Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar, kadang-kadang tuan imam di masjid saya membaca doa ‘أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ’. Boleh ustaz terangkan faedah dan fadilatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Doa tersebut adalah:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Riwayat Muslim (2709), Abu Daud (3899), al-Tirmizi (3604), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10421), Ibn Majah (3518) dan Ahmad (7898)

Doa ini berdasarkan beberapa buah hadith. Antaranya, dalam satu riwayat menyebut bahawa sesiapa yang mengamalkannya, maka dia akan diberi keselamatan sepanjang berada di sesuatu tempat itu. Diriwayatkan daripada Khaulah binti Hakim al-Sulamiyyah R.Anha, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

مَنْ نَزَلَ مَنْزِلاً ثُمَّ قَالَ : أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ ، لَمْ يَضُرُّهُ شَىْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang singgah pada suatu tempat, kemudian mengucapkan:

  أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ ماَ خَلَقْ

(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta), segala sesuatu tidak akan memberi mudarat padanya, sehinggalah dia meninggalkan tempat tersebut.

Riwayat Muslim (7053)

Imam al-Nawawi berkata: “Ungkapan Rasulullah SAW “أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ” (Aku
berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna), bermaksud kalimat yang tidak mengandungi kekurangan atau cela, atau maksudnya yang bermanfaat dan menyembuhkan, atau makna lain yang dimaksudkan dengan kalimat di sini adalah al-Quran. Wallahu a’lam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/31)

Di dalam Syarah Hisn al-Muslim, dikatakan maksud kalimah Allah yang sempurna itu adalah nama-nama Allah yang mana tidak ada padanya kekurangan. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 154) 

Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menyebut: “Ungkapan Nabi SAW ” لَمْ يَضُرُّهُ شَىْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ” (tidak akan dimudaratkannya oleh sesuatu, sehinggalah dia meninggalkan tempat tersebut), ini adalah khabar yang sahih, perkataan yang benar berlandaskan dalil dan pengalaman. Ini kerana sejak mendengarnya, sungguh aku selalu mengamalkannya dan aku tidak pernah tertimpa marabahaya sehinggalah aku meninggalkannya, lalu aku disengat kala jengking pada suatu malam. Kemudian aku merenung, ternyata aku lupa berlindung (kepada Allah) dengan kalimat-kalimat tersebut.” (Lihat al-Mufhim li ma asykala min Talkhis Syarh Sahih Muslim, 4/1527)

Manakala dalam hadith lain, yang diriwayatkan daripada Suhail bin Abu Soleh, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ حِينَ يُمْسِي ثَلاَثَ مَرَّاتٍ : أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ ، لَمْ يَضُرَّهُ حُمَةٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan pada waktu petang tiga kali:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

(“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta”), tidak akan terkena sengatan binatang berbisa pada malam itu.”

Riwayat al-Tirmizi (3604)

Suhail (perawi hadith ini) berkata: “Keluarga kami mempelajarinya dan  mengucapkannya pada setiap malam, hingga tiba suatu hari seorang anak perempuan kami disengat oleh seekor binatang, namun dia tidak merasa sakit sedikit pun.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 5/475)

Dalam hadith lain, sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ، قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:

 َاعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta), nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkan kamu.” 

Riwayat Muslim (2709)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply