Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan. Adakah boleh solat berjemaah bagi orang yang bermusafir yang melakukan solat jamak ? Hal ini kerana saya berpendapat agak rugi bagi seorang musafir jika tidak dapat laksanakan solat jemaah. Terima kasih kerana sudi jawab soalan saya.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289). Ia merupakan satu syi’ar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Dalam riwayat lain pula menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)

Solat Jemaah merupakan fardhu kifayah ke atas lelaki yang merdeka, bermukim, menutup aurat dan tidak uzur dalam mengerjakan solat fardhu. (Lihat Fiqh al-Ibadat a’la Mazhab al-Syafi’ie,1/387)

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ bahawa beliau mendengar rasulullah SAW bersabda :

ما مِن ثلاثةٍ في قَريةٍ ولا بَدْوٍ لا تُقامُ فيهم الصَّلاةُ إلّا قد استحوذ عليهم الشَّيطانُ، فعليك بالجماعةِ، فإنّما يأكُلُ الذِّئبُ القاصيةَ

Maksudnya: “Tiga orang yang tinggal di suatu kampung  atau padang pasir tanpa menegakkan solat berjamaah, pasti syaitan menguasai mereka. Hendaklah kalian melaksanakan solat jamaah, kerana serigala memakan kambing yang sendirian.”

Riwayat Nasai (847)

Telah berlaku ijmak di kalangan para sahabat bahawa solat secara berjemaah adalah sangat dituntut. Khususnya setelah Nabi dan para sahabat berhijrah ke Madinah. (Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 1/350)

Menjawab bagi persoalan di atas, solat berjemaah merupakan perkara yang amat  dituntut dalam syara’. Ini kerana sesiapa yang mendirikan solat secara berjamaah akan mendapat ganjaran lebih daripada yang solat bersendirian iaitu  27 darjat sebagaimana yang  telah dinyatakan dalam hadith di atas. Tambahan pula, dengan solat berjemaah ia dapat menguatkan lagi pertalian ukhwah islamiyyah antara kaum muslimin.   

Dalam situasi sedang bermusafir kami katakan, sekiranya seseorang itu bermusafir bersendirian maka tiada masalah baginya untuk mendirikan solat secara bersendirian. Namun sekiranya dia bermusafir lebih dari seorang atau berhenti di masjid ketika mana orang sedang solat berjemaah maka lebih afdahal baginya untuk melakukan solat secara berjemaah.

Syaikh Abdul Aziz Bin Baz menyatakan : Jika seorang musafir sedang dalam perjalanan, tidak ada masalah untuk solat secara bersendirian, tetapi jika telah tiba di destinasi, dia tidak boleh solat sendiri, tetapi perlu solat bersama-sama dengan orang lain dan menyempurnakannya. Namun, jika dalam perjalanan dan solat telah tiba, tidak ada masalah untuk solat sendirian dan memendekkan rakaat empat menjadi dua. (Lihat Majmu’ Fatawa Wa Maqalat Mutanawwia’h, 12/27)

Justeru, suka untuk kami nasihati supaya melazimi solat berjemaah walau di mana kita berada kerana banyak kelebihan yang dijanjikan bagi orang yang solat secara berjemaah berbanding yang mendirikannya secara sendirian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas dalam beribadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim :40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply