Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah saya boleh berpuasa pada hari Asyura, sedangkan saya masih ada kewajiban Qadha’ Puasa Ramadhan yang belum ditunaikan? Dan bolehkah saya gabungkan niat puasa Qadha Ramadhan dan puasa Sunat Asyura? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, permasalahan ini dikenali sebagai al-tasyrik (التَّشْرِيْكُ) atau al-tadakhul (التَّدَاخُلُ) (menggabungkan dan saling memasukkan) antara ibadat. Salah satu bentuknya adalah sepertimana permasalahan di atas.

Imam al-Ramli menyebut:

وَلَوْ صَامَ فِي شَوَّالٍ قَضَاءً أَوْ نَذْرًا أَوْ غَيْرَهُمَا أَوْ فِي نَحْوِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ حَصَلَ لَهُ ثَوَابُ تَطَوُّعِهَا كَمَا أَفْتَى بِهِ الْوَالِدُ – رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى – تَبَعًا لِلْبَارِزِيِّ وَالْأَصْفُونِيِّ وَالنَّاشِرِيِّ وَالْفَقِيهِ عَلِيِّ بْنِ صَالِحٍ الْحَضْرَمِيِّ وَغَيْرِهِمْ، لَكِنْ لَا يَحْصُلُ لَهُ الثَّوَابُ الْكَامِلُ الْمُرَتَّبُ عَلَى الْمَطْلُوبِ لَا سِيَّمَا مَنْ فَاتَهُ رَمَضَانُ وَصَامَ عَنْهُ شَوَّالًا.

Maksudnya: Sekiranya dia berpuasa Syawwal untuk qadha’ atau nazar, atau selain itu, atau puasa Asyura, maka dia memperoleh pahala sunat. Inilah sepertimana yang difatwakan oleh bapa saya rahimahullah dengan mengikuti pendapat al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih ‘Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka. Akan tetapi, dia tidak mendapat pahala sempurna yang diperoleh sepertimana yang diharapkan. Khususnya orang yang beberapa hari tidak berpuasa Ramadhan, lalu dia menggantinya pada bulan Syawwal.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/209; Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/184)

Selain itu, al-Buhuti juga ada menyebutkan, tidak makruh mengqadha’kan puasa dalam sepuluh hari terawal Zulhijjah kerana hari-hari itu ialah hari-hari ibadah, maka tidak makruh untuk mengqadha’kan puasa di dalamnya sebagaimana sepuluh Muharram. Malah, terdapat riwayat daripada Umar R.A bahawa beliau menggalakkan untuk mengqadha’kan puasa pada hari-hari tersebut. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/209)

Fatwa al-Lajnah al-Da’imah menyebut: “Pertama, tidak boleh puasa sunat sedangkan dia masih mempunyai qadha’ sehari atau beberapa hari Ramadhan. Oleh itu, hendaklah dia mulakan dengan qadha’ puasa Ramadhan, kemudian baru puasa sunat.”

Kedua, jika dia berpuasa pada hari kesepuluh dan kesebelas pada bulan Muharram dengan niat qadha’ beberapa hari yang dia tinggalkan daripada puasanya di bulan Ramadhan, maka hal itu dibolehkan. Dia boleh mengqadha’ dua hari yang menjadi tanggungannya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amal ibadat bergantung kepada niat, dan masing-masing akan dibalas sesuai dengan apa yang diniatkan.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 11/401) 

Syeikh Ibn Uthaimin dalam Fatawa Siyam menyebut: “Sesiapa yang berpuasa hari Arafah atau hari Asyura, dan dia mempunyai kewajiban mengqadha’ Ramadhan, maka puasanya sah. Akan tetapi, jika dia berniat berpuasa hari tersebut untuk qadha’ Ramadhan, maka dia memperoleh dua pahala, iaitu pahala hari Arafah atau pahala Asyura, berserta pahala qadha’. Ini berkait dengan puasa sunat secara umum yang tidak terkait dengan Ramadhan. Manakala puasa enam hari Syawal, maka ia terkait dengan Ramadhan di mana keutamaannya tidak terwujud kecuali setelah mengqadha’nya. Jika dia berpuasa sebelum mengqadha’, maka dia tidak memperoleh kelebihan dan keutamaan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘مَن صَامَ رمَضَانَ ثمَّ أتبَعَهُ بسِتٍّ مِن شوّالٍ، فكأنَّما صَامَ الدَّهْرَ’ (“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan enam hari Syawal, maka dia bagaikan berpuasa setahun.”) Dan telah diketahui bahawa orang yang masih mempunyai qadha’, maka dia belum dianggap berpuasa Ramadhan sehingga dia menyempurnakan qadha’nya.” (Lihat Fatawa Siyam, 438; Lihat juga Majmu’ Fatawa wa Rasa’il Fadhilat al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, hlm. 48)

Berdasarkan hal di atas, jika seseorang masih mempunyai kewajiban qadha’ puasa Ramadhan, dan dia ingin berpuasa pada hari Asyura, maka puasanya adalah sah. Dan jika dia berniat untuk qadha’ puasa Ramadhan pada hari puasa Asyura tersebut, mudah-mudahan dia turut memperoleh ganjaran pahala puasa Asyura juga.

Penutup

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memperbanyakkan ibadat kita terutamanya yang sunat sementelahan lagi dengan kedatangan 9 dan 10 Muharram ini. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang bertaqwa yang akhirnya diterima ibadat. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H

Leave a Reply