Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah mengikut Rasulullah SAW denagn mengambil pendapatnya atau qaulnya dipanggil sebagai taqlid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.

(Surah al-Hasyr: 7)

Imam Ibn Kathir berkata selagi mana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (13/485).

Begitu juga firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah Ali Imran: 31)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jika ada yang mendakwa bahawa dia mencintai Allah maka ikutlah Nabi SAW dalam segenap sudut. Ikutlah wahyu yang telah diturunkan kepada Baginda. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/140)

Menjawab persoalan di atas kami nyatakan pendapat Ibn Hamdan al-Harrani:

Wajib mengikut Nabi SAW terhadap apa yang baginda syariatkan, dan apa yang baginda perintahkan padanya, dan apa yang baginda larangkan, dan membenarkan segala perkhabaran dari baginda, disebabkan telah sabitnya kemaksuman dan kebenaran baginda, serta menjadi kelaziman untuk mentaati dan mengikuti baginda, berdasarkan apa yang diketahui pada tempat- tempatnya dari ilmu usul dan selainnya.

Kata Syeikh Abu Muhammad al-Maqdisi dan sebahagian fuqaha al-Syafi’eyyah:

Dan sabda Nabi SAW:

لَيْسَ الْأَخذ بقوله عَلَيْهِ السَّلَام تقليدا لأَن قَوْله حَجَّة

Maksudnya: “Perbuatan mengambil ucapan Rasulullah SAW bukanlah merupakan suatu taqlid, kerana ucapan baginda SAW merupakan hujah.”

Berdasarkan apa yang telah disebutkan, dan diketahui pada tempat-tempatnya.

Taqlid pula: Merupakan perbuatan si penyoal yang mengambil perkataan orang yang diikutinya tanpa sebarang hujah yang kukuh, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Dan boleh untuk bertaqlid kepada ahli al-ijma’ (para mujtahidin), bahkan itu merupakan suatu kewajipan.

Boleh juga untuk dikatakan: Berpegang dengannya (ahl al-ijma’) bukanlah perbuatan taqlid kerana ia merupakan hujah. Sebagaimana yang telah kita sebutkan pada ucapan Nabi SAW. (Lihat Sifat al-Mufti wal Mustafti, hlm. 151-152)

Justeru, Rasulullah SAW yang sewajarnya menjadi ikutan kita sudah tentu kita akan mengikutnya. Ini tidak bermakna kita wajib dan mesti meninggalkan mazhab yang kita pegang, bahkan ulama mazhab berpandukan hukum-hakam daripada nas al-Quran dan hadith. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita menekuni ayat al-Quran:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Surah al-Ahzab (21)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

الهُمْ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ مَا لَمْ تَعْلَمْ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا ة وَمَا لَمْ نَعْلَمُ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرٍ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَبَيْكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا تَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولِ أَوْ عَمَل ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ فَضَاء قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply