#2318: Lactobacillus Casei dalam Produk Susu Kultur

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum susu kultur seperti yakult yang mengandungi probiotik bernama Lactobacillus Casei. Adakah ia halal untuk diminum? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif probiotik dan Lactobacillus Casei. Probiotik ialah mikroorganisma hidup dan sama dengan mikroorganisma yang terdapat dalam sistem pencernaan manusia. Probiotik, yang lebih dikenali sebagai “bakteria mesra” atau “bakteria baik,” membantu mengekalkan keseimbangan semula jadi organisma (mikroflora) dalam usus. Saluran pencernaan manusia biasa mengandungi kira-kira 400 jenis bakteria probiotik yang mengurangkan pertumbuhan bakteria berbahaya dan menggalakkan sistem pencernaan yang sihat. Probiotik dianggap berfungsi dengan menjajah usus kecil dan menyesakkan organisma penyebab penyakit, dengan itu memulihkan keseimbangan yang betul kepada flora usus. Mereka bersaing dengan organisma berbahaya untuk nutrien dan mungkin juga menghasilkan bahan, seperti ammonia, yang menghalang pertumbuhan organisma berbahaya dalam sistem pencernaan.[1]

Manakala Lactobacillus casei pula merupakan satu spesies dari genus Lactobacillus yang terdapat dalam usus dan mulut manusia. Sebagai penghasil asid laktik, ia didapati mampu menggalakkan pertumbuhan bakteria baik. Spesies lactobacillus ini mampu hidup pada banjaran pH dan suhu yang luas, serta melengkapkan pertumbuhan L. acidophilus, penghasil enzim amilase (enzim pencerna karbohidrat). Ia dikenali kerana mampu meperbaiki sistem pencernaan serta mengurangkan ketidakserasian laktosa dan masalah sembelit. Aplikasi paling lazim bagi L. casei adalah dalam bidang industri, khususnya bagi pengeluaran produk tenusu.[2]

Menurut World Health Organization (WHO), probiotik ialah mikroorganisma hidup yang dapat memberi manfaat kesihatan terhadap badan kita jika diambil dalam jumlah yang mencukupi. Ia boleh didapati di dalam makanan yang melalui proses fermentasi seperti tapai, tempe, kimchi dan nato, produk minuman dan juga suplemen. Untuk melindungi hak pengguna, penggunaan probiotik diwartakan di bawah Akta Makanan 1985. Akta ini menegaskan definisi probiotik dari segi undang-undang serta mengawal jenis kultur hidup atau bakteria bermanfaat yang boleh digunakan sebagai probiotik oleh pengeluar makanan. Undang-undang ini menyatakan dengan jelas apa itu produk probiotik yang sah.[3]

Di antara produk popular yang mengandungi Lactobacillus casei ialah Yakult. Yakult merupakan produk susu berasaskan probiotik dari Jepun yang dibuat melalui proses penapaian campuran susu skim dengan satu strain bakteria khas Lactobacillus casei Shirota. Ia dicipta oleh Minoru Shirota yang bergraduat dari Sekolah Perubatan Universiti Kyoto pada tahun 1930. Pada tahun 1935, beliau mula mengeluarkan Yakult serta menjualnya. Sumber rasmi mengatakan nama tersebut berasal daripada perkataan jahurto, sebutan lama bagi jogurto, iaitu istilah bahasa Esperanto untuk “yogurt“. Sejak itu, Yakult juga telah memperkenalkan barisan minuman bagi pasaran Jepun yang mengandungi bakteria Bifidobacterium breve, serta menggunakan penyelidikannya mengenai lactobacillium untuk membangunkan produk kosmetik.[4]

Seterusnya, bagi memilih produk probiotik dengan betul di pasaran, Dr Tee Ee Siong, Pengerusi Program Pendidikan Probiotik (NSM PEP) ada memberikan beberapa tip. Di antaranya:

