Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah itu sebenarnya ma’unah dalam ilmu tauhid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Lisan al-’Arab, perkataan ma’unah (مَعُونَة) berasal daripada perkataan ‘awana (عَوَنَ), di mana masdarnya adalah al-’aun (العَوْن) dan mu’awanah (مُعَاوَنَة) dan juga ma’unah (مَعُونَة). Perkataan tersebut biasa dikiaskan dengan erti pertolongan dan bantuan.

Menurut pengarang Kamus al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi, perkataan Ma’unah (مَعُونَة) adalah daripada bahasa Arab. Kata dasarnya adalah `Awana (عَوَنَ) sementara Ma’unah (مَعُونَة) adalah kata terbitan (masdar) dan ia bermaksud pertolongan.

Al-Tahanawi menyebut: “Al-Ma’unah (المَعُونَة) pada Syarak ialah perkara yang mencarik adat, yang dizahirkan melalui tangan orang awam yang beriman.” (Lihat Kassyaf Istilahat al-Funun, hlm. 1573) 

Ma’unah (المَعُونَة) adalah kemampuan luar biasa yang diberikan Allah kepada seorang mukmin untuk mengatasi suatu kesulitan. Ma’unah terjadi pada orang biasa berkat pertolongan Allah.

Secara ringkasnya, maunah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang soleh, yang apabila ditimpa sesuatu musibah atau hal ke atas dirinya, mereka terus melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui berbagai-bagai wirid, dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain.

Dalam menceritakan kisah Maryam, Allah SWT berfirman:

فَحَمَلَتْهُ فَانتَبَذَتْ بِهِ مَكَانًا قَصِيًّا ‎﴿٢٢﴾‏ فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا ‎﴿٢٣﴾‏ فَنَادَاهَا مِن تَحْتِهَا أَلَّا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا ‎﴿٢٤﴾‏ وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا ‎﴿٢٥﴾‏ فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا 

Maksudnya: Maka Maryam hamilah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. “Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”

(Surah Maryam: 22-26)

Al-Tabari berkata: Firman Allah, ‘وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا’, ertinya goyanglah pangkal pohon kurma itu kepadamu, nescaya ia akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, lalu makanlah ia dan minumlah dari air ini dan bergembiralah dengan anakmu ini.

Berkenaan firman Allah,  ‘وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ ’, disebutkan bahawa pangkal pohon kurma ini adalah kering, dan Allah memerintahkannya agar menggerak-gerakkannya, dan waktu itu adalah musim dingin. 

Firman Allah, ‘فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا’, yakni makanlah dari kurma yang berguguran atasmu, minumlah dari air sungai yang mengalir di bawahmu, jangan takut lapar dan dahaga, bergembiralah dengan kelahiran anakmu, dan janganlah engkau bersedih. (Lihat Jami’ al-Bayan, 17/525)

Sejarah membuktikan terlalu banyak maunah daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang soleh apabila mereka menghadapi ujian dan tribulasi dalam hidup. Allah SWT selamat dan lepaskannya dari bencana dan ujian tersebut dengan asbab kesolehannya. 

Kisah tiga orang pemuda yang musafir dan masuk dalam gua dengan sebab ribut yang kuat di padang pasir, yang akhirnya sebuah batu besar jatuh menghempap di pintu gua sehingga mereka tidak dapat untuk keluar kecuali bertawassul dengan amalan soleh masing-masing. Kemudian datangnya maunah dan pertolongan daripada Allah SWT. 

Sebagai seorang Islam, kita hendaklah mengabdikan diri kepada Allah dan berdoa kepada-Nya sebagaimana Allah SWT ajar kita menyebut:

 إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply