Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukumnya jika seorang suami bersama dengan isterinya, tetapi dia membayangkan sedang bersama dengan wanita lain?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, persoalan begini dikemukakan oleh masyarakat ekoran isu seorang lelaki yang mendatangi isterinya kerana nafsu syahwatnya naik apabila melihat wanita lain. Segelintir isteri menyangka bahawa ia merupakan perbuatan yang meloyakan kerana suami tersebut tergamak mendatangi isterinya sedangkan nafsu syahwatnya naik akibat kecantikan dan pesona wanita ajnabi lain.

Hakikatnya, ini merupakan salah satu jalan yang benar bagi mengelakkan berlakunya mudarat yang lebih besar seperti berzina. Hukuman bagi penzina yang telah berkahwin juga amatlah dahsyat, iaitu direjam. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma katanya:

إِذَا أُحْصِنَ الرَّجُلُ وَقَامَتِ البَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ حَملٌ أَوِ اعْتِرَافٌ، وَقَدْ قَرَأْتُهَا الشَّيخُ والشَّيخةُ إِذَا زَنَياَ فَارْجُمُوهُمَا البَتَّةَ رَجَمَ رَسُولُ اللهِ ﷺ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Jika lelaki (yang berzina) itu telah berkahwin dan tertegaknya bukti (bahawa dia berzina), atau berlakunya kehamilan atau pengakuan, dan aku pernah membaca: ‘Lelaki dan wanita yang tua (telah berkahwin) jika berzina maka rejamlah kedua-dua mereka. Rasulullah SAW pernah merejam dan kami juga merejam selepas itu.’”

Riwayat Ibn Majah (2083)

Rasulullah SAW juga mengajarkan para sahabatnya apabila mereka terfitnah dengan kecantikan dan pesona wanita ajnabi lain, agar mereka pulang dan melepaskan syahwat mereka pada isteri yang halal. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: إِنَّ المَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melihat seorang wanita, lalu beliau mendatangi Zainab isteri beliau ketika dia sedang menyamak kulit. Beliau menunaikan hajatnya, kemudian keluar kepada para sahabatnya seraya bersabda, “Sesungguhnya wanita itu datang dalam bentuk syaitan dan pergi dalam bentuk syaitan. Jika salah seorang kamu melihat seorang wanita, maka hendaknya dia mendatangi isterinya. Kerana itu dapat menolak perasaan yang muncul pada jiwanya.”

Riwayat Muslim (1403)

Ibn al-‘Arabi ketika menghuraikan hadith di atas berkata: “Ini merupakan hadith yang ganjil maknanya kerana yang berlaku kepada Nabi merupakan perkara rahsia yang tidak diketahui melainkan oleh Allah, tetapi Baginda menghebahkannya dari dalam dirinya sebagai berita gembira bagi makhluk dan pengajaran kepada mereka. Sesungguhnya Baginda itu manusia yang mempunyai syahwat tetapi Baginda maksum dari tergelincir. Apa yang berlaku dalam jiwanya ketika terlihat perempuan itu perkara yang tidak dipersalahkan pada syara‘ dan tidak mengurangkan kedudukannya. Ini kerana baginda mendapati dirinya berasa takjub dengan wanita itu adalah perkara fitrah manusia yang tetap sifatnya tetapi baginda mengalahkannya dengan kemaksuman maka ia terpadam dan Baginda pergi kepada isterinya supaya dapat melunaskan rasa takjubnya dan syahwat manusianya dengan kemaksuman dan penjagaan maruahnya.” (Lihat ‘Aridhat al-Ahwazi, 1/94)

Imam al-Qurtubi juga menyebutkan bahawa, jangan disangka bahawa Rasulullah SAW melakukan perkara itu kerana kecenderungan nafsu atau tewas dengan syahwat, alangkah jauhnya Baginda SAW dari semua itu. Sebaliknya Baginda melakukan perkara tersebut supaya Baginda dapat mensyariatkan hukum, diikuti (oleh umat yang mengalami syahwat akibat terlihat wanita) dan untuk memutuskan sesuatu yang dijangkakan berlaku dari dirinya. (Lihat al-Mufhim Syarh Sahih Muslim, 5/453)

