Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Umar bin Abdul Aziz diracun dan mati akibatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umar bin Abd al-Aziz lahir pada tahun 61 Hijrah. Beliau merupakan  khalifah Bani Umayyah yang memerintah dari tahun 99 Hijrah hingga tahun 101 Hijrah. Terdapat dua pendapat mengenai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina ‘Umar bin al-Khattab.

Sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah, Umar Ibn Abdul Aziz memecat gabenor-gabenor daerah yang diketahui kejam atau tidak berlaku adil terhadap rakyat. Semua barangan kemas dan hadiah berharga yang diberikan kepada beliau tatkala beliau menaiki tahkta kerajaan dihantar ke Baitul Mal.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah al-Hajj: 41)

Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menyempurnakan segala titah perintah Allah dan pra syarat yang telah disebut seperti di atas.

Beliau menjadi seorang yang telah berubah sama sekali. Beliau menganggap dirinya sebagai pengganti kepada Umar Ibn al-Khattab, tidak kepada Sulaiman Ibn Abdul Malik. Hamba sahaya milik keluarga diraja dimerdekakan. Istana kediaman diraja yang dibina menurut ciri-ciri Parsi dan Rom, diubah sama sekali dan mengambil rupa yang penuh kesederhanaan.

Beliau mengembalikan kepada negara bukan hanya tanah pusakanya, tetapi juga barang kemas dan barang bernilai yang isterinya telah terima daripada bapa dan saudara¬ maranya. Beliau menjalani hidupnya dengan begitu sederhana dan zuhud sehingga payah dijumpai oleh mana-mana para rahib seperti beliau, apatah lagi para raja dan maharaja. Pernah beberapa ketika, beliau lewat menghadiri solat Jumaat kerana menunggu bajunya yang tunggal itu kering sesudah dibasuh.

Kewafatan Khalifah Umar bin ‘Abd al-Aziz

Sekiranya Allah SWT mentakdirkan supaya Umar Ibn Abdul Aziz menik­mati pemerintahan yang lama sebagaimana khalifah­-khalifah sebelumnya, nescaya dunia Islam akan dapat menyaksikan satu perubahan menyeluruh dan kekal yang akan mengubah jalan sejarahnya. Akan tetapi Umar Ibn Abdul Aziz meninggal dunia dalam pertengahan tahun 101H, setelah memerintah hanya selama dua tahun lima bulan. 

Para ulama berbeza pandangan berkenaan faktor kematiannya. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa penyebabnya adalah kerana menghidap satu penyakit di bahagian paru-paru yang mematikan. Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa Khalifah diracun oleh salah seorang hamba miliknya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/222)

Dikatakan bahawa Umar al-Walid inginkan pentadbiran negara diambil alih semula oleh garis keturunannya. Lantas beliau mengatur suatu perancangan jahat bagi mengakhiri riwayat Khalifah Umar. Beliau telah pergi menemui salah seorang pembantu rumah Khalifah Umar iaitu Maisarah untuk melaksanakan rancangan jahatnya. Hal ini disebabkan Maisarah yang sering keluar masuk dari rumah khalifah. Akan tetapi, Maisarah menolak dengan keras permintaan Umar al-Walid, meskipun dijanjikan dengan pembebasan dan diberi ganjaran harta yang banyak. Bahkan, Maisarah mengugut Umar al-Walid untuk melaporkan rancangan itu kepada khalifah. Lantas Umar al-Walid membunuh Maisarah akibat ugutan tersebut dan mayatnya ditanam di tengah padang pasir.

Apabila usaha itu gagal, Umar al-Walid kemudian mempengaruhi pembantu yang lain pula, iaitu Dirham dan usahanya itu kemudian berhasil. Beliau menyerahkan sebotol racun kepada Dirham dan mengarahkannya untuk meletakkan racun dalam minuman Khalifah Umar. Beliau ditawarkan ganjaran sebanyak 1000 dinar. Akhirnya rancangan jahat itu berjaya. Khalifah Umar jatuh sakit akibat diracun pada awal bulan Rejab tahun 101 H. Racun ini tidak membunuh terus, melainkan ianya menyeksa fizikal Khalifah Umar.

Khalifah Umar pada hakikatnya telah mengetahui bahawa dirinya diracun oleh pembantu sendiri pada hari pertama beliau jatuh sakit. Beliau lantas memanggil Dirham dan memarahinya lalu meminta supaya Dirham menyerahkan duit sebanyak 1000 dinar kepadanya. Khalifah Umar kemudian memasukkan duit tersebut ke dalam Baitulmal dan membebaskan Dirham. Khalifah Umar memerintahkan Dirham untuk berlari sejauh mungkin sebelum beliau ditangkap oleh para pengawal lain. 

Ibn Kathir menceritakan bahawa sebelum meninggal, Khalifah Umar bertanya kepada hamba itu, “Celaka! Apa yang mendorongmu untuk melakukan ini?” Hamba itu menjawab, “Aku dibayar seribu dinar untuk melakukannya dan dijanjikan akan dibebaskan.” Meskipun demikian, Khalifah Umar tidak marah. Bahkan, beliau menyuruh hamba tersebut untuk melarikan diri agar nyawanya selamat. Kata Khalifah ‘Umar, “Pergilah agar tidak ada orang yang melihatmu, sehingga nyawamu selamat.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/222)

Namun, terdapat juga sejarawan lain yang mengkritik riwayat yang mengatakan bahawa Khalifah dibunuh kerana diracun oleh hambanya dan mendakwanya sebagai dusta. Pendapat tersebut menyebut bahawa kematian Khalifah ‘Umar adalah disebabkan beliau terlalu mengerah tenaganya untuk menguruskan rakyat, sering berjaga malam untuk menguruskan negara, serta tabiat makannya yang tidak teratur disebabkan kesibukannya itu. (Lihat al-’Alam al-Islami fi ‘Asr al-Umawi: Dirasah Siyasiyyah oleh Dr. ‘Abd al-Syafi Muhammad ‘Abd al-Latif, hlm. 163) Menurut catatan dari isterinya Fatimah, permulaan kesakitan Khalifah Umar adalah ketakutannya yang tinggi kepada Allah SWT.

Apabila merasa usianya sudah hampir tiba, Khalifah Umar pun minta untuk didudukkan. Setelah itu, dia berkata: “Duhai Tuhanku, Engkau menyuruhku beribadah, tetapi aku lalai. Engkau melarangku daripada melakukan dosa, tetapi aku tidak patuh.” Beliau mengulanginya sehingga tiga kali. Dan menyebut, “Tetapi, tidak ada Tuhan selain Allah.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/223)

Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-’Aziz meninggal dunia pada 25 Rejab 101 H di Dir Sam’an, yang termasuk daripada daerah Homs, Syria. Beliau meninggalkan empat belas orang anak. Jawatannya sebagai khalifah kemudian digantikan oleh sepupunya, Yazid bin Abd al-Malik. (Lihat al-’Alam al-Islami fi ‘Asr al-Umawi: Dirasah Siyasiyyah oleh Dr. ‘Abd al-Syafi Muhammad ‘Abd al-Latif, hlm. 163)

Semoga Allah kurniakan keampunan kepadanya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh. Marilah sama-sama berdoa kepada mereka yang telah meninggal sebelum kita:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply