Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Nabi Ibrahim disebut sebagai ummah sedangkan dia hanya seorang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِّلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik.

Surah al-Nahl (120)

Ibn Kathir berkata: Makna ‘أُمَّةً ’ adalah imam yang dijadikan teladan. Ibn Mas’ud berkata: “Makna ‘أُمَّةً ’ adalah orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” Ibn ‘Umar berkata: “Makna ‘أُمَّةً ’ adalah orang yang mengajarkan agama kepada manusia. Mujahid berkata: “Nabi Ibrahim adalah  ‘أُمَّةً ’ iaitu hanya dia yang beriman seorang diri, dan semua orang pada waktu itu kafir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/270)

Ini bermakna siapa yang mengagungkan dan membesarkan Allah SWT dalam hatinya maka sudah tentu dia bersama Allah SWT walaupun dia seorang. Kerana inilah Allah SWT berfirman tentang sifat Ibrahim sebagai ummah.

Berdasarkan pengamatan kami, mereka yang mentaati perintah Allah SWT sekali pun sedikit mereka dapat bertembung dengan jumlah yang ramai. Kisah Nabi Allah Ibrahim sebagai contoh ketika bertembung dengan Namruz. Begitu juga, kisah Nabi Musa dan Harun ketika bertembung dengan Firaun. Inilah yang disebut sebagai kualiti seseorang itu bahkan mereka dianggap menyamai jumlah yang ramai.

Sejarah Islam mencatatkan bila mana panglima tentera Islam memohon bantuan tentera daripada Saidina Umar yang menjadi Khalifah ketika itu seramai 4,000 orang tetapi dihantar 4 orang seraya berkata, “Kamu mohon kepadaku 4,000 orang tetapi aku takdirkan setiap seorang dengan 1,000.” 

Salah seorang daripadanya adalah al-Zubair ibn al-Awwam RA. Dengan kedatangan beliau ke perbatasan, dalam masa yang amat singkat dapat dikalahkan benteng pertahanan musuh. 

Sebenarnya terlalu banyak kisah seumpama ini. Bahkan saya katakan sahabat-sahabat Nabi SAW mempunyai kualiti yang luar biasa berbanding dengan umat akhir zaman. Ketabahan, ketaqwaan, kesolehan, keimanan itulah yang meletakkan mereka sebagai rijal. Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهُمْ وَالْخَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ 

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada- Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.” Dan kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply