Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat di sana doa yang khas apabila mendapat cahaya mata dan boleh terangkan kepada kami tentang doa tersebut dengan lebih terperinci.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara doa yang boleh dibaca ialah:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي الـمَوْهُوبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ
Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Yang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.”
Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (hlm. 349) dan Imam Ibn al-Qayyim dalam Tuhfat al-Maudud (hlm. 35) menisbahkan doa ini kepada Hasan al-Basri. Ia asalnya diriwayatkan oleh Ibn al-Ja’d dalam Musnadnya, Ibn Abi al-Dunya, Abu Bakar Ibn al-Munzir dalam al-Awsat dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil.
Dalam al-Futuhat al-Rabbaniyyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyyah, Ibn ‘Allan al-Syafi’i menjelaskan maksud Imam al-Nawawi ini. Beliau berkata:
Imam al-Nawawi tidak menyebut dari manakah riwayat tersebut dikeluarkan. Ulama’ lain menyebut bahawa yang mengatakan seperti itu adalah al-Hasan. Imam al-Suyuti dalam Wusul al-Amani bi Usul al-Tahani mengatakan bahawa riwayat tersebut dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir daripada Kulthum Ibn Jausyan, katanya: “Seseorang pernah datang menemui al-Hasan dan orang tersebut baru sahaja dikurniakan seorang anak. Lalu dia berkata kepada al-Hasan: “Wahai Abu Sa’id, apa yang akan engkau ucapkan?” Lalu al-Hasan pun berkata: ‘بورِك لك في الموهوب، وَشَكَرتَ الواهب، ورزققت برَّه، وبلغ أشُدَّه’ (Semoga anak yang diberikan kepadamu diberkati. Semoga engkau juga bersyukur kepada Yang Memberi. Dan semoga engkau dikurniakan kebaikannya dan dia dapat mencapai dewasa).
Al-Tabarani mengeluarkan dalam al-Du’a daripada jalur al-Yasri bin Yahya, dia berkata bahawa ketika seseorang dikurniakan seorang anak, al-Hasan al-Basri mendoakannya dengan doa: ‘جَعَلَهُ اللهُ مُبَارَكًا عَلَيْكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ’ (Semoga dengannya Allah memberi keberkatan untukmu dan untuk umat Muhammad SAW).
Ibn ‘Alan berkata: Jika kita perhatikan riwayat pertama dan riwayat kedua yang secara jelas menyebut sebagai perkataan al-Hasan al-Basri, maka kita dapat pastikan bahawa yang dimaksudkan daripada riwayat di atas daripada al-Hasan al-Basri (bukan daripada al-Hasan bin ‘Ali) kerana kuniyah al-Hasan al-Basri ialah Abu Sa’id manakala nama kuniyah al-Hasan bin ‘Ali ialah Abu ‘Abdillah. Yang menegaskan bahawa yang dimaksudkan tersebut adalah al-Hasan al-Basri ialah al-Auza’i. Akan tetapi dalam kitab al-Tuhfah oleh Ibn Hajar, tetap dikatakan bahawa yang dimaksudkan ialah al-Hasan bin ‘Ali. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 6/74)
Syeikh Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani menjelaskan: Ungkapan ‘بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي الـمَوْهُوبِ لَكَ’ bermaksud semoga Allah memperbanyak kebajikanmu atas kelahiran anakmu.
Ungkapan ‘وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ’, maksudnya, semoga Allah menjadikan kamu orang yang redha atas apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu, lalu kamu bersyukur memuji-Nya.
Ungkapan ‘وبَلَغَ أشُدَّهُ’ maksudnya semoga ia lekas membesar menjadi dewasa, kuat dan panjang usianya sehingga dia dapat membantu dalam segala urusanmu. Ungkapan ‘وَرُزِقْتَ بِرَّهُ’ yakni semoga Allah menjadikannya anak yang taat kepadamu. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 195)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H