Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika kita hadiri undangan seperti majlis kenduri kahwin, bolehkah kita tapau dan bawa pulang sebahagian makanan yang dihidangkan itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Baqarah: 188)

Syeikh Sayyid Tantawi menyatakan di dalam kitabnya: “Ayat ini bermaksud Allah SWT menyeru orang Islam supaya tidak mengambil serta memakan harta saudaranya secara batil begitu juga penggunaannya akan menjerumus kepada kemaksiatan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 3/125) 

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin Yathribi al-Dhamri, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: “Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri.”

Riwayat Ahmad (15488). Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan isnadnya jayyid dalam al-Dirayah (2/201)

Selain itu, terdapat satu kaedah sepertimana disebut oleh Syeikh Mustafa al-Zarqa’:

 لَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَتَصَرَّفَ فِي مِلْكِ الْغَيْرِ بِلَا إذْنِهِ

Maksudnya: “Tidak boleh bagi seseorang itu menggunakan harta orang lain dengan tanpa izin.” (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 461; Lihat juga al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Muhammad Mustafa al-Zuhaili, 1/551)

Berdasarkan hal ini, jelas bahawa Islam amat menitikberatkan perkara halal dan haram khususnya dalam hak pemilikan dalam usaha meraih keredhaan Allah SWT dalam kehidupan.

Berkenaan persoalan di atas, kami takrifkan dahulu maksud tapau. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tapau bermaksud perbuatan membungkus (makanan dan lain-lain) untuk dibawa pulang dan sebagainya.

Membawa Pulang Makanan yang Dihidang dalam Majlis Kenduri

Allah SWT berfirman:

 فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانتَشِرُوا

Maksudnya: “Kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai.”

(Surah al-Ahzab: 53)

Al-Qurtubi berkata: Dalam ayat ini, terdapat dalil bahawa tetamu itu memakan atas pemilikan tuan rumah, bukan atas pemilikan dirinya sendiri. Ini kerana Allah SWT berfirman: ‘فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانتَشِرُوا’, dan Allah SWT tidak menjadikannya lebih banyak daripada memakan, dan tidak menambah apa-apa lagi kepadanya melainkan hal itu (memakan), dan kekallah pemilikannya kepada asalnya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 14/227) 

Al-Sabuni berkata: Adakah makanan yang dihidangkan kepada tetamu atas dasar pemilikan atau keizinan? Ayat yang mulia, iaitu firman Allah SWT, ‘فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانتَشِرُوا’ menunjukkan bahawa makanan yang dihidangkan kepada tetamu bukanlah dalam erti kata pemilikan, sebaliknya ia dalam erti kata keharusan. Jika tetamu ingin membawa makanan itu bersamanya pulang ke rumahnya, maka dia tidak dibenarkan melakukan demikian. Ini kerana tuan rumah hanya membenarnya makan, tanpa memilikinya, atau mengambilnya, atau memberikannya kepada sesiapa sahaja. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam, 2/253)

Para fuqaha’ turut membincangkan isu ini, antaranya Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhatu al-Talibin berkata: “Yang kedua, adakah tetamu memiliki apa yang dia makan? Dalam perkara ini terdapat dua pendapat. Al-Qaffal berkata bahawa dia tidak memilikinya, akan tetapi penghilangan dengan izin pemiliknya, dan pemiliknya boleh rujuk semula selama mana belum dimakan. Jumhur ulama menyatakan: Ya (dia memilikinya). Dengan apa dia memilikinya? Dalam hal ini, terdapat beberapa pendapat. Ada yang menyatakan, dengan meletakkannya di hadapan tetamu. Ada yang menyatakan dengan sebab ambilnya. Ada yang menyatakan dengan sebab meletakkannya di dalam mulut. Ada yang menyatakan dengan sebab menelan, maka nyata pemilikan kepadanya. Al-Mutawalli telah mendha’ifkan selain pendapat yang terakhir. Berdasarkan pendapat yang kuat, didasarkan kemungkinan rujuk kembali.

Aku katakan, pengarang al-Bayan menyatakan bahawa apabila kita berpendapat bahawa memilikinya dengan mengambil atau meletaknya di dalam mulut, maka apakah boleh bagi yang mengambilnya untuk mempersilakan makan kepada orang lain dan memanfaatkan makan tersebut selain demikian? Dalam hal ini, ada dua pendapat. Pendapat yang sahih dan pandangan jumhur adalah tidak boleh sepertimana tidak boleh meminjamkan benda yang dipinjam. Syeikh Abu Hamid dan al-Qadhi Abu al-Tayyib menyatakan bahawa boleh melakukan apa  sahaja, sama ada menjualnya, hibah dan selainnya, kerana makanan (yang dijamu) tersebut adalah miliknya. Ibn al-Sabbagh menyatakan bahawa, ini tidak datang atas asal keduanya. Wallahu a’lam.

Yang ketiga, tidak boleh bagi tetamu memanfaatkan pada makanan (yang dijamu) selain makan. Kerana itu, tidak boleh membawa bersamanya sesuatu pun daripadanya kecuali apabila mengambil sesuatu yang telah diketahui redha pemiliknya, dan berbeza yang demikian dengan ukuran yang diambil serta jenisnya, keadaan yang menjamu dan para undangan. Maka jika ragu berlakunya pada keadaan untuk bertolak ansur, maka pendapat yang sahih adalah haram dan tidak boleh bagi tetamu memberikan makanan untuk peminta-minta dan kucing. (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 7/339)

Al-Malibari menyebut: “Dalam kitab al-Anwar: Seandainya seseorang mengatakan, “Aku perbolehkan bagimu apa yang ada dalam rumahku atau buah anggur yang ada pada pohon anggurku, maka boleh baginya memakannya, tidak boleh menjualnya, membawa sertanya dan memberikan makan kepada orang lain.” (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 394. Lihat juga I’anatu al-Talibin, 3/173; al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, 3/271; Tuhfah al-Muhtaj, 6/303; Nihayah al-Muhtaj, 5/413)

Ibrahim al-Bajuri menyebut: “Dan tidak (boleh) digunakan makanan yang dihidangkan bagi seseorang selain memakannya. Ini kerana, makanan tersebut diizinkan untuk dimakan pada ‘uruf. Justeru, tidak boleh memberikan makanan tersebut untuk orang yang meminta-minta dan kucing, kecuali dengan izin pemiliknya atau diketahui redhanya.”

(Lihat Hasyiyah al-Bajuri ‘ala Fath al-Qarib, 2/128; Lihat juga Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 3/434; Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Manhaj, 4/276)

Justeru, kami nyatakan bahawa jika telah mendapat keizinan daripada tuan rumah untuk membawa pulang makanan, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan. Namun, jika tuan rumah tidak mengizinkan, serta adat dan wujud qarinah menunjukkan bahawa perbuatan tersebut tidak dibolehkan, maka hukumnya adalah haram untuk membawa pulang makanan.

Begitu juga, isu uruf dan adat setempat boleh diambil kira. Ini berdasarkan kaedah:  

الْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 89) 

Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:

إِنَّمَا تُعْتَبَرُ الْعَادَةُ إِذَا اطَّرَدَتْ أَوْ غَلَبَتْ

Maksudnya: “Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.” (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Ali Ahmad al-Nadwi, hlm. 65)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa semoga kita dikurniakan kebaikan hidup di dunia dan akhirat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply