Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya kini berada di Institut Kanser Negara, menunggu pembedahan membuang kanser rahim pada Isnin ini. Seluruh rahim saya akan dibuang. Buat masa ini saya sedang haid. Namun haid saya akan terhenti bersama hilangnya rahim saya nanti. Persoalannya, bagaimana untuk saya mandi wajib dalam keadaan saya terlantar sejurus selepas pembedahan nanti? Adakah kelonggaran dalam Islam untuk hal seperti ini?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

Surah al-Ma’idah (6)

Mandi wajib mempunyai syarat fardhu yang telah ditetapkan oleh ulama’. Antara syarat mandi yang disepakati oleh para ulama’ ada dua:

  • Niat.
  • Meratakan air ke seluruh badan.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk saudari mandi wajib dengan menggantikannya dengan bertayamum. Hal ini kerana selepas pembedahan, saudari dalam keadaan terlantar dan tidak dapat bangun. Oleh itu, dalam hal ini memadai dengan tayammum sebagai ganti kepada mandi wajib bagi mengangkat hadas besar. Setelah itu, saudari boleh mengambil wuduk seperti biasa, namun pada bahagian kaki yang sukar untuk dikenakan air, boleh digantikan dengan tayammum. Namun, jika terdapat orang yang boleh membantu saudari untuk mengambil wuduk, maka berwuduklah seperti biasa.

Suka kami nyatakan bahawa sifat agama Islam ini adalah raf’u al-Haraj atau mengangkat kesukaran, sebagaimana yang telah dinaskan di dalam al-Quran. Begitu juga dalam hadith menyebut akan perihal ini. Pernah seorang lelaki telah bermimpi keluar mani pada waktu malam sedangkan dia cedera yang agak parah dalam peperangan. Akhirnya, dinasihatkan untuk mandi wajib. Asbab tersebut membawa kepada kematiannya. Hal ini disampaikan kepada Rasulullah SAW, lantas, Rasulullah SAW bersabda:

 قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ ، أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا ، فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ – أَوْ يَعْصِبَ ، شَكَّ مُوسَى – َعلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً، ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ

Maksudnya: “Mereka telah membunuhnya dan Allah akan membunuh mereka. Kenapakah mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayammum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya.”

Riwayat Abu Daud (336)

Akhir kalam, semoga Allah mengurniakan kesembuhan dan ketabahan buat saudari dalam melayari episod kehidupan ini. 

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh yang sentiasa mematuhi titah-perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” 

Surah al-Kahfi (10)

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply