Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa kita sunat juga puasa pada 9 Muharram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berkenaan berpuasa pada 10 Muharram, kami telah jelaskannya dalam Ahkam Syar’iyyah sebelum ini bertajuk: # Kelebihan Puasa Hari Asyura
Menjawab persoalan di atas, walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.
Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi SAW:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).”
Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah SAW menjawab:
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
Hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ، فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: «فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ». فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: “Nabi SAW datang ke Madinah lalu melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, maka Baginda bertanya, “Hari apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik. Pada hari ini, Allah menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh-musuh mereka. Musa berpuasa pada hari ini.” Baginda bersabda, “Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.” Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa pada hari ‘Asyura’.”
Riwayat al-Bukhari (2004)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani menyebut: “Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan waktu hari Asyura. Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa Hari Asyura’ adalah hari ke-10 (bulan Muharram). Al-Qurtubi berkata: “Asyura’ adalah perubahan daripada perkataan aasyirah (عَاشِرَةٍ), bagi mengagungkan dan memuliakan. Pada asalnya, perkataan itu merupakan sifat untuk malam ke-10, kerana diambil daripada perkataan al-’asyr (الْعَشْرِ). Apabila dikatakan ‘hari Asyura’, maka yang dimaksudkan adalah hari malam ke-10. Hanya saja setelah diubah daripada perkataan sifat, maka didominasi oleh isim sehingga tidak memerlukan perkataan yang disifatkan, maka dihapuslah perkataan ‘malam’ sehingga lafaz ini menjadi nama tersendiri untuk hari ke-10.”
Al-Zain bin al-Manayyar berkata, “Kebanyakan ulama mengatakan bahawa ‘Asyura’ adalah hari ke-10 Muharram, dan ini merupakan petunjuk daripada perubahan kata dan penamaan. Namun, sebahagian mengatakan hari ke-9. Berdasarkan pendapat ini, maka hari tersebut dinisbahkan kepada malam sebelumnya, sedangkan pendapat yang mengatakan hari ke-10, maka dinisbahkan kepada malam berikutnya. Dikatakan bahawa penamaan hari ke-9 sebagai hari ‘Asyura’ adalah berdasarkan mereka yang memberi minum unta. Salah satu kebiasaan mereka apabila menggembala unta selama 8 hari, kemudian mereka menuntunnya ke sumber air pada hari ke-9. Maka mereka mengatakan, “Kami telah mendatangi tempat air pada hari ke-10.”
Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur al-Hakam bin al-A’raj, katanya:
انْتَهَيْت إِلَى بن عَبَّاسٍ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ رِدَاءَهُ فَقُلْتُ أَخْبِرْنِي عَنْ يَوْمِ عَاشُورَاءَ قَالَ إِذَا رَأَيْتَ هِلَالَ الْمُحَرَّمِ فَاعْدُدْ وَأَصْبِحْ يَوْمَ التَّاسِعِ صَائِمًا قُلْتُ أَهَكَذَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ قَالَ نَعَمْ
Maksudnya: “Aku sampai kepada Ibn ‘Abbas dan dia sedang berbantalkan selendangnya. Aku berkata, “Beritahu kepadaku tentang hari Asyura’?” Dia menjawab, “Apabila engkau telah melihat hilal Muharram, maka hitunglah lalu jadilah pada pagi hari kesembilan dalam keadaan berpuasa.” Aku berkata, “Apakah Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari itu?” Dia menjawab, “Ya.”
Secara zahirnya, riwayat ini menyatakan bahawa hari Asyura adalah hari ke-9. Akan tetapi, al-Zain bin al-Manayyar berkata, perkataan ‘Apabila engkau berada di hari ke-9, maka jadilah pada pagi harinya dalam keadaan berpuasa,’ memberi petunjuk bahawa yang dimaksudkan adalah hari ke-10. Ini kerana, tidak mungkin seseorang di pagi hari dalam keadaan berpuasa setelah berada di waktu pagi hari ke-9, kecuali niat untuk berpuasa pada malam berikutnya, iaitu malam ke-10.