Membayangkan Wanita Lain Ketika Bersetubuh dengan Isteri

Berbalik kepada persoalan berkenaan suami yang membayangkan wanita lain ketika bersetubuh dengan isteri, ini merupakan suatu perbuatan yang teruk dan merosakkan jiwa seseorang. Bahkan berkemungkinan rasa kasihnya terhadap isteri boleh berkurangan kerana fikirannya telah terpaut pada wanita lain. Begitu juga halnya jika wanita membayangkan lelaki lain ketika bersetubuh dengan suaminya. Ia juga seolah-olah suatu pengkhianatan yang nyata terhadap pasangan kita.

Hal ini termasuk juga dalam zina hati yang disebutkan di dalam hadith, diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَا، مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ، فَالعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ، وَالأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الاسْتِمَاعُ، وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الكَلَامُ، وَاليَدُ زِنَاهَا البَطْشُ، وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الخُطَى، وَالقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى، وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Telah ditetapkan bagi setiap anak Adam bahagian mereka daripada zina yang tidak dapat dielakkan. Zina mata adalah dengan melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah perkataan, zina tangan adalah sentuhan, zina kaki adalah melangkah, zina hati adalah kecenderungan dan berangan-angan. Dan kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari yang demikian.”

Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hadith ini berkata, setiap anak Adam telah ditakdirkan untuk melakukan zina. Maka di antara mereka ada yang melakukan zina sebenar, dan ada  pula yang melakukan zina secara majazi (kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara  yang haram, mendengar sesuatu yang mendorong ke arah zina, menyentuh atau mencium wanita yang bukan mahramnya, melangkah dengan kaki menuju ke tempat zina, berangan-angan atau memikirkan di dalam hati. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/206)

Inilah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan ulama’ daripada mazhab yang empat berkenaan masalah lelaki membayangkan wanita lain ketika bersetubuh dengan isteri, maka hukumnya adalah haram berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Ibn al-Hajj al-Maliki menyebutkan bahawa, jika seorang lelaki melihat wanita yang disukainya, lalu pergi mendatangi isterinya, dia membayangkan di hadapan matanya wanita yang dilihatnya, ini adalah sejenis zina. (Lihat al-Madkhal, 2/195)

Ibn Muflih al-Hanbali menukilkan kalam Ibn ‘Aqil, katanya: “Jika seorang lelaki membayangkan wanita ajnabi lain ketika sedang menyetubuhi isterinya, maka dia berdosa.” (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah wa al-Minah al-Mar‘iyyah, 1/98)

Ibn ‘Abidin al-Hanafi mengatakan bahawa, yang paling hampir dengan kaedah mazhab Hanafi adalah perkara ini tidak halal. Hal ini kerana membayangkan sedang berjimak dengan wanita ajnabi, di mana ia secara langsung menggambarkan dosa dalam bentuknya. (Lihat Hasyiah Radd al-Muhtar, 6/372)

Al-‘Iraqi menyatakan, jika seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya, dan dalam fikirannya dia bersetubuh dengan wanita yang diharamkan baginya, dan dia membayangkan dalam fikirannya bahawa dia sedang bersetubuh dengan bayangan terlarang itu, maka haram baginya untuk melakukan itu kerana ianya menyerupai bayangan yang dilarang (seperti bayangan melakukan zina). (Lihat Torh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/19)

Kesimpulan

Perbuatan menyetubuhi isteri kerana takut tergoda dengan kecantikan wanita ajnabi lain dan terjerumus ke arah zina adalah perkara yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW  sendiri. Maka kami menasihatkan agar berhati-hati ketika mengeluarkan apa-apa kenyataan yang secara tidak langsung mengkritik dan mempersenda sunnah Rasulullah SAW.

Adapun perbuatan seorang suami yang membayangkan dirinya sedang bersama dengan wanita lain ketika berjimak dengan isterinya, maka kami cenderung mengatakan bahawa ianya adalah haram. Bahkan ianya sangat dekat ke arah zina hati yang telah jelas pengharamannya di dalam al-Quran.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply