Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah selepas dipotong tangan dalam Islam mengikut syarat-syaratnya sebagai had untuk disambung semula, atau disebabkan kerana qisas, juga ingin disambung semula?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ ۚ

Maksudnya: “Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang).”

(Surah al-Ma’idah: 45)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama telah khilaf kepada tiga pendapat:

  • Ditegah sama sekali sama ada dipotong dengan sebab had atau qisas. 
  • Harus sama sekali pada had atau qisas
  • Harus dengan cara tafsil di antara hak-hak hamba dan hak hak Allah sebagaimana mereka membezakan antara hadd dan qisas

Kami dapati, setiap mereka memberi hujah dan fatwa tersebut telah dibahaskan oleh Majlis Mujamma’ al-Fiqh al-Islami yang bersidang pada 16-23 Sya’ban 1430 H serta telah mengeluarkan resolusi no. 6/9/60.

Antara lain menyebut:

Selepas kajian tentang bath ilmi yang dibawa ke Majma’ khusus dengan tajuk anggota yang telah dipotong dengan sebab hukuman hadd, atau qisas di samping mendengar perbahasan serta meraikan maqasid syariah dari pelaksanaan hukuman hadd serta mengekalkan kehendak daripada hukuman yang kesannya sebagai ibrah dan iktibar, maka mereka berpendapat tidak harus untuk menyambungnya kembali di samping qisas disyariatkan untuk menegakkan keadilan serta memberi keinsafan kepada pelaku jenayah dan menegakkan hak yang kena jenayah, serta memelihara hak masyarakat dan juga keamanan dan kestabilan, maka hukumnya adalah tidak dibolehkan melainkan terdapatnya hal tertentu, antaranya:

  • Mangsa mengizinkan selepas pelaksanaan qisas untuk mengembalikan anggota yang terputus itu.
  • Orang yang menjadi mangsa telah dapat mengembalikan anggota yang terputus.
  • Harus mengembalikan anggota yang terputus pada hukuman had atau qisas dengan sebab tersilap pada hukum atau pelaksanaannya.

Berdasarkan kepada perbincangan ini, Islam menekankan isu keadilan dan hak bagi setiap orang yang dizalimi untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya. Itulah rahmah dan samahah Islam apabila melaksanakan satu-satu hukum. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply