Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini, saya ada dengar perempuan yang ada dua suami. Yang lebih pelik, kedua-dua suami itu dilayan, serta kedua-dua suami itu tidak mengetahui antara satu sama lain. Dalam situasi seperti ini, bagaimana hukumnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama, perintah untuk bernikah.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Kedua, syarat pernikahan.

Berkenaan syarat-syarat yang berkaitan dengan bakal suami atau bakal isteri, fuqaha’ menjelaskan seperti berikut:

Syeikh Abd al-Rahman al-Jaza’iri berkata: Antara syarat-syarat yang berkaitan dengan kedua belah pihak yang mengadakan akad nikah, iaitu suami dan isteri, antaranya: Akad nikah tidak sah dilakukan oleh wanita yang masih berstatus sebagai isteri orang lain. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 5/26)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/501) menyebut: Tidak boleh seorang lelaki untuk mengahwini perempuan yang bersuami, dan masih berada di bawah jagaan suaminya. Perkahwinan hanya dibenarkan apabila suami perempuan itu meninggal dunia atau menceraikannya dan selesai iddahnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ 

Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang.” 

(Surah al-Nisa’: 24)

Ibn Kathir berkata: Yakni, diharamkan kepada kamu semua wanita-wanita asing yang muhsan, iaitu wanita-wanita yang sudah bersuami. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/251)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman Allah SWT, ‘وَالْمُحْصَنَاتُ’ merupakan sambungan (ma’tuf ‘alaih) daripada perkataan ‘أُمَّهَاتُكُمْ’ yang ada pada ayat sebelumnya sehingga semuanya termasuk dalam perempuan-perempuan yang haram untuk dikahwini. Maksudnya adalah, kamu semua diharamkan menikahi perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali perempuan-perempuan tawanan perang yang diperoleh ketika ada pertempuran (jihad) yang disyariatkan antara kita dengan musuh-musuh yang kafir.

Keharaman menikahi perempuan-perempuan yang masih bersuami, untuk melindungi hak suami isteri, selama perempuan tersebut masih dalam tempoh ‘iddah. Apabila perempuan tersebut sudah ditalak oleh suaminya dan tempoh iddahnya sudah habis, maka barulah dia boleh dikahwini oleh lelaki lain. Allah SWT menekankan dengan tegas kewajiban menghormati prinsip pengharaman perempuan yang haram untuk dinikahi melalui firman-Nya: ‘كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ’, sehingga apa yang diterangkan tersebut merupakan keharaman nyata yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini kerana ikatan pernikahan adalah satu ikatan dan perjanjian yang kuat. Ketetapan Allah ini juga menjadi pembatas yang membezakan antara hal yang dilakukan oleh umat Islam dengan yang dipraktikkan oleh orang Arab. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/26)

Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah berkata: Seorang Muslim diharamkan menikahi perempuan yang berstatus isteri orang lain, dan perempuan yang masih dalam masa iddah sebagai bentuk penghormatan atas hak-hak suami dari perempuan tersebut. Allah SWT berfirman: ‘ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۖ’ (Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki.) (Surah al-Nisa’: 24) Ertinya, Allah SWT mengharamkan lelaki untuk menikahi perempuan yang sudah bersuami kecuali hamba sahaya yang dari hasil daripada tawanan perang. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/307)

Ketiga, berkenaan isu di atas, hukumnya sah bagi nikah yang pertama, dan tidak sah bagi nikah yang kedua. Maka, jadilah hubungan dia bersama suaminya yang kedua sebagai zina dan hukumnya adalah haram.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Keempat, dalam isu seperti ini, Syarak menentang dan mengharamkan perempuan berkahwin lebih daripada satu dalam satu-satu masa.

Jika kita lihat, perempuan yang dalam ‘iddah sama disebabkan kematian suami atau perceraian pun tidak boleh dikahwinkan, apatah lagi jika dia adalah isteri orang.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Seorang lelaki juga tidak boleh mengahwini perempuan yang masih dalam ‘iddah sama ada ‘iddah kerana perceraian atau kematian. Perkahwinan hanya dibolehkah apabila selesai ‘iddah tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَعۡزِمُواْ عُقۡدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡكِتَٰبُ أَجَلَهُۥۚ

Maksudnya: “Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) ” 

(Surah al-Baqarah : 235)

Justeru, ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam (Lihat Nizam al-Usrah Fil Islam,  1/ 287).

Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya.Ini berdasarkan dalil yang menyatakan suami berhak meruju’ kembali isterinya yang telah dicerai sebagaimana firman Allah SWT: 

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنۡ أَرَادُوٓاْ إِصۡلَٰحٗاۚ

Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”

 (Surah al-Baqarah: 228)

Penutup

Kisah seperti ini perlu diambil tindakan yang tegas serta pihak pemerintah melalui badan berautoriti perlu mengenal pasti dengan sebaik mungkin pasangan yang ingin berkahwin sama ada janda, anak dara atau isteri orang, agar kes seperti ini tidak berlaku pengulangan lagi. 

Nasihat kami, ikutlah perintah Allah dan jangan lakukan seperti itu kerana ia sudah pasti mengundang kemurkaan daripada Allah SWT. 

Para ibu bapa hendaklah mengawal anak-anak terutamanya dalam isu perkahwinan agar ia benar-benar menepati neraca Syariah.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita doakan agar kita memperoleh keluarga bahagia. 

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H

Leave a Reply