  • Pastikan produk menggunakan probiotik yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Hanya strain bakteria yang telah dinilai dan dibenarkan KKM boleh ditambah ke dalam produk makanan. Di bawah Akta Makanan 1985, terdapat 32 strain probiotik yang dibenarkan dalam produk makanan dan minuman. Bagi mengenalpasti produk probiotik tulen, baca label dan cari perkataan ‘probiotik’.
  • Pastikan produk tersebut melabelkan ‘kultur bakteria hidup’ atau mengandungi ‘mikroorganisma hidup’. Berbalik kepada takrif probiotik, probiotik ialah mikroorganisma hidup yang boleh memberi manfaat kesihatan terhadap badan kita, maka amat penting untuk kita pastikan produk kita adalah tulen dan memenuhi syarat mengikut Akta Makanan 1985.
  • Bilangan bakteria hidup dalam jumlah yang mencukupi. Produk probiotik tulen perlu mengandungi sekurang-kurangnya 106 cfu/g atau 106 cfu/ml sel bakteria hidup. Bilangan probiotik hidup diukur menggunakan unit pembentuk koloni (colony forming unit, CFU) yang menunjukkan bilangan sel bakteria dalam produk tersebut. Sebagai contoh, minuman susu kultur Yakult atau dikenali sebagai minuman probiotik Shirota mengandungi 30 X 109 cfu/ml, bermaksud di dalam sebotol minuman Yakult, terdapat sekurang-kurangnya 30 bilion Shirota strain hidup.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, hukum asal bagi sesuatu dan makhluk adalah suci bersih serta tidak dihukumkan sebagai najis kecuali adanya dalil syar‘i yang menunjukkan kepada kenajisannya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya:

الْحَيَوَانُ كُلُّهُ طَاهِرٌ لِمَا مَرَّ إلَّا مَا اسْتَثْنَاهُ الشَّارِعُ

Maksudnya:Haiwan kesemuanya adalah suci melainkan apa yang didatangkan syarak akan kenajisannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226).

Justeru, bakteria[5] itu dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Kemudian, hendaklah dilihat pula dari mana ia diambil. Jika ia diambil dari tempat atau bahan bernajis seperti dalam usus manusia, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis[6] dan tidak dihukumkan sebagai suci sehinggalah ia melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak. Namun, jika ia diambil dari tempat atau bahan yang suci seperti susu ibu, maka hukumnya kekal sebagai suci sebagaimana hukum asalnya.

Hal ini selari dengan keputusan yang diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-62 yang bersidang pada 16 Mac 2004 telah membincangkan mengenai Hukum Menggunakan Bakteria Yang Diambil Daripada Najis Bayi Sebagai Agen Pemangkin Dalam Yogurt. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan bakteria kultur yang dipencilkan daripada sebarang najis sebagai agen pemangkin dalam yogurt adalah harus dengan syarat telah melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat di dalam najis bayi adalah mutanajjis.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa probiotik bernama Lactobacillus Casei yang diambil dari mana-mana tempat bernajis seperti usus manusia dan seumpamanya adalah harus dan halal dengan syarat ia telah melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat di dalam usus dianggap sebagai mutanajjis. Justeru, mana-mana produk tenusu/susu kultur yang mengandungi probiotik bernama Lactobacillus Casei yang sudah melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak adalah halal untuk diminum, selagi mana ia tidak mengandungi bahan-bahan bernajis lain, mahupun memudaratkan peminumnya.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan (dan juga minuman) adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Kami juga mengambil kesempatan di sini, menasihatkan agar memilih produk minuman probiotik yang telah mendapat kelulusan KKM kerana minuman probiotik yang tidak mendapat kelulusan KKM dikhuatiri terdedah kepada bahaya dan memudaratkan peminumnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/en/probiotics/. Diakses pada 16 Jun 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lactobacillus_casei. Diakses pada 14 Julai 2023.

[3] Lihat https://yakult.com.my/susu-kultur-probiotik-melegakan-gejala-sembelit/. Diakses pada 14 Julai 2023.

[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Yakult. Diakses pada 14 Julai 2023.

[5] Bakteria ialah organisma seni yang hidup dalam tanah, air, bahan organik atau badan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, dan sesetengahnya boleh menyebabkan penyakit. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bakteria. Diakses pada 16 Jun 2023)

[6] Sesuatu yang terkena najis.

[7] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10255. Diakses pada 16 Jun 2023.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *