Soalan:

Assalamualaikum wbt, Dato’ Seri. Sebagai orang awam, apa hukum jika saya mentadabbur hanya merujuk kepada terjemahan Al-Quran tanpa tafsir atau tanpa guru?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tadabbur merupakan usaha untuk mencari makna di sebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. (Lihat Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir, oleh Dr. Musa’id al-Toyyar, hlm. 185)

Firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

Surah Muhammad (24)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 7/458)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam mempelajari ilmu, seseorang itu mestilah berguru agar ilmu tersebut dapat difahami dengan jelas dan tidak tersasar dari maksud sebenar. Maka, dalam mempelajari al-Quran, berguru dengan guru tafsir dan melihat kepada tafsir ulama seperti tafsir Ibn Kathir, tafsir al-Maraghi, tafsir al-Qurtubi dan seumpamanya adalah suatu perkara yang penting. Hal ini kerana mempelajari ilmu tanpa guru akan menyebabkan pemahaman yang menyeleweng dan mengikut hawa nafsu. Jika kita lihat sejarah bagaimana imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie, Imam Ahmad menuntut ilmu dari pelbagai tokoh ulama’ dan dalam tempoh masa yang lama. Ini jelas menunjukkan yang bahawa mereka sampai ke tahap mujtahid mutlaq atau mustaqil tetapi melazimi ilmu dengan berguru dan beriltizam dalam tempoh yang lama.

Daripada Uthman bin Affan RA, Rasulullah SAW pernah bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. 

Riwayat al-Bukhari (5027)

Mafhum daripada nas di atas, perkataan ‘تَعَلَّمَ ’ dan juga ‘عَلَّمَهُ’ menunjukkan wujudnya guru dan murid, yakni pembelajaran sebaik-baiknya dengan cara talaqqi atau berdepan dengan guru secara syafahi atau syafawi.

Maka, nasihat kami kepada saudara, jika sekiranya hanya sekadar untuk melihat terjemahan dari ayat al-Quran yang dibaca, maka ianya dibolehkan. Namun, sekiranya mahu memahami dengan lebih mendalam lagi (tadabbur), maka bergurulah dengan guru yang mendalami dalam bidang tafsir. Sebagaimana firman Allah SWT:

 فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

Surah al-Nahl (43)

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kepada hati kefahaman dalam agama serta cintakan al-Quran dan dapat mentadabburnya.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply