Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tafsir ayat 65 surah al-Nisa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ‎

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Surah al-Nisa’ (65)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT bersumpah dengan menyebut diri-Nya Yang Maha Mulia lagi Maha Suci. Tidaklah beriman seseorang sebelum dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim dalam semua urusannya. Semua yang diputuskan oleh Rasulullah SAW adalah perkara yang benar dan wajib diikuti secara zahir dan batin. 

Apabila mereka meminta keputusan hukum darimu, maka mereka hendaklah mentaatinya dengan tulus ikhlas sepenuh hati. Dalam hati mereka, tidak boleh terdapat suatu keberatan pun. Mereka hendaklah tunduk zahir batin serta menerima dengan sepenuhnya, tanpa ada rasa kesempitan, tanpa penolakan, dan tanpa ada sedikit pun rasa menentang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/331)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menegaskan bahawa mentaati Rasul adalah suatu kewajiban. Bahkan penegasan ini diungkapkan dalam bentuk sumpah bahawa orang yang tidak mahu menerima keputusan Nabi dengan lapang hati bukanlah orang yang beriman. Allah bersumpah kepada Nabi dengan sifat ketuhanan-Nya bahawa orang-orang munafik yang tidak suka berhakim kepada Nabi, sebenarnya bukanlah orang yang beriman. Mereka dianggap sebagai orang beriman jika telah memenuhi tiga syarat, iaitu:

  • Mereka mahu mengangkat Rasul sebagai hakim untuk memutuskan perkara-perkara yang mereka perselisihkan. Seseorang belum dianggap beriman hingga mereka mahu menjadikan Rasul sebagai pemutus semua urusannya. Apa yang diputuskan oleh Rasul adalah benar sehingga wajib diikuti secara zahir mahupun batin.
  • Hati mereka tidak merasa sempit, berat, atau mengeluh ketika menerima keputusan Nabi tersebut. Orang yang beriman hendaklah tunduk dan patuh terhadap keputusan yang telah ditetapkan oleh Rasul. Hatinya penuh kerelaan, menerima tanpa syarat, dan tidak banyak cakap.
  • Patuh dan pasrah sepenuhnya terhadap keputusan Nabi tersebut baik secara zahir mahupun batin. Tidak merasa berat hati, enggan, apalagi menentang. Tahap ketiga ini adalah tahap patuh dalam pelaksanaan. Terkadang, ada orang yang mengakui bahawa suatu keputusan adalah benar, namun dia tidak mahu melakasanakannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/140)

Sayyid Qutb berkata: Di sini, sekali lagi kita dapati diri kita berada di hadapan syarat keimanan dan batas keislaman yang dijelaskan oleh Allah SWT, di mana Allah sendiri yang bersumpah dengan zat-Nya dan selepas penjelasan ini, tiada lagi ruang bagi sesiapa untuk memberi sesuatu pendapat atau takwilan dalam menentukan syarat keimanan dan batas keislaman. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/51)

Sebab Nuzul ayat ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma menyatakan:

أَنَّ رَجُلًا مِنَ الأَنْصَارِ خَاصَمَ الزُّبَيْرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شِرَاجِ الحَرَّةِ، الَّتِي يَسْقُونَ بِهَا النَّخْلَ، فَقَالَ الأَنْصَارِيُّ: سَرِّحِ المَاءَ يَمُرُّ، فَأَبَى عَلَيْهِ؟ فَاخْتَصَمَا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ: «أَسْقِ يَا زُبَيْرُ، ثُمَّ أَرْسِلِ المَاءَ إِلَى جَارِكَ»، فَغَضِبَ الأَنْصَارِيُّ، فَقَالَ: أَنْ كَانَ ابْنَ عَمَّتِكَ؟ فَتَلَوَّنَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَالَ: «اسْقِ يَا زُبَيْرُ، ثُمَّ احْبِسِ المَاءَ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَى الجَدْرِ»، فَقَالَ الزُّبَيْرُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَحْسِبُ هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ فِي ذَلِكَ: (فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ‎) [النساء: 65]

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki al-Ansar bertengkar dengan al-Zubair di sisi Nabi SAW mengenai saluran air yang mereka gunakan untuk menyiram pokok kurma. Orang al-Ansar itu berkata: “Lepaskan air agar ia boleh mengalir.” Al-Zubair enggan melakukannya. Mereka mengadukan pertengkaran itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda kepada al-Zubair: “Siramlah wahai al-Zubair menggunakan air itu, kemudian salurkanlah kepada jiranmu.” Orang al-Ansar itu berang dan berkata: “Adakah kerana dia sepupumu (lalu kamu memihak kepadanya)?” Maka berubah (marah) wajah Baginda SAW, lantas bersabda: “Siramlah wahai al-Zubair, kemudian tahan air tersebut sehingga ia sampai ke dasar pokok kurma.” Al-Zubair berkata: “Demi Allah SWT, aku menyangka ayat ini diturunkan sempena kisah tersebut: “فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ”

Riwayat al-Bukhari (2359)

Selain itu, terdapat ulama yang berpendapat bahawa ayat 65 ini secara zahirnya bersifat umum. Dalam erti kata lain, kaum Muslimin tidak boleh keluar daripada syariat Allah SWT, bahkan wajib ke atas mereka untuk berhukum dengannya dalam setiap perkara, sama ada berkaitan soal ibadah, muamalat dan seluruh urusan agama dan dunia kerana ayat tersebut bersifat umum kepada semua. Selain itu, hal ini juga kerana Allah SWT telah berfirman: 

 أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًۭا لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Apakah hukum Jahiliah yang mereka masih kehendaki? Bagi orang yang yakin, siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah?” 

