Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan yang bermain-main di fikiran. Soalannya begini, ikan terbang bagi menghalalkannya adakah perlu disembelih kerana menyerupai burung atau bangkainya halal dimakan seperti ikan-ikan yang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif ikan terbang. Ikan terbang adalah jenis ikan tergolong dalam keluarga Exocoetidae order Beloniformes kelas Actinopterygii. Kira-kira 64 spesies dikelompokkan dalam tujuh hingga sembilan genera. Jenis ikan ini dinamakan sedemikian kerana pergerakan yang diperhatikan di udara atas permukaan laut hasil lompatan yang kuat melepaskan diri dari pemangsa dengan sirip panjang menyerupai kepak yang memungkinkan pergerakan meluncur dalam jarak yang jauh.[1]

Barbados, the land of the flying fish

Gambar di atas: Ikan Terbang[2]

Menurut Britannica, flying fish atau ikan terbang ialah mana-mana daripada kira-kira 40 spesies ikan lautan daripada keluarga Exocoetidae (order Atheriniformes), ditemui di seluruh dunia di perairan panas dan terkenal dengan kebolehannya untuk terbang. Kesemuanya kecil, mencapai panjang maksimum kira-kira 45 cm (18 inci), dan mempunyai sirip tegar seperti sayap dan ekor bercabang tidak rata. Sesetengah spesies, seperti Exocoetus volitans yang diedarkan secara meluas, bersayap dua, dengan hanya sirip dada yang diperbesarkan; yang lain, seperti ikan terbang California (Cheilopogon), bersayap empat, dengan kedua-dua sirip dada dan pelvis (posterior) diperbesarkan.

Do Flying Fish Actually Fly? | A Moment of Science - Indiana Public Media

Gambar di atas: Seekor ikan terbang sedang meluncur di atas air.

Ikan terbang sebenarnya tidak terbang, dalam erti kata mengepakkan sirip sebesar sayapnya, tetapi sebenarnya meluncur. Ikan terbang tidak terbang, dalam erti kata mengepakkan sirip sebesar sayapnya, tetapi sebenarnya meluncur. Ikan membina kelajuan di bawah air, berenang ke arah permukaan air dengan siripnya dilipat rapat pada badannya yang diperkemas. Setelah memecahkan permukaan air, ikan menyebarkan siripnya yang membesar dan mendapat tujahan tambahan daripada degupan pantas ekor yang masih tenggelam. Apabila kelajuan yang mencukupi telah dicapai, ekor diangkat dari air dan ikan itu dibawa ke udara, meluncur beberapa kaki di atas permukaan pada kelajuan kira-kira 16 km/jam (10 batu sejam). Ikan boleh membuat beberapa luncuran berturut-turut, ekor mendorongnya ke atas semula setiap kali ia tenggelam semula ke permukaan. Ikan ini menerbangkan diri mereka sebagai salah satu cara utama untuk melarikan diri daripada pemangsa. Ikan terbang boleh mencapai ketinggian yang cukup untuk membawanya ke geladak kapal di perairan mereka, di mana ia sering ditemui pada waktu subuh.[3]

Justeru, sekalipun ia dinamakan sebagai ‘ikan terbang’, ikan ini tidaklah mempunyai kebolehan yang sama seperti burung, iaitu untuk terbang tinggi di udara. Terma yang lebih tepat, ikan ini berkemampuan untuk meluncur di atas permukaan air. Tubuh ikan yang berbentuk bergaris arus seakan torpedo itu, membantu ikan ini untuk mengurangkan rintangan ketika ia berenang. Pada masa yang sama, memberikan kebolehan untuk bergerak dengan kelajuan yang pantas di dalam air. Sekiranya ia dikejar oleh pemangsa, ikan ini akan berenang dengan laju. Ia akhirnya akan melompat keluar dari air, dengan kekuatan kuat yang terhasil daripada kuasa tujahan ketika ia berenang. Kemudian, dengan mengembangkan sirip pektoralnya yang bersaiz besar itu, ia akan berjaya meluncur di atas permukaan air. Setelah berada di udara, ikan ini berkeupayaan untuk meluncur pada jarak yang sangat mengagumkan.

Kebiasaannya, satu sesi peluncuran ikan akan membawanya jauh iaitu lebih kurang 50 meter dari tempat ia mula keluar dari permukaan air. Namun, keadaan dan faktor tertentu misalnya seperti keadaan angin yang kuat, membantu ikan ini untuk meluncur lebih jauh, yakni 200 meter atau lebih.[4]

Berkenaan ikan terbang juga, al-Damiri ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa al-khattaf (الخَطَّافُ) ialah sejenis ikan di lautan Sabtah (Ceuta), ia memiliki dua sayap di belakangnya, berwarna hitam. Ia keluar dari air, terbang di udara, kemudian kembali semula ke dalam laut. Inilah yang disebutkan oleh Abu Hamid al-Andalusi. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/227).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[5]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Seterusnya, kita lihat pula berkenaan hukum burung air. ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau — kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya — sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33; al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/555). Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram kerana dalam hal ini terdapat dua pendapat mengenainya — iaitu sama ada halal atau haram. (Lihat al-Wasit fi al-Mazhab, 7/163). Bagi menghalalkan burung, ia hendaklah disembelih sebagaimana haiwan-haiwan yang lain dan bangkainya dihukumkan sebagai najis, berbeza halnya dengan haiwan/hidupan air seperti ikan, sotong dan lain-lain.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat ikan terbang adalah halal dimakan sebagaimana hukum ikan-ikan yang lain selagi mana tidak memudaratkan pemakannya dan tidak mengambil hukum burung air kerana ia kekal sebagaimana hukum asalnya sebagai haiwan/hidupan air.  Maka, ia mengambil hukum haiwan air yang halal bangkainya dan tidak perlu kepada sembelihan bagi menghalalkannya.  Begitu juga ini dikuatkan lagi dengan kenyataan bahawa sekalipun ia dipanggil sebagai ‘ikan terbang’ tetapi hakikatnya ia bukanlah terbang dengan mengepakkan sayapnya seperti mana burung, tetapi hanya meluncur, di samping memiliki sirip yang besar yang seolah-olah seperti sayap.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ikan_terbang. Diakses pada 17 Julai 2023.

[2] Sumber gambar: https://www.britannica.com/animal/flying-fish. Diakses pada 17 Julai 2023.

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/flying-fish. Diakses pada 17 Julai 2023.

[4] Lihat https://www.thepatriots.asia/__trashed-3/. Diakses pada 17 Julai 2023.

[5] Al-baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply