Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada bela kucing dan ia pernah kencing di atas sofa, lalu kucing itu berjalan merata selepas kencing. Saya cuma dapat kenal pasti sebahagian lantai yang kucing saya pijak dengan meninggalkan kesan tapak kaki basah dan tidak pasti ke mana lagi kucing saya berjalan. Sofa itu saya dah basuh sehingga hilang bau, warna dan rasa. Disebabkan saya kurang ilmu mengenai najis, saya telah mopkan lantai sebelum cuci najis/kesan tapak kaki kucing saya dan merasakan perkara itu telah menyebarkan najis ke seluruh rumah. Ini sudah berlaku beberapa bulan yang lepas. Soalan saya, sucikah sofa yang saya basuh jika sampai hilang bau, warna dan rasa dan tidak mengalirkan air selepas hilang ain najis? Kemudian, adakah najis di lantai rumah saya telah bertukar menjadi najis hukmiyyah? Bagaimanakah cara saya hendak menyucikannya jika mengalirkan air akan menyebabkan lantai terlampau basah dan mungkin boleh terkena perabot, karpet dan air mengalir ke kaki lima apartment? Bolehkah saya menyucikannya dengan menggunakan mop? Saya harap ustaz dapat membantu menjawab soalan saya agar rumah saya suci dan ibadat saya serta keluarga sah dan diterima. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Apatah lagi, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabii manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabii ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan. Nabi SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya:Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Secara umumnya, air kencing kucing termasuk dalam jenis najis mutawassitah. Mengenai najis mutawassitah, Habib Hasan al-Kaff menyebutkan, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau, rasa atau warna. Cara membersihkannya adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).

Kemudian, Habib Hasan al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu:

  • Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya adalah dikira sebagai suci.
  • Namun jika yang tinggal adalah bau dan warna, atau yang tinggal itu adalah rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.

Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135-136).

Penjelasan lanjut berkenaan cara membersihkan najis mutawassitah, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah.[1]

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa cara membersihkan najis mutawassitah adalah dengan menggunakan air sehingga hilang ‘ain dan sifat-sifatnya. Justeru, jika kesan air kencing pada sofa itu telah dibasuh dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa, maka ia adalah memadai dan dikira bersih (suci). Adapun persoalan berkenaan air tersebut tidak mengalir selepas hilang ain najis ketika membasuh sofa, kami andaikan maksud saudara yang bertanya adalah ia terserap ke dalam sofa tersebut. Ataupun air basuhan tersebut dilap dan dipindahkan dengan menggunakan kain, span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap. Maka, kelembapan tersebut tidak mengapa kerana ia adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan) sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 181).

Kemudian berkenaan air basuhan yang mungkin terserap ke dalam sofa itu pula, apa-apa air yang mungkin terserap di dalam sofa semasa proses pembersihan adalah tidak mengapa. Basuhan di bahagian luar sahaja telah mencukupi. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i, yang menyatakan bahawa jika dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Kemudian, racun itu telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Lalu besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir — yakni yang dilihat — dan bukannya pada apa yang terdapat di dalam rongga — yakni yang tidak nampak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/600).

Namun, jika masih lagi ada perasaan ragu-ragu kerana tidak menghilangkan air kencing terlebih dahulu sebelum membasuhnya, maka kami cadangkan agar membilas sofa tersebut dengan air bersih kerana jika benar masih dikira bernajis kerana ada baki air basuhan yang bernajis yang tidak mengalir dahulu dan ketika ini ia dikira sebagai najis hukmiyyah. Caranya adalah sama iaitu dilalukan air bersih ke atas tempat tersebut, lalu memindahkan air yang bertakung padanya semampu mungkin dengan menggunakan kain, span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan). Namun, jika ia tidak melakukannya pun tidak mengapa kerana basuhannya yang terdahulu sudah memadai dan kami katakan ia adalah dimaafkan.  Hal ini seperti mana disebut dalam firman Allah SWT:

عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya:Allah maafkan apa yang telah lalu.”

(Surah al-Ma’idah: 95)

Ibn Kathir menyebutkan, Allah memaafkan apa yang telah lalu pada masa Jahiliyah bagi orang yang berbuat baik dalam Islam, mengikuti Syariat Allah, serta tidak melakukan perbuatan maksiat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/661).

Manakala berkenaan soalan kedua, jika kesan air kencing kucing itu dimop lalu ia diperah di tempat lain dan dibersihkan dahulu sebelum dicelop untuk mengemop tempat yang lain, maka dalam hal ini tidak mengapa, ia adalah sebagaimana halnya pada basuhan sofa di atas. Akan tetapi jika mop tersebut diperah di bekas yang sama, maka air dalam bekas tersebut dianggap sebagai air bernajis. Kemudian, jika mop tersebut dicelop dalam air bernajis itu, lalu digunakan untuk mengemop bahagian rumah yang lain, secara tidak langsung pada asasnya ia telah menajiskan bahagian rumah yang dimop tersebut. Namun, ketika ini ia dihukumkan sebagai najis hukmiyyah kerana sudah kering dan tidak dilihat padanya kesan mahupun sifat-sifatnya. Justeru, bagi mensucikannya cukup dengan hanya mengalirkan air padanya. Sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya seperti mana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199).

Begitu juga boleh menggunakan mop atau alat-alat seumpamanya, dengan syarat air yang diserap oleh mop atau alat-alat seumpamanya hendaklah diperah dan dibuang terlebih dahulu sebelum digunakan untuk bahagian-bahagian yang lain. Dalam erti kata lain, caranya adalah dengan menuangkan/melalukan sedikit air pada tempat-tempat berkenaan, lalu menggunakan mop, kain, span, dan alat-alat seumpamanya untuk membuang air tersebut dan memindahkannya ke tempat lain sehinggalah tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan).

Oleh itu, jika ia sudah dikira bersih dan suci, maka ibadah yang dilakukan padanya juga seperti solat adalah sah. Selebihnya, dalam hal ini, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan sebagaimana ayat yang kami telah nyatakan di atas. Cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/713-cara-membersihkan-najis-mutawassitah/. Diakses pada 13 Julai 2023.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply