Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW juga dianggap sebagai pendakwah, sebagai mufti atau sebagai hakim?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berdasarkan pengamatan kami, Rasulullah SAW adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan dakwah dan diikuti oleh manusia sama ada perintah-Nya mahupun akhlaknya bahkan sirahnya ditekuni untuk diamalkan dan diiktibar, begitu juga kehidupannya. Benarlah firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”
(Surah al-Ahzab: 21)
Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa di antara tugas Rasul itu adalah sepertimana yang anda sebut. Al-Imam al-Sarkhasi ketika mentafsirkan firman Allah:
لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.”
(Surah al-Nahl: 44)
Katanya, adalah Rasulullah SAW diperintahkan untuk menerangkan kepada manusia dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa Rasulullah SAW menerangkan semuanya. (Lihat Usul al-Sarkhasi, 2/27)
Rasulullah SAW juga adalah qadhi yang memutuskan pertelingkahan antara sesama Muslim dan menghukum. Hal ini terdapat dalam hadith yang sahih riwayat al-Bukhari (2680). Saat yang sama, Rasulullah SAW melaksanakan pelbagai tugas yang lain.
Al-Qarafi telah bersependapat dengan al-Sarkhasi kecuali dia membezakan antara tugasan yang diwakilkan kepada Nabi SAW seraya berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan dakwah, fatwa, qadha’ dan imamah, serta terdapat perbezaan antara empat bidang tugas tersebut dari segi takrifnya.” (Lihat al-Ahkam fi Tamyiz al-Fatawa ‘an al-Ahkam wa Tasarrufat al-Qadhi wa al-Imam, hlm. 86-87)
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H