Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin tanya berkenaan hasil insurans konvensional. Saya beli motor, tetapi lepas beberapa bulan baru tahu yang kedai tu buat insurans konvensional untuk motor saya. Saya minta tukar Islamik, dia kata tunggu hendak renew nanti baru tukar. Tidak lama selepas itu saya kemalangan dan motor total loss. Jadi pihak insurans bagi saya duit dan motor tu diorang ambil. Soalan saya, halal ke duit tersebut? Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).

Kami nyatakan terlebih dahulu bahawa perbezaan antara takaful dan insurans konvensional yang paling ketara ialah takaful adalah berdasarkan hukum syariah. Takaful tidak melibatkan elemen gharar, maisir, atau riba. Ia diwujudkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional untuk mengelakkan unsur-unsur terlarang ini.

Selain itu, bagi insurans konvensional, risiko dipindahkan daripada yang diinsuranskan kepada syarikat insurans. Manakala dalam takaful pula, ia adalah berdasarkan perkongsian risiko. Setiap ahli menyumbang dalam dana takaful dan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, semua ahli akan mendapat jumlah pampasan atau tuntutan yang sama.

Oleh itu, jelaslah insurans konvensional hukumnya adalah haram. Hal ini selari dengan keputusan yang diputuskan oleh Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979, di mana mereka telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1.     Mengandungi gharar (ketidak-tentuan) 
  2.     Mengandungi unsur judi. 
  3.     Mengandungi muamalah riba.[1]

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara yang syubhah (yang masih samar sama ada halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka (dibimbangi) ia akan terjatuh dalam perkara haram.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan, apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhah dan bersikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Bahkan Sufyan al-Thauri pernah menyatakan bahawa itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhah. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200).

Imam al-Suyuti ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, perkara mutasyabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti ia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat Syarh al-Suyuti ala Sahih Muslim, 4/190)

Justeru, berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan bahawa wang pampasan itu termasuk dalam syubhah, di mana sebahagiannya perlu dikeluarkan untuk maslahat dan manfaat umum.  

Oleh itu, anggarlah nilai motor itu sebenarnya berapa. Maksudnya, katakan, sepatutnya kos/nilaian motor tersebut adalah sebanyak RM 4,000. Tetapi jumlah yang diperoleh adalah sebanyak RM 5,000. Maka, keluarkanlah RM 1,000 yang berbaki itu untuk infaq bagi tujuan maslahat dan manfaat umum.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/148-menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram. Diakses pada 15 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H

Leave a Reply