Saya (Ibn Hajar) berkata, kemungkinan ini diperkuat oleh riwayat Imam Muslim melalui jalur lain daripada Ibn ‘Abbas, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لَأَصُومَنَّ التَّاسِعَ فَمَاتَ قَبْلَ ذَلِكَ
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika aku masih hidup tahun depan, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9.” Lalu Baginda meninggal sebelum itu.”
Secara zahirnya, Nabi biasa berpuasa pada hari ke-10, lalu beliau berniat puasa pada hari ke-9, tetapi Baginda lebih dahulu wafat sebelum sampai waktu tersebut. Kemudian tekad Baginda untuk berpuasa pada hari ke-9, kemungkinan maksudnya Baginda tidak hanya berpuasa pada hari ke-9 sahaja, bahkan Baginda akan menambah hari ke-10; sama ada sebagai sikap berhati-hati mahupun untuk menyelisihi orang-orang Yahudi dan Nasrani. Alasan terakhir lebih kuat dan hal ini diandaikan oleh sebahagian riwayat Imam Muslim. Dalam riwayat Imam Ahmad, melalui jalur lain daripada Ibn ‘Abbas yang dinisbahkan kepada Nabi SAW (marfu’) disebutkan:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَخَالِفُوا الْيَهُودَ صُومُوا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ يَوْمًا بَعْدَهُ وَهَذَا كَانَ فِي آخِرِ الْأَمْرِ
Maksudnya: “Berpuasalah kamu semua pada hari Asyura’ dan selisihilah orang-orang Yahudi, berpuasalah kamu semua sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” Dan yang demikian itu berlaku pada tempoh akhir kehidupan Baginda.
Nabi SAW suka menyetujui perbuatan Ahli Kitab dalam hal-hal yang tidak diperintahkan, terutama dalam hal-hal yang menyalahi para penyembah berhala (paganisme). Ketika Makkah ditakluki, dan Islam telah menyebar, makla Baginda SAW suka menyelisihi perbuatan Ahli Kitab sepertimana disebut dalam kitab Sahih, termasuk hal ini.
Pada mulanya, Nabi SAW menyetujui mereka seraya bersabda:
نَحْنُ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ
Maksudnya: “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.”
Kemudian, Baginda ingin menyelisihi mereka, maka Baginda memerintahkan untuk menambah sehari sebelumnya atau sesudahnya. Keterangan ini berdasarkan riwayat Imam al-Tirmizi melalui jalur lain, dengan lafaz:
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصِيَامِ عَاشُورَاءَ يَوْمَ الْعَاشِرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk berpuasa hari ‘Asyura’, iaitu hari ke-10.”
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa sabda Baginda dalam kitab Sahih Muslim, “Apabila aku masih hidup hingga tahun depan, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9,” mempunyai dua kemungkinan:
Pertama, Baginda ingin memindahkan puasa hari ke-10 ke hari ke-9.
Kedua, Baginda ingin menambah hari ke-9 dan hari ke-10.
Apabila Baginda wafat sebelum memastikan kemungkinan yang dimaksudkan, maka sikap lebih berhati-hati adalah berpuasa pada kedua hari itu.
Berdasarkan keterangan di atas, maka puasa ‘Asyura’ mempunyai tiga tingkatan;
- Tingkat terendah adalah berpuasa pada hari ke-10 sahaja.
- Tingkat kedua, berpuasa hari ke-9 dan hari ke-10.
- Tingkat pertama, berpuasa pada hari ke-9, ke-10 dan ke-11. (Lihat Fath al-Bari, 4/245)
Pendapat Para Fuqaha
Berikut kami nyatakan juga beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
- Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya (berserta dengan puasa hari ‘Asyura).
- Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
- Berpuasa sehari dan selepasnya.
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dengan cara seperti berikut:
- Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya (berserta dengan puasa hari ‘Asyura).
- Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
- Berpuasa pada 10 Muharram sahaja. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/72)
Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Penutup
Alhamdulillah, semoga 1445 H kita sambut dengan melaksanakan ibadat puasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram yang dikenali sebagai hari Asyura. Hal ini kerana perintah Rasulullah SAW dan kehendaknya untuk berpuasa pada 2 hari tersebut. Semoga Allah SWT jadikan kita dari hamba-hamba-Nya yang soleh lagi bersyukur kepada-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.”
Surah al-Naml (19)
Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H