Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum pernikahan orang gila? Dan bagaimana cara pernikahannya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, bagi orang yang gila, tidak ada taklif dikenakan ke atas mereka. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, sabda Rasulullah SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4403), Ahmad (1183), Tirmizi (1423), Nasa‘ie (3432), dan Ibn Majah (2041)

Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar” adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 16/20). Syeikh Abdullah al-Tayyar menyatakan: “Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.” (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah, 9/9)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah disebut: Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa gila termasuk daripada ‘awaridh al-ahliyyah iaitu perkara yang menghalang daripada beban hukum dijatuhkan ke atas seseorang dalam keadaan gila yang berterusan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 17/92)

Perkahwinan Orang Gila

Berkenaan persoalan di atas, sebahagian ulama’ berpendapat bahawa tidak sah perkahwinan orang gila. Hal ini seperti pendapat Syeikh al-Islam Taqiy al-Din Abu al-’Abbas, katanya: “Tidak sah akad-akadnya (orang gila) dengan sepakat ulama’. Tidak sah jual belinya, nikahnya, talaknya, pengakuannya, persaksiannya, mahupun yang lain, yang dia ucapkan. Bahkan, semua ucapannya dikira laghwun (tidak dinilai). Sama sekali tidak berlaku hukum syar’i, tidak ada pahala mahupun dosa.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 11/191)

Manakala sebahagian ulama’ yang lain berpendapat bahawa pernikahan orang gila adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan padanya. Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Sekira-kira wali melihat akan maslahat pada menikahkan orang yang gila, maka sewajarnya ia diharuskan agar terhasil daripada maslahat itu dengan yang demikian itu kepada dirinya.(Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/280)

Al-Mahalli dalam Hasyiyahnya terhadap Minhaj al-Talibin menyebut: “Tidak dinikahkan orang gila yang kecil, kerana tidak memerlukan kepada nikah ketika itu. Sedangkan setelah baligh nanti, tidak diketahui bagaimana keadaannya. Ini berbeza dengan anak kecil yang berakal, maka zahir keperluannya kepada kepada nikah setelah balighnya.

Demikian juga, tidak dinikahkan orang gila yang telah dewasa kecuali ada keperluan, seperti zahir menyukai perempuan dengan berputar-putar di sekitar mereka, berhubungan dengan mereka dan lainnya. Atau diharapkan sembuh dengan sebab nikah berdasarkan pendapat dua orang doktor yang ‘adil. Sekiranya ada keperluan kepada nikah, maka dibolehkan satu sahaja, kerana sudah terpenuhi keperluan dengan satu orang isteri.

Orang gila ini dinikahkan oleh bapa, kemudian datuk, kemudian orang yang berkuasa, tidak ‘asabah yang lain. Samalah halnya dengan pengurusan masalah harta. Telah dijelaskan sebelumnya bahawa wajib atas wali mujbir menikahkan orang gila yang zahirnya berhajat dan perlu kepada nikah.” (Lihat dalam Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala al-Mahalli, 3/238)

Al-Qalyubi dalam menjelaskan perkataan al-Mahalli di atas, menyebut: “Yang dimaksudkan dengan orang gila adalah yang tetap dalam keadaan gilanya. Sekiranya tidak tetap, maka tidak dinikahkan kecuali pada waktu sembuhnya dan izinnya. Samalah seperti orang gila yang cedera akalnya dan orang pengsan yang tidak ada harapan sembuh lagi.”  (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala al-Mahalli, 3/238)

Dalam Hasyiyah al-Syarwani pula disebut: “‘Ibarat al-Nihayah dan al-Mughni, yakni: “Kecuali kerana keperluan dan hajat yang wujud pada masa itu, seperti orang gila tersebut jelas menyukai kepada perempuan, dan berputar-putar di sekitar perempuan serta berhubung dia dengan perempuan, atau diharapkan sembuh dengan mengosongkan spermanya berdasarkan kesaksian dua orang doktor yang adil, ataupun orang gila tersebut memerlukan perempuan yang menjaga dan melayaninya, sedangkan dalam kalangan mahramnya, tidak didapati orang yang mampu melakukannya, serta pula belanja nikah lebih ringan daripada harga seorang hamba sahaya. Telah dijelaskan sebelumnya bahawa wajib ke atas wali mujbir untuk menikahkan orang gila yang zahirnya memerlukan kepada nikah. (Lihat Hasyiyah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 7/285)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa orang gila dan sudah dewasa, yang terdapat keperluan dan hajat kepada pernikahan, maka pernikahannya dapat dilakukan oleh wali mujbir. Maksud gila di sini adalah gila yang bersifat tetap. Sekiranya tidak bersifat tetap, maka dia hanya boleh dinikahkan ketika sembuh dan ada izin daripadanya. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply