Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya soalan, apakah hukum melakukan terapi keratin rambut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Rambut memain peranan yang penting dalam menentukan rupa paras seseorang. Manusia dianugerahkan lebih kurang 100,000 helai rambut di atas kulit kepala. Setiap hari seseorang akan kehilangan lebih kurang 100 helai rambut (gugur) dan digantikan dengan rambut yang baru. Setiap helai rambut terdiri dari 3 lapisan keratin, yang mana lapisan luar (kutikel) berfungsi untuk melindungi 2 lapisan dalam. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)

 

Terapi Keratin Rambut

Terapi ini merupakan satu terapi bagi membantu memperbaiki rambut yang rosak serta membuatkan rambut halus dan lebih teratur. Proses terapi keratin rambut ini dimulakan dengan mencuci rambut terlebih dahulu. Kemudian, membiarkan cairan keratin tersebut meresap dalam tempoh 20 minit. Setelah itu, rambut tersebut akan diluruskan menggunakan pemanas besi sekitar 90 minit. Rambut tersebut tidak boleh dicuci dalam tempoh 3-4 hari. Hal ini bagi memastikan keratin tersebut menyerap sepenuhnya.

Antara kelebihan keratin rambut ini adalah untuk membuatkan rambut lebih lembut, teratur, tidak kering, melindungi dari kutikula rambut menjadi rosak dan sebagainya (Lihat Hello Sehat)

Islam amat menyarankan agar umatnya sentiasa dalam keadaan kemas, cantik dan bersih. Perhiasan juga merupakan keinginan fitrah bagi setiap manusia khususnya wanita. Namun, di sana juga Islam meletakkan garis panduan agar menjadi rujukan bagi setiap manusia. Firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ 

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Surah an-Nur (31)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan: “Dilarang memperagakan/mentanayang perhiasan kepada ajnabi. Melainkan apa yang susah baginya untuk disembunyikan dan menjadi kebiasaan untuk tidak menyembunyikannya sebagaimana cincin.” (Lihat Tafsir al-Maraghi 18/99)

Berbalik kepada soalan  di atas, kami nyatakan dalam isu pengubahan rambut, ulama berbeza pandangan berkenaannya. Imam Nawawi menukilkan pendapat Imam Haramain dengan menjelaskan dibenarkan untuk mengerintingkan rambut seperti mana hukum mewarnakan rambut dengan inai bagi perempuan yang berkahwin. (Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 3/140)

Manakala, Imam Ramli di dalam kitabnya menyatakan: “Diharamkan mengerintingkan rambut, menjarangkan gigi, menghitamkan rambut, memerahkan pipi, berinai dan selainnya. Sekiranya diizinkan oleh suaminya maka diharuskan. Hal ini kerana bertujuan untuk perhiasan kepada yang diizinkan”. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarah al-Minhaj, 2/25).

Justeru itu, dapat kita fahami di sini bahawa:

  • Dibenarkan untuk meluruskan rambut sama ada tujuan untuk keselesaan sendiri mahupun berhias untuk suami. Bahkan digalakkan untuk menjaga rambut sebagaimana sabda Nabi SAW:

 مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

 Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”

Riwayat Abu Daud (4163)

  • Bahan dan peralatan yang digunakan mestilah tidak memberi kemudaratan pada rambut.
  • Tidak menyerupai orang kafir dan bertujuan untuk riak, menunjuk-nunjuk dikhalayak umum.

Maka, sekiranya ia bertujuan untuk perkara yang baik, hukumnya dibolehkan. Manakala, jika ia bertujuan untuk menipu dan melakukan maksiat maka hukumnya haram.

Semoga sedikit pencerahan ini, membantu kita dalam memahami agama dengan lebih baik lagi agar kehidupan kita sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply