Soalan:
Saya mempunyai masalah kesihatan “lactose intolerance atau intoleransi laktosa” yang menyebabkan saya akan kerap kentut sekiranya mengambil produk tenusu atau apa-apa makanan/minuman yang bersumberkan tenusu. Masalah kekerapan kentut ini agak mengganggu khususnya semasa tawaf dan solat berjemaah di Masjidil Haram.
Adakah situasi saya ini boleh disamakan dengan hukum orang yang kencing tidak lawas menunaikan solat dan tawaf? sedangkan saya boleh kurangkan kekerapan kentut ini dengan mengelakkan makan dan minum berunsurkan tenusu sepenuhnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali,”
Surah al-Maidah (6)
Ibnu Munzir Rahimahullah berkata, “Telah ijmak para ulama bahawa keluar najis dari dubur, keluar air kencing dari zakar dan begitu juga wanita, keluar mani, keluar angin dari dubur (kentut), hilangnya akal dengan apa cara sekali pun termasuk dalam hadas semuanya itu memerlukan taharah dan mewajibkan wudhuk.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 29)
Definisi intoleransi laktosa (Lactose Intolerance)
Ia merupakan keadaan di mana tubuh tidak dapat untuk menyerap laktosa (sejenis gula yang terdapat di dalam susu/ produk tenusu. Punca penyakit ini terjadi disebabkan kekurangan enzim lactase. Statistik menunjukkan 95% rakyat Malaysia mempunyai masalah ini. Antara simptom yang sering terjadi kepada pesakit ialah: sakit perut, cirit-birit berair, loya, kembung perut, gatal di sekitar dubur dan sebagainya. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan situasi saudara tidak boleh untuk disamakan dengan situasi orang yang kencing tidak lawas. Hal ini kerana kencing tidak lawas ini tidak boleh dikawal bahkan kadangkala kita tidak menyedari ia keluar. Namun, dalam situasi saudara, ia boleh dikawal dengan mengurangkan makan dan minum yang berunsur tenusu. Maka, dalam isu ini kami sarankan kepada saudara beberapa perkara:
- Ketika hendak menunaikan solat jemaah di Masjidil Haram, elakkan untuk mengambil makanan atau minuman berunsur tenusu, bagi mengelakkan kekerapan kentut berlaku.
- Menyediakan botol spray air, bagi memudahkan saudara untuk mengambil wuduk ketika dalam Masjidil Haram. Hal ini kerana tandas berada jauh di luar masjid dan kadangkala sukar untuk
Berkenaan isu berkaitan kentut ini juga, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:
#1602: Kenapa Kentut Membatalkan Wudhu’?[1]
#1589: Kentut Tidak Berbunyi Atau Berbau Dalam Solat[2]
#69 Was-Was Kentut Semasa Solat[3]
Bagi menghukum dengan lebih baik, kami syorkan agar pihak tuan merujuk kepada pakar dalam bidang tersebut dan adakah anda termasuk dalam golongan yang tidak terkawal kentut. Kalau ini berlaku, maka barulah dikiaskan seperti kencing tak tus. Ia dipanggil sebagai salis al-rih (سَلِس الريح), sama seperti kencing tak tus, dikenali salis al-baul (سَلِس البول). Maka hukumnya sama.
Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
[1] https://maktabahalbakri.com/1602-kenapa-kentut-membatalkan-wudhu/
[2] https://maktabahalbakri.com/1589-kentut-tidak-berbunyi-atau-berbau-dalam-solat/
[3] https://maktabahalbakri.com/69-was-was-kentut-semasa-solat/
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H