Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah dibenarkan dalam Islam mengharapkan balasan daripada sedekah yang telah kita berikan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sedekah (صَدَقَةٌ) dari segi bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Manakala Ibn Manzur mendefinisikan sedekah sebagai apa yang apa yang diberikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Seseorang yang mendahulukan amalan soleh untuk bertawassul dengannya adalah perkara yang dibenarkan oleh Islam. Bersedekah merupakan salah satu amalan soleh yang amat mudah untuk seseorang itu lakukan serta bertawassul dengannya.

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa boleh hukumnya untuk bersedekah dan bertawassul dengannya  menghharapkan sesuatu balasan. Hukum ini dikiaskan dengan bersedekah sebelum menunaikan solat istisqa’. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan, pemerintah boleh menyuruh rakyat untuk bersedekah sebelum menunaikan solat istisqa’ kerana itu merupakan suatu perbuatan yang munasabah (apabila mengharapkan sesuatu). Hal ini kerana bersedekah itu merupakan bentuk ihsan terhadap orang lain, dan perbuatan ihsan tersebut  adalah sebab mendapat rahmat Allah. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 5/209)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A‘raf: 56)

Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan bahawa sedekah ini mempunyai kesan yang menakjubkan untuk menolak bala ujian, meskipun sedekah itu datang dari seorang yang melakukan maksiat, orang yang zalim, bahkan orang bukan Islam. (Lihat al-Wabil al-Saib, hlm. 31)

Antara kesan lain bagi sedekah adalah mampu memadamkan kemurkaan Allah SWT dan juga memadamkan kesalahan-kesalahan kecil. Ini thabit berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada  Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ وَتَدْفَعُ مِيتَةَ السُّوءِ ‏

Maksudnya “Sesungguhnya sedekah itu dapat memadamkan kemurkaan Allah, dan dapat mencegah kematian yang buruk.”

Riwayat al-Tirmizi (664)

Dan diriwayatkan juga daripada Muaz bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الصَدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيَئةَ كَمَا يُطْفِئُ المَاءُ النَارَ

Maksudnya: “Sedekah itu memadam kesalahan seperti mana air memadamkan api.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), Ibn Majah (3973), al-Nasa’ie (11330) dan Ahmad (220696)

Bahkan terdapat juga saranan syara‘ untuk bersedekah dan mengharap diberikan kesembuhan (bertawassul) dengannya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri

دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Rawatlah mereka yang sakit dikalangan kamu dengan bersedekah.”

Riwayat Abu Dawud (105) di dalam al-Marsil dan Al-Albani mengatakan hadith ini (744) bertaraf hasan li ghairihi di dalam Sahih al-Targhib.

Syeikh Abdul Ra’uf al-Manawi ketika menerangkan hadith di atas berkata, Rasulullah SAW mengisyaratkan di dalam hadith ini kepada rawatan Rohani, maka Baginda memerintahkan untuk merawat mereka yang sakit (rohaninya) dengan bersedekah, dan ia memeberikan kelegaan kepada orang yang berdukacita dan bersedih. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/515)

Kesimpulan

Maka jelas di sini bahawa mereka yang bersedekah Ikhlas kerana Allah SWT dan dalam masa yang sama mengharapkan sesuatu balasan, adalah perkara yang dibolehkan dalam Islam. Bahkan lafaz hadith dengan jelas menyebutkan bahawa harus untuk bersedekah dan mengharapkan pembalasan seperti diberikan kesembuhan, dijauhkan dari kemurkaan dan bala bencana.

Sebahagian ahli ilmu juga mengkiaskan masala ini dengan kisah para sahabat yang melakukan haji, dan dalam masa yang sama mereka berniaga. Lalu Allah SWT berfirman:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji).”

(Surah al-Baqarah: 198)

Semoga dengan pengharapan tersebut, tidak terhakis walau sedikit pun keikhlasan kita dalam melakukan ammal ibadah kepada  Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ أَعْمَالَنَا كُلَّهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الْكَرِيمِ، وَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah kesemua amalan kami ini Ikhlas kerana  mengharapkan wajah-Mu yang Mulia, dan terimalah doa kami ini, sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply