Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato’ Seri saya ingin bertanya. Saya ada sedikit kemusykilan, semalam saya solat jamak takdim maghrib dan isyak di sebuah masjid, saya solat bersama imam di saf pertama dan jarak dari imam hampir 3 meter, saya memakai pakaian baju melayu dan kain pelikat (tidak nampak macam musafir), sebelum duduk di saf pertama saya ada terfikir (patutkah saya solat di saf pertama, memandangkan saya mahu terus solat isyak selepas itu.
Disebabkan jemaah kurang, saya solat di saf pertama. Selesai solat maghrib, saya terus bangun dan pandang ke belakang, tiba-tiba ada jemaah arahkan saya duduk dan tunggu, disebabkan dia rasa saya mahu terus melangkah ke belakang. Di belakang sekali saf ketiga, masih ada jemaah yang belum selesai solat magrib.
Soalan saya, bolehkah saya tunggu sehingga mereka selesai? Saya agak janggal bersolat di saf awal kerana situasi masyarakat yang pada pandangan saya tidak selesa dengan makmum yang terus bangkit dan bersolat disebabkan kedudukan saya di saf pertama. Terima Kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Permusafiran adalah melintasi jarak antara tempat ke tempat. Ketika perjalanan menjadi sesuatu yang menyusahkan, maka kelonggaran diberikan, dan ada empat jenis kelonggaran perjalanan.
- Berbuka Puasa
- Qasar (Memendekkan rakaat solat)
- Jama’ (Menghimpunkan solat dalam satu waktu)
- Ditambahkan tempoh menyapu atas Khuf (Lihat Syarh Umdah al-Ahkam,22/3)
Firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Pada asasnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”
Riwayat al-Bukhari (1107)
Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan antara syarat sah jamak solat adalah berturut turut iaitu dilakukan dua solat secara berturut turut dan tidak diselangi dengan apa-apa perbuatan. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Baghawi bahawa : al-Muwalah (Berturut-turut) adalah merupakan syarat sah solat jamak. Tidak boleh melakukan solat sunat antara dua solat tersebut dan juga tidak boleh duduk lama antaranya. Sekiranya dia memanjangkan tempoh antara kedua-dua solat jamak tersebut maka terbatallah jamak dan hendaklah dia melakukan solat kedua pada waktunya (Lihat al-Tahzib Fi Fiqh Imam al-Syafi’e, 2/316)
Namun dalam situasi di atas kami katakan sekiranya tempoh terpisah antara dua solat jamak itu hanya sebentar maka ia tidak ada masalah. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Nawawi : Tidak ada masalah sekiranya waktu yang terpisah antara solat jamak itu hanya sekejap. (Lihat Minhaj al-Talibin,hlm.46)
Lajnah Ifta ‘Urduniyyah menyatakan Jarak masa antara dua solat jamak adalah singkat seperti waktu yang cukup untuk melaksanakan dua rakaat solat yang ringan dengan wuduk, azan, dan iqamah, kita menganggarnya sekitar tujuh minit. Jika jarak melebihi waktu seperti ini, maka itu dianggap jarak yang panjang. Jika seorang yang sedang solat ragu-ragu apakah jarak yang terpisah itu sudah lama atau masih pendek, maka dia tidak boleh menggabungkan kedua solat tersebut.[1]
Justeru kami katakan, tiada masalah untuk menunggu seketika jika tempoh tersebut tidak terlalu lama. Jika sebaliknya, maka ia tidak diperbolehkan kerana ia menyebabkan terbatalnya solat jamak. Namun, lebih afdhal melakukannya dengan segera secara berturut-turut tanpa melakukan apa-apa perbuatan antara kedua-dua solat jamak tersebut.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Wallahu a‘lam
[1] https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=8
Diakses pada 17 Julai 2023
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H