Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu dengar kita dianjurkan untuk selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat. Tetapi mana yang afdhal untuk saya lakukan, selawat atau pun membaca al-Quran pada hari Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tanpa dinafikan, membaca al-Quran mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Cukuplah kami kemukakan dua hadith berikut:

Daripada Abdullah Bin Umar R.Anhuma Rasulullah SAW bersabda:

يُقالُ لِصَاحِبِ القُرْءَانِ اِقْرَأْ وَارتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِر أَيَةٍ تَقْرَأَهُ بِهَا

Maksudnya: “Dikatakan bagi pembaca atau penghafaz al-Quran bacalah dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membaca dengan tartil di dunia. Ini kerana, kedudukan kamu pada ayat terakhir yang kamu baca di dunia.”

(Riwayat Al-Tirmizi dan Abu Daud)

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 اقرَؤُوا القُرْءَانَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعاً لَأَصْحَابِهِ 

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana ia datang pada hari kiamat dalam bentuk memberi syafaat kepada tuan-tuannya.” 

(Riwayat Muslim 804)

Kecuali pada hari Jumaat, galakan untuk berselawat kepada Nabi SAW adalah lebih utama, bahkan berselawat pada hari Jumaat dianggap sebagai mahkota zikir. Hal ini digesa untuk kita berselawat kepada Nabi SAW dengan sebanyak-banyaknya terutama pada hari Jumaat:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Surah al-Ahzab (56)

Justeru, kami katakan sekali lagi, sebaik-baiknya di samping memperbanyakkan selawat tetapi jangan lupa membaca al-Quran terutamanya surah al-Kahfi sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply