Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sedang mencari beberapa produk rambut yang dapat membuatkan rambut saya mudah diurus dan kelihatan sihat bermaya. Buat pengetahuan Dato’ Seri, saya ada membeli syampu rawatan keratin yang berstatus halal daripada JAKIM tetapi masih meragui status telus air setelah menggunakan produk seperti itu. Bolehkah Dato’ Seri berikan pandangan dan saranan buat saya dan juga mereka yang mencari alternatif seperti saya. Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami melihat ia berkait dengan kesahan wuduk dan mandi wajib kerana ia berkaitan dengan ketelapan air. Di antara syarat sah wuduk (dan mandi wajib) adalah tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk dan mengalirkan air pada anggota yang dibasuh. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i,1/70). Begitu juga dinukilkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/55) bahawa wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduknya tidak sah.

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya:Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk mendirikan solat Asar. Lalu mereka berwuduk dengan tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: ‘Celakalah bagi tumit-tumit (yang tidak tersentuh air wuduk) kerana termasuk (yang dibakar) dalam api neraka. Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.’

Riwayat Muslim (241)

Begitu juga dalam hadith yang lain, daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya:Seorang lelaki telah berwuduk dan tertinggal basuhan pada kuku kakinya, lalu dilihat oleh Nabi SAW. Baginda pun bersabda: ‘Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna.’ Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna. Kemudian dia mendirikan solat.”

Riwayat Muslim (243)

Oleh itu, jelaslah bahawa wuduk seseorang itu dikira tidak sah sekiranya terdapat bahagian anggota yang wajib dibasuh tetapi tidak berbasuh kerana adanya halangan atau sebagainya, sekalipun sedikit.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyebutkan bahawa jika terdapat pada sebahagian anggota — yakni anggota wajib wuduk — lilin, tepung, inai atau seumpama dengannya, yang mana ia menghalang air untuk sampai ke anggota, maka tidak sah taharahnya — yakni wuduk atau mandi wajib — tidak kira ia banyak atau sedikit. Jika berbaki pada tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya, tetapi ia tidak melekat — yakni air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan. Maka sah taharahnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/467-468).

Seterusnya berkenaan logo halal pula, pada asasnya ia bukanlah menjadi syarat untuk sesuatu produk itu dianggap halal atau patuh syariah. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sebagai dalil sokongan atau penguat yang menguatkan lagi perkara tersebut — yakni kehalalan sesuatu produk.

Hal ini kerana dalam negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM,[1] maka ia boleh dimakan atau digunakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas[2] kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam suatu produk itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekali gus menghilangkan keraguan yang timbul. 

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat jika suatu produk syampu rawatan keratin itu sudah mempunyai sijil pengesahan halal daripada JAKIM mahupun daripada badan-badan yang diiktiraf oleh JAKIM, maka ia boleh digunakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas. Hal ini kerana pengesahan halal itu sudah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam produk itu terdiri daripada sumber yang halal dan patuh syariah.

Akan tetapi jika masih juga timbul keraguan terhadap produk tersebut sama ada dari segi kepatuhan syariahnya mahupun ketelapan air, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Sila rujuk kepada pautan berikut, bagi mengetahui Senarai Badan Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, https://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9jZXJ0aWZ5X2JvZHk7Ozs7&utama=CB_LIST&lang=bm. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

[2] Bahagian Hab Halal JAKIM, https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2839378816112669&id=155056204544957. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply