Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jual beli barangan preloved? Kini ramai orang mula menjual barang-barang preloved milik mereka melalui platfom media sosial seperti baju, seluar, kasut dan lain-lain kerana ia barang yang berkualiti tetapi dengan harga yang jauh lebih murah (berpatutan). Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif barangan pre-loved atau dipanggil juga sebagai pre-loved item. Barangan atau item pre-loved ialah barang yang bukan baharu, pernah dimiliki dan digunakan sebelum ini. Penjual menggunakan perkataan ini iaitu “pre-loved” untuk menjadikan item/barang yang ingin dijual kelihatan lebih menarik.[1]
Justeru, barang pre-loved ini sebenarnya adalah barang terpakai atau dipanggil juga sebagai bundle dalam masyarakat kita. Cumanya, ia dijenamakan semula dengan perkataan “pre-loved” bagi menjadikan barang yang hendak dijual itu lebih menarik dan lebih diyakini dari segi kualiti dan seumpamanya sekalipun pernah digunakan.
Sebelum menjawab soalan di atas, kami bawakan dahulu firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. (Lihat Tafsir al-Tabari, 13/6).
Begitu juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).
Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya dalam hal-hal muamalat terdapat kaedah menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْحِلُّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi muamalat adalah halal dan harus.”
Kaedah di atas bermaksud setiap penjualan, pembelian, sewaan, pajakan atau selainnya daripada muamalat, maka hukum asalnya adalah halal dan harus. Tidak boleh sesiapapun mengatakan, muamalah/urus niaga yang dijalankan ini adalah haram kerana hukum asal dalam hal tersebut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 (yang kami telah bawakan di atas). (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/6).
Secara umumnya setiap jual beli adalah diharuskan dan sah sekiranya menepati syarat-syarat dan rukun-rukun jual beli. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji terdapat tiga rukun dalam akad jual beli iaitu:
- Pihak yang melakukan akad. Mereka ialah penjual dan pembeli yang melakukan akad menurut persetujuan keduanya.
- Sighah akad. Ia adalah lafaz yang terbit daripada kedua pihak yang berakad menggambarkan keinginan dan keredhaan keduanya untuk melakukan akad.
- Barang jualan dan harganya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/11-16).
Seterusnya berkenaan syarat-syarat jual beli pula, setiap daripada rukun-rukun itu terdapat perbahasan dan syarat-syarat yang mesti dipenuhi. Dalam menjawab soalan di atas, kami berpada dengan hanya mengemukakan syarat-syarat bagi barang jualan kerana ia berkait rapat dengan persoalan di atas. Jadi, bagi barang jual beli tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
- Barang itu wujud. Disyaratkan pada barang jualan untuk wujud ketika akad dilakukan. Oleh itu, tidak boleh menjual barang yang tidak wujud seperti buah-buahn yang belum ada, kehamilan yang belum lagi berlaku dan seumpamanya.
- Barangan yang dijual mestilah dalam bentuk harta yang bernilai menurut syara’. Dalam erti kata lain, boleh untuk dimanfaatkan dengannya. Maka, tidak sah barang jualan yang dikategorikan sebagai najis dan haram oleh syara’. Selain itu, barangan jualan tersebut mestilah barangan yang bermanfaat menurut syara’ dan uruf (kebiasaan).
- Boleh diserahkan kepada pembeli. Dalam erti kata lain, barangan tersebut boleh diserahkan dari segi fizikal dan syara’.
- Barang tersebut milik penjual. Disyaratkan bagi barang jualan itu mestilah dimiliki oleh orang yang membuat kontrak itu. Jika dia melaksanakan kontrak itu untuk dirinya sendiri, maka disyaratkan bahawa dia menjadi pemilik harta itu. Jika dia melaksanakan kontrak bagi orang lain berdasarkan kuasa yang diberikan atau sebagai wakil, maka disyaratkan ia dimiliki oleh orang tersebut (pihak ketiga itu).
- Disyaratkan barang jualan itu diketahui oleh kedua pihak yang berakad. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/23-28).
- Disyaratkan juga selamat barang tersebut daripada sebarang bentuk gharar dan penipuan.
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jualan barangan pre-loved adalah diharuskan dan sah, jika ia memenuhi semua rukun dan syarat-syarat jual beli. Namun, perkara yang perlu diberi perhatian ialah barang terpakai mahupun pre-loved yang hendak dijual hendaklah dipastikan tidak ada kerosakan (yang tidak diketahui oleh pembeli), unsur penipuan dan seumpamanya. Selain itu, pembeli juga mempunyai hak untuk melihat barangan yang dijual dan sekiranya terdapat kerosakan atau kecacatan pada barangan tersebut, maka pembeli boleh memulangkannya semula dan mendapatkan semula wang yang telah dibayar.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada- Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
[1] Lihat https://www.collinsdictionary.com/dictionary/english/pre-loved. Diakses pada 18 Julai 2023.
Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H