(Surah al-Maidah: 50)

Begitu juga firman-Nya: 

 وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang yang kafir.” 

(Surah al-Maidah: 44)

Demikianlah juga firman-Nya:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menghukum dengan peraturan yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka ialah orang-orang yang zalim.” 

(Surah al-Maidah: 45)

Dan firman-Nya: 

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menggunakan hukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka ialah orang-orang yang fasiq.” 

(Surah al-Maidah: 47)

Kesemua ayat-ayat di atas bersifat umum meliputi seluruh urusan yang diperselisihi dan menimbulkan konflik antara mereka. Oleh sebab itu, Allah SWT berfirman selepasnya: (فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ) yang bermaksud, “Demi Tuhanmu, mereka belum beriman,” yakni umat manusia sama ada daripada kalangan kaum Muslimin atau selainnya. Seterusnya disambung lagi: (حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ) iaitu, “sehinggalah mereka menjadikan diri engkau hakim.” – huruf kaf (ك) di sini merujuk kepada Nabi Muhammad SAW – yakni sehinggalah mereka menjadikan Baginda SAW sebagai hakim. Perkara tersebut adalah dengan mengikuti keputusan hukum yang telah diputuskan oleh Baginda SAW ketika Baginda masih hidup atau dengan berhukum berdasarkan sunnahnya setelah Baginda wafat. Berhukum dengan sunnahnya pula bermaksud berhukum dengan apa yang telah diturunkan daripada al-Quran dan al-Sunnah. Kemudian disebutkan dalam ayat berikutnya: (فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ) yakni dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka. Inilah kewajipan ke atas mereka iaitu untuk memutuskan semua perselisihan tersebut berdasarkan al-Quran dan (keputusan) Rasulullah SAW ketika Baginda masih hidup atau selepas kewafatannya dengan mengikuti sunnahnya yang merupakan penjelasan dan tafsiran kepada ayat-ayat al-Quran serta petunjuk kepada makna-maknanya. 

Adapun ayat: (ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا) pula bermaksud hendaklah mereka melapangkan dada mereka menerima keputusan yang telah diputuskan oleh Baginda SAW dan tidak ada dalam hati mereka sebarang masalah (keberatan) dengan keputusan tersebut. Hal ini kerana hukum (keputusan) tersebut adalah suatu kebenaran yang tiada keraguan lagi padanya dan ia juga merupakan hukum Allah SWT. Oleh itu, wajib untuk mereka menerimanya dan berlapang dada dengan perkara tersebut tanpa sebarang perasaan tidak puas hati. Bukan itu sahaja, bahkan wajib ke atas mereka untuk menerima keputusan tersebut dengan penuh kerelaan dan keredhaan serta jiwa yang tenang. Inilah kewajipan ke atas seluruh kaum Muslimin dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka berupa tuduhan dan pertelingkahan, sama ada hal tersebut berkaitan dengan ibadah atau harta benda atau perkahwinan atau talaq atau lain-lain perkara yang terdiri daripada urusan-urusan mereka. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 24/220-222)

Setelah Allah SWT menerangkan bahawa keimanan sesorang tidak akan sempurna kecuali menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim dalam perselisihan, Allah SWT menyebut pula tentang kekurangan seseorang dalam melaksanakan perintah Allah SWT adalah disebabkan kelemahan iman. Jika Allah SWT mewajibkan kepada manusia agar membunuh diri sebagaimana yang diperintahkan kepada Bani Israel yang telah menyembah anak lembu sebagai jalan bertaubat atau berhijrah di jalan Allah SWT dari negeri mereka, maka mereka tidak akan melakukannya kecuali sedikit sahaja. Sekiranya mereka mengamalkan nasihat supaya melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya, maka ia adalah adalah lebih baik dan lebih meneguhkan iman mereka. Allah SWT akan memberikan kepada mereka ganjaran syurga dan dipimpin ke jalan yang lurus di dunia dan akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/143)

Sesiapa yang taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya, maka mereka akan ditempatkan di syurga bersama-sama dengan  orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah SWT. Mereka ialah para nabi, siddiqun, orang yang mati syahid dan orang yang soleh. Mereka adalah sebaik-baik teman dalam syurga kerana mereka saling mencintai dan bergembira apabila berjumpa sebagaimana yang disebut dalam hadis daripada Ibn Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المَرءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Maksudnya: “Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai (pada hari Akhirat kelak).”

Riwayat al-Bukhari (6168)

Ganjaran sesiapa yang mentaati Allah SWT dan rasul-Nya ini adalah limpah kurnia yang paling tinggi daripada-Nya. Hidup dalam kedudukan yang mulia di dunia dan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT di hari akhirat adalah kebahagian yang paling dicari oleh seseorang. Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang berhak terhadap ganjaran-Nya tersebut. Maka cukuplah Dia Yang Maha Mengetahui siapa yang ingkar dan siapa yang taat, siapa yang munafik dan siapa yang ikhlas yang layak untuk bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/85)

Sesungguhnya, ayat ini amat membekas dalam jiwa kita betapa peri pentingnya untuk kita kembali urusan kehidupan kita sentiasa mengikuti perintah Allah SWT dan rasul-Nya. Maka, itulah golongan yang sebenar-benar beriman. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply