Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa yang sesuai dibaca untuk kedua ibu bapa, yang boleh saya amalkan? Sama ada yang telah meninggal dunia, atau masih hidup? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, sebahagian doa tersebut ada disebutkan di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran berkaitan kepada kedua ibubapa, antaranya:

 رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

(Surah Ibrahim: 41)

Dalam ayat yang lain, disebut:

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.”

(Surah Nuh: 28)

Dalam ayat lain, disebut:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Surah al-Hasyr (10)

Dalam ayat yang lain, disebut:

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 24)

Ayat-ayat al-Quran di atas adalah yang menceritakan berkaitan lafaz doa kepada kedua ibu bapa. Akan tetapi, ia disebutkan di dalam bentuk mufrad (tunggal iaitu untuk seorang).

Antara lafaz doa yang boleh dibaca adalah berbeza mengikut siapa yang ingin didoakan. Sekiranya seseorang itu hanya ingin mendoakan kepada dirinya dan kedua ibubapanya sahaja boleh membaca dengan lafaz ini:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Adapun, sekiranya seseorang itu ingin mendoakan kepada ramai dan kedua ibubapa mereka boleh berdoa dengan lafaz ini:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Selain itu, lafaz yang ketiga ini sama seperti lafaz yang kedua iaitu mendoakan untuk ramai. Tetapi bezanya adalah pada lafaz “وَلِوَالِدِيْنَا” dibaca dengan baris bawah dan bukannya dengan baris atas “وَلِوَالِدَيْنَا” sepertimana di dalam lafaz yang kedua. Tambahan pula, lafaz yang ketiga ini (dibaca dengan baris bawah) bukan hanya terhad kepada ibubapa, bahkan ia termasuk datuk, nenek dan ke atas. Lafaz tersebut adalah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Selain daripada doa, sedekahlah bagi pihak ibu bapa atau sertakan wakaf bagi pihaknya kerana ia juga di antara amalan soleh, antaranya seperti sedekah dalam pembinaan masjid walaupun jumlahnya kecil seperti 10, 50 atau 100 ringgit sekalipun. Begitu juga wakafkan al-Quran atau mashaf kepada masjid dan surau bagi pihak ibu bapa. Pastikan jika ibu bapa ada meninggalkan puasa, maka puasalah untuknya sebagai qadha’ atau ganti mengikut pendapat yang terpilih di sisi Imam al-Nawawi.

Semoga Allah SWT menempatkan kedua ibu bapa kita bersama golongan orang-orang yang mendapat naungan rahmat daripada Allah SWT. Amin.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply