Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin merujuk kepada beberapa kitab tafsir. Apakah kitab tafsir yang paling afdhal dan terbaik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, saya nyatakan bahawa al-Quran al-Karim kitab Allah SWT yang penuh dengan mukjizat. Al-Quran adalah kitab mukjizat. Firman Allah SWT:

قُل لَّيْنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْوَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”

(Surah al-Isra: 88)

Dalam buku al-I’jaz al-Ilmi oleh Yusuf al-Haj Ahmad antara lain menyebut: “Tidak diragukan lagi bahawa sudut kemukjizatan al-Quran al-Karim begitu pelbagai dan tepat. Dari aspek kepelbagaiannya antara lain kemukjizatan saintifik, kemukjizatan legislatif, kemukjizatan retorik, kemukjizatan metafizik, kemudian yang terakhir kemukjizatan artistik-ilustratif. Sementara dari ketepatannya, kita boleh meliha sejumlah amaran yang dibuktikan kebenarannya oleh sains mode dari waktu ke waktu. Fakta-fakta alamiah (bahanal) mahupun imbahanal ini semakin menegaskan dan mendukung isyarat yang diberitakan al-Quran. (Lihat Tips Hafazan al-Quran, hlm. 14)

Berkenaan dengan tafsir al-Quran, kami dapati terlalu banyak para ulama sejak zaman dahulu lagi bahkan zaman sahabah telah menafsirkkan al-Quran. Rasulullah SAW adalah sebaik-baik yang menafsirkan al-Quran secara praktikal dan amali. Setiap tafsir al-Quran mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Di situ jelas menunjukkan bahawa kalam Allah amat kaya dengan pelbagai ilmu, makrifah, hikmah dan segala bentuk kelebihan serta keistimewaan yang berkembang dari masa ke semasa. 

Ada yang cenderung kepada bahasa dan adab, ada yang cenderung kepada fiqh, ada yang cenderung kepada makna dan maksud yang hendak disampaikan. Ada yang cenderung kepada tasawwuf dan isyari. Justeru, ini menjadikan kepelbagaian dari sudut tafsir al-Quran al-Karim.

Kami kemukakan di sini pelbagai pendapat ulama:

  • Ada yang menyatakan seafdhal dan sebaik tafsir ialah tafsir Ibnu Jarir iaitu Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran.
  • Ada yang menyatakan seafdhal dan sebaik tafsir ialah tafsir Ibnu Kathir yang dikenali sebagai Tafsir al-Quran al-‘Azim.
  •  Ada yang menyatakan tafsir yang terbaik ialah tafsir Imam al-Qurtubi yang dikenali dengan al-Jami’ li Ahkam al-Quran.
  • Ada yang menyatakan tafsir yang terbaik ialah tafsir Imam al-Alusi iaitu Ruh al-Ma’ani.
  • Ada yang menyatakan tafsir yang terbaik tafsir Ibn ‘Atiyyah iaitu al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-’Aziz.
  • Ada yang menyatakan tafsir yang terbaik tafsir al-Imam Fakhruddin al-Razi iaitu  Mafatih al-Ghaib. 

Inilah sebahagian daripada pandangan ulama berkenaan dengan tafsir yang terbaik. Kami berpendapat setiap tafsir ada kelebihan masing-masing dan boleh jadi dalam satu ayat ini tafsir yang terbaik adalah tafsir kitab yang lain daripada yang disebut di atas, seperti Adwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran oleh Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Syeikh Tahir Ibn Asyur, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir al-Kalam al-Mannan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, al-Jawahir fi Tafsir al-Quran al-Karim oleh Syeikh Ali Tantawi, Aisar al-Tafasir li Kalam al-’Aliy al-Kabir oleh Syeikhuna Abu Bakar Jabir al-Jazairi, Tafsir fi Zilal al-Quran, oleh Almarhum Syed Qutub dan antara tafsir yang kami minati ialah Tafsir Khawatir Imaniyyah oleh Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi. 

Inilah sebahagian tafsir yang dapat kami nyatakan dan masing-masing ada kecenderungannya untuk mendapat apa yang dikehendaki.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply