutkan (اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الأَمْرَ خَيْرًا لِي) yang bermaksud: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini yang terbaik untukku.”

Ibn Rejab al-Hanbali menyebutkan, permintaan yang dipinta oleh seorang hamba kepda Allah SWT ada dua:

  • Perkara yang sudah pasti bahawa ianya baik untuk hamba tersebut, seperti dia memohon agar dikurniakan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, serta berlindung dengan-Nya dari api neraka.
  • Perkara yang hamba itu tidak tahu sama ada ianya baik buatnya atau buruk, seperti Seperti kematian dan hidup, kekayaan dan kemiskinan, anak-anak dan keluarga, dan semua keperluan dunia yang akibatnya tidak kesannya. (Lihat Majmu‘ Rasa’il Ibn Rejab, 1/153)

Galakan untuk berdoa seperti yang diajarkan dalam doa istikharah ini kerana kita tidak tahu jika sesuatu perkara itu sebenarnya baik atau buruk untuk kita. Boleh jadi perkara yang kita tidak ingini berlaku dalam hidup kita kerana Allah SWT tahu bahawa itulah yang terbaik untuk kita. Dan boleh jadi perkara yang kita inginkan tidak berlaku dalam hidup kita kerana Allah SWT lebih tahu bahawa ianya buruk bagi kita.

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Kesimpulan

Berdasarkan penerangan yang kami bawakan di atas, jelas daripada larangan berdoa dengan berkata: “Jika Engkau (Allah) mahu” di dalam hadith bahawa ia bertujuan agar ummat Islam bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasakan bahawa Allah SWT sentiasa mempunyai sifat rahmah terhadap hambanya yang memohon kepadanya. Dan pandangan yang kuat mengatakan bahawa larangan tersebut membawa maksud makruh sahaja.

Manakala berdoa dengan berkata: “Jika Itu yang Terbaik”, ini merupakan cara berdoa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya dalam doa istikharah, dalam membuat pilihan antara dua perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya sama ada ia menatijahkan sesuatu yang baik buat kita atau sesuatu yang buruk buat kita.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita yang terbaik di dalam setiap urusan hidup kita dan juga urusan akhirat. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا دُعَاءَنَا إِنَّكَ أَنْتَ السَمِيعُ العَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, Engkau perkenankanlah permintaan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menedengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply