Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar nama Imam al-Auza’i. Bagaimana pendapat ulama tentangnya serta pandangannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sedikit pengenalan Imam al-Auza’i:
Nama beliau adalah Abdul Rahman bin Amr bin Yahya Al-Auza’i. Beliau dikenal dengan nama gelarannya, Al-Auza’i, nisbah ke daerah Al-Auza’, salah satu wilayah di Damsyik (sekarang berada dalam Lubnan). Beliau dilahirkan pada tahun 88 H dan mengalami masa kanak-kanak dalam keadaan yatim. Namun, sejak kecil, beliau sentiasa berusaha memperbaiki diri. Sebagaimana ulama-ulama terkemuka lain, beliau melakukan perjalanan menuju Yamamah dan Basrah dalam usaha perjalanan beliau menuntut ilmu.
Selama hidupnya, Imam Al-Auza’i lebih banyak menggunakan masa untuk berdakwah dan mengajarkan ilmu. Abu Zur’ah mengatakan, “Pekerjaan beliau adalah menulis dan membuat risalah. Risalah-risalah beliau sangat menyentuh hati.” Walid bin Mazid mengatakan, “Saya belum pernah melihat beliau tertawa terbahak-bahak. Apabila beliau menyampaikan kajian yang mengingatkan akhirat, hampir tidak dijumpai hati yang tidak menangis.” Beliau juga mengatakan, “Saya belum pernah melihat orang yang lebih rajin beribadah melebihi Imam Al-Auza’i.”
Al-Haql mengatakan, “Al-Auza’i telah menjawab dan menjelaskan 70,000 permasalahan.” Sementara, Al-Kharibi mengatakan, “Al-Auza’i adalah manusia terbaik pada zamannya. Beliau layak untuk mendapat jawatan khilafah.” Bisyr bin Mundzir mengatakan, “Saya melihat Al-Auza’i seperti orang buta, kerana kekhusyukannya.” Disebutkan bahawa beliau menghidupkan malamnya dengan solat dan membaca Al-Quran sambil menangis.
Beliau sangat dimuliakan oleh Khalifah Al-Mansur. Khalifah amat cakna dalam mengambil nasihat-nasihat Al-Auza’i. Sampai akhirnya, beliau pernah ditawarkan untuk menjadi hakim oleh Khalifah, namun beliau menolaknya. Di akhir hayatnya, beliau berangkat ke Beirut dan melaksanakan tugas ribath (menjaga daerah perbatasan) dan meninggal dunia di sana. Warisan yang beliau tinggalkan ketika beliau wafat hanya enam dinar, dan itu merupakan sisa daripada sedekah yang dia berikan. Semoga Allah SWT merahmati Imam Al-Auza’i. (Lihat Tazkirah al-Huffaz oleh al-Zahabi, no. 177)
Di sini, jelas menunjukkan Imam al-Auza’i mempunyai kelebihan yang banyak, thiqah, thabat, alim, faqih dan ulama Rabbani yang masyhur pada zamannya. Kami nukilkan di sini beberapa pandangan ulama terhadapnya:
- Muhammad bin Sa’ad berkata: Adalah Imam al-Auza’i seorang yang thiqah, dipercayai, mempunyai kelebihan, banyak menghafaz hadith, ahli ilmu, feqah, dan seroang yang boleh dibuat hujah. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn al-Sa’d, 7/488)
- Imam Nawawi berkata: Ijmak para ulama’ atas imamah al-Auza’i, kemuliaan dan tinggi martabatnya serta kesempurnaan kelebihannya. Pendapat salaf amat banyak lagi masyhur dan terang menceritakan tentang waraknya ,zuhud, ibadat dan melaksanakan kebenaran di samping banyak hadis dan lebatnya ilmu feqahnya. Pun begitu, beliau amat kuat berpegang dengan sunnah, seorang yang mempunyai lisan yang fasih, para ulama pada zamannya amat memuliakannya dan iktiraf dengan martabatnya. (Lihat Tahzib al-Asma wa al-Lughat, 1/1/299)
- Sekalipun beliau mempunyai kelebihan, beliau juga sentiasa berada di hadapan di medan perbatasan perang sebagai salah seorang ahli ribat untuk mengawal sempadan islam sehingga dia sanggup meninggalkan tempat kediamannya di damsyik menuju ke beirut sehinggalah beliau meninggal dunia. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/118)
Berdasarkan dapatan kami, jelas menunujukkan imam al-Auza’i membina mazhabnya berdasarkan nas iaitu Kitabullah dan juga Sunnah Nabi SAW. Cukuplah kami akhir tentang Imam al-Auza’i sehingga kata Imam al-Syafi’i: “Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih hampir fiqhnya dengan hadisnya melebihi Imam al-Auza’i.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 7/113)
Adalah Imam al-Auza’i merupakan tokoh dalam makrifah qawaid al-salaf pada setiap bab daripada bab-bab feqah. (Lihat Muqaddimah al-Musoffa, hlm. 20)
Semoga Allah merahmati imam ini dan memasukkan dalam kalangan para ulama’ yang solihin. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”
Surah al-Hasyr (10)
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H