Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang hadir ke suatu majlis kenduri, tapi dia tidak mendapat jemputan pun. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, secara asasnya, para ulama empat mazhab telah bersepakat bahawa haram bagi seseorang untuk hadir ke majlis kenduri tanpa dijemput, atau yang tidak diketahui sama ada tuan rumah redha atau tidak. Dia dihukum fasiq dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut, kerana ia termasuk dalam kategori memakan makanan yang haram. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/143; Nihayah al-Muhtaj, 6/377; al-Mughni, 10/163)

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perompak.”

Riwayat Abu Daud (3741)

Menurut al-’Aini, orang yang hadir ke majlis kenduri perkahwinan tanpa dijemput diistilahkan sebagai al-tufaili (الطُّفَيْلِي), iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan manusia tanpa mereka menjemputnya. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 21/63)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Khatib mengumpulkan satu juzuk tentang berita orang-orang yang datang tanpa diundang dan memuatkan beberapa faedah. Antaranya, bahawa penamaan al-tufaili (الطُّفَيْلِي) bagi orang yang ke majlis jamuan tanpa diundang, dinisbatkan kepada seorang lelaki yang diberi nama al-Tufail dari Bani Abdullah bin Ghatafan. Dia sering datang ke suatu majlis jamuan tanpa diundang. Maka disebut tufail al-’ara’is (طُفَيْل الْعَرَائِس) (orang yang sering datang ke majlis jamuan tanpa diundang). Lalu orang yang melakukan seperti sifatnya diberi sebutan tufaili. Orang Arab memberikannya nama al-warisy (الْوَارِش), dan dikatakan kepada orang yang mengikuti orang yang diundang dengan sebutan daifan (ضَيْفِن) (Lihat Fath al-Bari, 15/334)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Mas‘ud, katanya: Seorang lelaki dari kaum Ansar yang diberi gelaran Abu Syu‘aib berkata kepada hambanya yang bertugas untuk memotong daging: “Sediakan hidangan untuk lima orang, kerana aku ingin menjemput  Rasulullah SAW di antara kelima orang itu. Sesungguhnya aku telah melihat tanda-tanda lapar pada wajah Baginda SAW. Dia kemudian menjemput mereka, lalu datang bersama mereka seorang lelaki lain (yang tidak dijemput). Nabi SAW pun berkata (kepada Abu Syu‘aib): 

إِنَّ هَذَا قَدْ تَبِعَنَا، فَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَأْذَنَ لَهُ فَأْذَنْ لَهُ، وَإِنْ شِئْتَ أَنْ يَرْجِعَ رَجَعَ. فَقَالَ: لاَ، بَلْ قَدْ أَذِنْتُ لَهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya orang ini telah mengikuti kami. Sekiranya engkau mengizinkan, izinkanlah untuk beliau (makan bersama). Sekiranya engkau menghendaki supaya dia pulang, dia akan pulang.” Abu Syu‘aib lalu berkata: “Tidak, bahkan aku mengizinkannya.”

Riwayat al-Bukhari (2081) dan Muslim (2036)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sesiapa yang ikut bersama orang-orang yang diundang, maka orang yang mengundang boleh melarangnya. Apabila dia masuk tanpa izinnya, maka dia boleh mengeluarkannya. Selain itu, orang yang ingin ikut tidaklah dilarang, kerana lelaki itu telah mengikuti Nabi SAW dan Baginda tidak menolaknya. Kerana ada kemungkinan orang yang mengundang berbaik hati dan mengizinkannya. Hadith ini juga dijadikan dalil melarang orang yang diundang untuk memanggil atau mengajak orang lain, kecuali jika dia mengetahui bahawa orang yang mengundang redha. (Lihat Fath al-Bari, 15/334)

Berdasarkan hadith ini, difahami pada asalnya seseorang tidak boleh hadir untuk makan di sesuatu majlis jamuan jika tidak dijemput. Namun, jika tuan rumah memberi keizinan, atau diketahui bahawa ada keizinan daripada tuan rumah, maka hukumnya adalah harus. 

Menurut Hasyiyah al-Bujairimi, perbuatan datang tanpa diundang itu sebenarnya boleh menyakiti tuan majlis jika dilihat daripada beberapa sebab, seperti makanan yang disediakan tidak cukup daripada anggaran tetamu. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi, 3/434)

Namun, jika seseorang itu yakin bahawa tuan majlis redha dengan kehadirannya, seperti dia merupakan saudara atau rakan, namun terlupa untuk diundang, maka dalam keadaan tersebut, ia tidak diharamkan. 

Penutup

Kami katakan, uruf dan adat memainkan peranan utama dalam menentukan sesuatu hukum. Ini kerana uruf di Malaysia juga berbeza, seperti orang kampung yang mengadakan kenduri kahwin berhampiran rumah atau dewan di tempat mereka dengan keadaan tidak kisah yang datang, maka ketika itu tidak menjadi masalah. Sebaliknya, jika ia orang bandar atau kenamaan, dengan telah meletakkan kehadiran atau tidak, maka ketika itu hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu berdasarkan nas hadis yang telah disebutkan. 

Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepada kita di dunia dan akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply